KUALA LUMPUR, 2 APRIL: Proton Holdings Bhd menjual sebanyak 14,989 unit kenderaan di pasaran tempatan dan eksport pada bulan Mac 2021, meningkat 26.2 peratus berbanding Februari dengan penguasaan pasaran dianggarkan mencapai 23.5 peratus.
Syarikat pengeluar kereta nasional itu mencatatkan bukan sahaja penjualan tertinggi baharu untuk tahun ini tetapi turut mencapai bulan penjualan terbaik sejak September 2013.
Secara keseluruhan, Proton mengekalkan kedudukan kedua dalam jadual kedudukan penjualan.
“Untuk suku pertama tahun ini, syarikat mencapai jumlah jualan terkumpul sebanyak 32,826 unit dan angka tertingginya dalam penguasaan pasaran suku tahunan sejak Mac 2012,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, Proton berkata penghantaran untuk dua model SUVnya terus meningkat pada bulan Mac selepas talian pengeluaran baharu di Tanjung Malim meningkatkan pengeluarannya untuk bulan ini, menyaksikan 3,513 unit Proton X50 dihantar kepada pelanggan sementara Proton X70 menunjukkan kenaikan bulan ke bulan sebanyak 58.4 peratus kepada 2,337 unit.
“Jika digabungkan, ini bermakna Proton telah mencapai rekod dalaman baharu dengan 5,850 unit SUV dihantar, mengalahkan rekod sebelumnya sebanyak 4,820 unit pada bulan lalu,” jelasnya.
Bagaimanapun, Proton Saga kekal sebagai model paling laris syarikat dengan sebanyak 5,589 unit telah dihantar dengan penjualan untuk sedan segmen-A itu telah meningkat sebanyak 32.5 peratus berbanding Februari.
Proton Persona, Iriz dan Exora juga mencatatkan angka terbaik mereka untuk tahun ini dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) segmen-C itu sekali lagi menduduki tempat pertama bagi segmennya, masing-masing menyaksikan penjualan 2,151 unit, 810 unit, 584 unit pada bulan Mac.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd Roslan Abdullah berkata setelah mencatatkan permulaan yang agak lemah, industri automotif Malaysia akhirnya mencapai kemajuan pada tahun 2021.
“Kami menganggarkan TIV melebihi 63,000 unit, menunjukkan semua jenama akan mencatatkan jumlah terbaik mereka untuk tahun ini.
“Bagi Proton, bulan Mac adalah bulan penjualan yang sangat baik kerana kami mencapai angka tertinggi bagi tempoh 90 bulan tetapi merasakan pencapaian kami berkurangan kerana ia boleh dipertingkatkan sekiranya kami dapat menghasilkan lebih banyak unit,” jelas beliau.
Roslan menambah buat masa ini, Proton masih memiliki banyak pesanan untuk dipenuhi dan syarikat akan berusaha untuk meningkatkan pengeluaran dalam beberapa bulan ini, di samping mengekalkan fokus kami dalam penyampaian produk yang berkualiti tinggi.
“Kami juga sedar bahawa insentif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) akan berakhir pada penghujung bulan Jun, jadi kami berhasrat untuk memastikan sebanyak mungkin pelanggan dapat menikmati pengecualian cukai yang diberikan oleh kerajaan,” katanya.
– BERNAMA