Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Jakarta kembali kuat kuasa Pembatasan Sosial Berskala Besar

JAKARTA, 13 SEPT: Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) kembali dikuatkuasakan di Jakarta selama dua minggu mulai esok berikutan kes positif Covid-19 yang meningkat semakin mendadak di provinsi itu.

Gabenor Jakarta Anies Baswedan dalam sidang media menerusi laman Youtube rasmi pemerintah Jakarta hari ini berkata secara prinsipnya PSBB itu mewajibkan warga Jakarta kembali melakukan banyak kegiatan harian di rumah, termasuk bekerja, belajar dan beribadat.

PSBB dikuatkuasakan di provinsi Jakarta buat pertama kali pada 31 Mac lepas, namun pemerintah Jakarta membenarkan kembali beberapa aktiviti sosioekonomi menerusi fasa transisi PSBB bermula 5 Jun lepas, setelah kes virus itu berkurangan.

Namun sejak akhir Ogos lepas, kes positif baharu di provinsi Jakarta berterusan meningkat pada kadar purata hampir 1,000 kes setiap hari.

Antara peraturan PSBB itu adalah hanya 11 sektor yang dibenarkan pekerjanya berada di pejabat, antaranya sektor kesihatan, perbankan, komunikasi dan makanan.

Orang ramai dilarang berkumpul melebihi lima orang, dan mereka yang tidak memakai pelitup mulut, hidung, di luar rumah akan dikenakan denda Rp250,000 (RM75), manakala rumah-rumah ibadat serta pusat rekreasi dan pelancongan kembali ditutup, pegehadan penggunaan pengangkutan awam serta larangan makan di restoran, iaitu hanya dibenarkan pembelian untuk dibawa pulang.

Mengikut perangkaan, kes positif virus itu di Jakarta meningkat mendadak, dan berdasarkan data, pada 31 Ogos lepas kes positif keseluruhan dicatatkan 39,280 dan kes positif keseluruhan pada hari ini telah meningkat kepada 54,220.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenan Covid-19, www.covid19.go.id hari ini, sebanyak 3,636 kes positif baharu dicatatkan di seluruh Indonesia, menjadikan jumlah kes keseluruhan di republik itu kini meningkat kepada 218,382 kes.

Provinsi Jakarta mencatatkan kes positif tertinggi (54,220) dengan tambahan 1,380 kes positif baharu, serta jumlah kematian keseluruhan sebanyak 1,391 orang.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 73 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian kumulatif di republik itu kini 8,723 orang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Pembatasan sosial lebih ketat di Jakarta sehingga 23 April

JAKARTA, 10 APRIL: Perintah pembatasan sosial berskala besar (PSBB) di Kota Jakarta diperketatkan lagi bermula hari ini sehingga 23 April, bagi mengekang pandemik Covid-19.

Antara arahan baharu berkaitan PSBB itu ialah penunggang motosikal perkhidmatan pengangkutan dalam talian seperti Gojek dan Grab, tidak lagi dibenarkan membawa penumpang.

Tiada angka tepat, namun dianggarkan terdapat lebih 1.2 juta pemandu perkhidmatan pengangkutan dalam talian di Jakarta dan kota sekitarnya, dan bermula hari ini hanya boleh menjalankan perkhidmatan penghantaran barang atau makanan sahaja.

Gabenor Jakarta, Anies Baswedan dalam satu kenyataan berkata, bermula hari ini juga, pengangkutan awam dan persendirian dibataskan jumlah penumpang tidak melebihi 50 peratus daripada kapasiti jumlah penumpang kenderaan itu.

Orang ramai juga tidak lagi dibenarkan makan atau minum di restoran atau kedai makan, dan mereka hanya dibenarkan membungkus makanan sahaja.

Mereka yang berada di luar rumah juga diwajibkan memakai penutup mulut dan hidung, manakala penunggang motosikal persendirian atau perkhidmatan pengangkutan dalam talian, diwajibkan juga memakai sarung tangan.

Mereka yang ingkar arahan berkenaan boleh dikenakan denda maksimum Rp100 juta (hampir RM30,000) dan hukuman penjara maksimum satu tahun.

Kes kematian akibat pandemik COVID-19 di Indonesia setakat semalam meningkat kepada 280 kes, dengan jumlah tertinggi kematian berlaku di Jakarta iaitu 142 kes.

Meskipun tiada larangan keluar rumah, Kota Jakarta serta kota-kota berhampirannya yang berpenduduk lebih 30 juta orang itu, tetapi ia “sepi” sejak 16 Mac lepas, selepas beberapa langkah secara berperingkat-peringkat dilaksanakan seperti penutupan sekolah, tempat ibadat, pusat pelancongan, pusat hiburan serta arahan bekerja dari rumah bagi sektor tidak kritikal, larangan berhimpun atau berkumpul, pembatasan penggunaan pengangkutan awam, selain kempen “duduk di rumah”.

-BERNAMA