Categories
AGENDA NASIONAL

Beli rumah dapat Proton X50, iPhone 12

SHAH ALAM, 6 SEPT: Glomac Berhad (Glomac) menawarkan Proton X50 sebagai salah satu hadiah utama cabutan bertuah kepada pembeli rumah sempena ulang tahun ke-30 syarikat hartanah itu.

Ketua Pegawai Operasinya Zulkifly Garib berkata kempen “Something for Everyone” mulai 30 Ogos sehingga 30 November terbuka untuk pembeli kediaman berharga RM300,000 ke atas.

“Kempen ini juga menampilkan peraduan maya yang membolehkan peserta memenangi hadiah bulanan seperti baucar membeli-belah, iPhone 12, tablet Samsung dan banyak lagi.

“Peraduan telah bermula pada pertengahan September 2021 dan akan berlangsung sehingga akhir kempen,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata Glomac turut mewujudkan unit pameran rumah dan proses tempahan secara maya bagi memudahkan pelanggan melakukan urusan jual beli kediaman ketika norma baharu.

Zulfikry menambah syarikat itu kini sedang membina pembangunan bertingkat iaitu 121 Residences dan Plaza @ Kelana Jaya serta pembangunan atas tanah iaitu Primrose (Saujana KLIA, Sepang), Dahlia Sari (Saujana Perdana, Sungai Buloh) di Selangor dan Freesia (Saujana Jaya, Kulai) di Johor.

Untuk maklumat lanjut layari www.glomac.com.my/somethingforeveryone.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Jualan Proton susut 29.9 peratus pada Jan 2021

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Proton Holdings Bhd menjual sebanyak 5,964 unit kenderaan kepada pelanggan pada Januari 2021, menyusut 29.9 peratus berbanding bulan sama tahun lepas.

Syarikat itu berkata pegangan pasaran dianggarkan pada tahap 18.5 peratus iaitu kira-kira 1.0 peratus lebih rendah berbanding Januari 2020.

“Bagaimanapun, kadar jualan itu mencerminkan ketidakbolehan pengeluaran kenderaan untuk memenuhi permintaan dan bukannya pengurangan tempahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Model paling laris Proton pada Januari adalah Proton Saga dengan sejumlah 2,583 unit dihantar kepada pembeli, menjadikannya sedan segmen-A kedua paling popular.

Proton X70 dan Proton X50 pula kekal di tangga teratas SUV segmen-C dan SUV segmen-B (lima tempat duduk) walaupun jumlah yang didaftar berkurangan kepada 892 unit dan 1,082 unit.

Bagi Proton X50, sebanyak 4,809 unit sudah dihantar kepada penempah semenjak dilancarkan pada 27 Oktober, 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Roslan Abdullah berkata Januari adalah bulan yang agak sukar bagi industri otomotif Malaysia.

Harapan tinggi momentum yang dibina pada akhir tahun lepas dibawa ke tahun baharu ini, terutamanya selepas pengumuman insentif PENJANA akan kekal sehingga akhir Jun tahun ini.

Malangnya, pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua menghampakan harapan itu.

“Namun demikian, Proton dan ahli-ahli lain industri otomotif menyokong sepenuhnya langkah diambil kerajaan untuk mengawal kadar jangkitan.

“Keselamatan semua rakyat perlu diutamakan dan syarikat perlu menukar strategi jika ingin mencapai matlamat dalam keadaan pasaran yang berubah,” kata beliau.

Roslan menambah walaupun buku pesanan Proton masih penuh dengan tempahan sejak akhir tahun lalu, syarikat perlu bekerja keras untuk pengeluaran menepati kadar permintaan.

Sebagai industri yang bergantung kepada rantaian bekalan global, syarikat otomotif terjejas jika ada kelewatan penghantaran bahagian kerana ini memberi kesan buruk kepada barisan pengeluaran mereka, jelasnya.

“Langkah seperti PKP memberi kesan kepada jumlah pelanggan yang datang ke bilik pameran, tetapi Proton boleh menerima tempahan dalam talian untuk meningkatkan jualan kami.

“Bagaimanapun, talian bekalan kami terjejas oleh koronavirus untuk beberapa bulan lepas dan ini menyukarkan kami untuk membina kenderaan kerana bekalan bahagian tidak konsisten.

“Situasi ini turut dihadapi semua pengeluar kenderaan semenjak tahun lepas tetapi kami berharap ketibaan vaksin menstabilkan keadaan ini pada pertengahan tahun,” kata Roslan.

Walaupun terdapat kelewatan, Proton berhasrat meneruskan rancangan pelancaran produknya untuk 2021 dalam usaha meningkatkan penjualan di dalam dan luar negara.

“Buat masa ini, Proton mengikuti jadual pelancaran produk. Kami akan melancarkan beberapa produk menarik tahun ini,” kata beliau.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Proton X50 dilancarkan, harga bermula RM79,200 hingga RM103,300

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Proton Holdings Bhd (Proton) hari ini secara rasminya melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) keduanya, Proton X50 menerusi saluran media sosial dan ditawarkan pada harga bermula RM79,200 hingga RM103,300 seunit.

SUV dalam empat varian itu berharga RM79,200 itu bagi 1.5T Standard; RM84,800 untuk 1.5T Executive; RM93,200 bagi 1.5T Premium manakala RM103,300 bagi varian 1.5TGDi Flagship.

Proton X50 adalah kenderaan kedua yang diusahakan bersama Proton dan rakannya, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely).

Sepertimana Proton X70, pelancaran SUV kedua ini juga membolehkan syarikat tersebut bersaing dalam pasaran segmen B.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Roslan Abdullah berkata tempahan bagi Proton X50 dibuka secara rasmi pada 16 September lepas.

“Setakat ini lebih 200,000 tempahan diterima daripada kalangan rakyat yang teruja menjadi antara pembeli pertama kenderaan itu.

“Tahap minat orang ramai terhadap Proton X50 ini juga amat menakjubkan dan sesuatu yang belum pernah berlaku, terutamanya dalam tahun yang banyak dipengaruhi oleh faktor luaran.

“Kami menerima pertanyaan sejak tahun lepas lagi dan sokongan dalam bentuk liputan pelbagai saluran media menyaksikan jangkaan tinggi dalam kalangan pembeli kereta Malaysia,” katanya dalam kenyataan media selepas pelancaran Proton X50 secara maya menerusi platform media sosial Facebook Proton di sini, hari ini.

Sama seperti SUV sebelumnya, usaha sama bagi Proton X50 ini memerlukan Proton dan Geely bekerjasama di pelbagai peringkat termasuk kakitangan dari China dan Malaysia yang bekerja dalam rangkaian pasukan pelbagai fungsi (CFT).

Selain itu, ia turut membabitkan ujian atas jalan sejauh 1.9 juta kilometer di jalan raya negara ini untuk memastikan kesesuaian dengan iklim panas dan lembap serta keadaan jalan raya yang unik di sini, kata Roslan.

Menurutnya, pada masa sama, jurutera pengeluaran syarikat memulakan usaha membina unit percubaan, praproduksi dan akhirnya pengeluaran penuh Proton X50 di kilang pengeluaran baharu di Tanjung Malim yang siap dibina pada 2019 dengan kos sebanyak RM1.2 bilion.

“Proton X50 ini ditawarkan lengkap dengan pakej komprehensif bagi meningkatkan pengalaman pemilikannya termasuk jaminan jarak tempoh tanpa had selama lima tahun selain pakej data lima tahun yang menyediakan 1GB data percuma bagi setiap bulan,” katanya.

Selain itu, 30,000 pelanggan pertama yang membuat tempahan sebelum atau pada 31 Disember 2020, akan menerima caj khidmat buruh percuma untuk lima kali servis.

Malah, semua pelanggan ditawarkan pelbagai faedah sekiranya insurans Proton X50 mereka diperolehi menerusi Pakej Perlindungan Insurans Premium Proton, katanya.

Kadar pembiayaan pinjaman rendah bermula daripada 2.22 peratus turut ditawarkan kepada semua pembeli melalui syarikat kewangan dalaman Proton iaitu Proton Commerce Sdn Bhd.

“Kami yakin pelanggan akan gembira dengan spesifikasi, harga dan pakej faedah yang ditawarkan menerusi pembelian Proton X50.

“Terdapat varian yang bersesuaian dengan setiap keperluan dan perbelanjaan. Kami juga berharap sepertimana Proton X70, SUV terbaharu kami akan menarik lebih ramai pelanggan,” katanya.

– BERNAMA