Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar gesa ahli parlimen KEADILAN dengar rintihan rakyat, bantu pulih negara

SHAH ALAM, 9 OKT: Ahli parlimen KEADILAN digesa terus berkhidmat membantu masyarakat ketika berdepan pandemik Covid-19, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden KEADILAN berkata dengan cara itu, parti boleh mengenal pasti cara terbaik dalam memulih dan memakmurkan negara.

“Penting untuk mereka bekerja secara aktif dan sering berinteraksi dengan pihak berkepentingan dalam menghadapi cabaran berkaitan dengan sektor yang berada di bawah portfolio mereka.

“Ahli Parlimen tidak boleh berfungsi hanya untuk menyatakan pendirian parti semata-mata tetapi perlu bertindak sebagai penjaga kepentingan awam,” katanya pada pertemuan menerusi Zoom dengan ahli Majlis Pimpinan Pusat serta wakil rakyat parti itu.

Perkara itu disampaikan Setiusaha Agung parti, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata ketua pembangkang turut memberi penekanan khusus kepada Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun supaya bekerja keras menangani cabaran akibat pandemik.

Katanya, Anwar turut menerangkan majlis mengadap Yang di-Pertuan Agong pada minggu depan dan hasrat membentuk kerajaan yang kukuh dan stabil merangkumi seluruh kekuatan yang menumpukan agenda rakyat.

Categories
NASIONAL

PH perlukan enam bulan lagi untuk pulih negara – Daim

KUALA TERENGGANU, 14 APR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerlukan enam bulan lagi untuk memulihkan negara selepas mengambil alih pentadbiran Mei tahun lalu, kata Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.

Beliau berkata, dalam tempoh itu PH perlu berdepan dengan rakyat dan memberi penerangan yang tepat terutama dalam hal ekonomi agar mereka faham situasi semasa.

Katanya, kekalahan PH dalam pilihan raya kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan semalam juga adalah cabaran yang harus ditangani memandangkan rakyat tidak mampu bersabar dengan situasi semasa.

“Saya rasa kerajaan perlu tempoh masa enam bulan lagi untuk membetulkan keadaan bukan sahaja tumpu kepada pembangunan ekonomi, tetapi pelbagai isu. Ini rakyat perlu faham,” katanya kepada pemberita selepas Program Bicara Darul Iman yang turut dihadiri Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di sini hari ini.

Daim berkata, walaupun memahami rakyat mahu melihat perubahan, namun kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk meneliti dan menimbang sebaik mungkin sesuatu isu termasuk berhubung kedudukan ekonomi dan kewangan negara.

“Kerajaan banyak masalah… fikir tentang keselamatan, hubungan luar dan pertahanan… esok (kemudian nanti) kalau jadi apa-apa, rakyat marah kerajaan juga. Nak turunkan harga barang tu memang boleh… kita buat kajian macam mana nak turunkan harga. Insyaallah tak lama lagi akan turun, saya ingat dalam masa enam bulan lagi banyak perkara akan jadi lebih stabil,” katanya.

Beliau turut mengaitkan kekalahan Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau semalam mungkin sebahagian manifestasi kemarahan rakyat terhadap kerajaan disebabkan kenaikan harga barang yang puncanya tidak diketahui oleh rakyat.

Ditanya sama ada persepsi rakyat terhadap prestasi kerajaan akan bertambah baik pada masa akan datang, beliau berkata, ia akan berlaku sebaik sahaja kerajaan dapat menyelesaikan permasalahan rakyat seperti kenaikan kos sara hidup dan melaksanakan janji-janji manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke14 yang lalu.

“Bukannya susah hendak terangkan kepada rakyat. Kalau tak boleh buat cakap tak boleh buat. Bagi tahu kepada rakyat apa sebab tak boleh buat (sesuatu perkara), mesti ada sebab. Takkan kalau boleh buat tapi kerajaan tak nak buat, itu yang penting untuk dijelaskan kepada rakyat,” katanya.

SUMBER: BERNAMA