Categories
BERITA UTAMA

Kerajaan tumpu usaha tingkat pendapatan rakyat sejak RMK-5

TUMPAT, 24 OGOS: Kerajaan menumpukan usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat sejak Rancangan Malaysia Kelima (RMK-5), kata bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.

Beliau berkata, antara dasar yang diperkenalkan kerajaan pada waktu itu adalah meningkatkan pendapatan dan mengurangkan inflasi supaya rakyat dapat menggunakan wang dengan lebih baik.

“Sama ada suka ataupun tak, kalau dibandingakn dengan dulu sampai sekarang, rakyat lebih selesa daripada dulu. Dulu mana jalan macam sekarang. Dulu mana ada titi (jambatan) macam sekarang.

“Dulu kita naik basikal sekarang semua naik kereta, takkan tak ada kemajuan? Mesti ada kemajuan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Koperasi dan Bekwoh (Kenduri) Rakyat anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Pantai Geting di sini, hari ini.

Turur hadir Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin; Pengerusi Eksekutif SSM, Datuk Nordin Salleh; Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Datuk Husam Musa dan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
 
Daim mengulas mengenai dakwaan yang dibuat pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berhubung kadar kemiskinan di negara ini.

Pelapor Khas PBB berhubung kemiskinan tegar dan hak asasi manusia, Philip Alston sebelum ini dilaporkan berkata angka rasmi berkenaan kemiskinan di negara ini sebahagian besarnya tidak tepat dan tidak mencerminkan keadaan sebenar.

Alston dipetik sebagai berkata angka rasmi bergantung kepada langkah lapuk dengan garis kemiskinan kekal di tahap sama selama beberapa dekad walaupun kos kehidupan yang semakin tinggi.

Ditanya berhubung khabar angin berkenaan pertukaran portfolio beberapa menteri dalam masa terdekat, Daim berkata perkara berkenaan perlu dirujuk kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun, pada masa sama beliau meminta masyarakat supaya terus memberikan maklumbalas terhadap prestasi wakil rakyat yang dipilih mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

-BERNAMA     

Categories
NASIONAL

Kerajaan perlu serius dengar suara rakyat

MACHANG, 26 MEI: Selepas setahun Pakatan Harapan (PAKATAN) memerintah negara, sudah sampai masanya bagi kerajaan menumpukan dengan lebih serius mendengar suara rakyat yang kini terus bergelut dengan kos sara hidup tinggi.

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin berkata tiga faktor yang perlu diberi penekanan oleh kerajaan sekarang iaitu pembinaan rumah mampu milik, harga barang keperluan yang murah dan penurunan kadar tol.

“Sebelum ini kerajaan memfokuskan beberapa isu penting seperti Lembaga Tabung Haji, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan sebagainya dan bagi tahun kedua pemerintahan biarlah isu berkaitan rakyat diutamakan pula.

“Saya juga mewakili rakyat yang mahukan perkara-perkara ini diambil kira bagi mengurangkan beban rakyat,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Koperasi Keluarga Haji Zabir Kelantan Berhad (KOZA) di sini, hari ini.

Daim yang melakukan lawatan kerja seharinya ke Kelantan, sebelah pagi tadi turut meninjau Pelabuhan To Bali, Pasir Puteh bagi melihat keperluan bekalan ikan untuk negeri ini dan Terengganu.

Mengulas lanjut, Daim berkata pembinaan rumah mampu milik itu perlu dilaksanakan yang mesti mementingkan kualiti mengikut ciri-ciri terkini.

“Kalau awak (pemberita) tanya saya, saya macam awaklah yang mahukan selain rumah mampu milik, kita juga mahukan harga barang mesti rendah temasuk kadar tol mesti diturunkan pada tahun kedua ini,” katanya.

Pembinaan rumah mampu milik, harga barangan keperluan yang murah dan juga penurunan tol merupakan manifesto PH ketika pilihan raya umum lalu dan ia terus menjadi isu yang masih membelenggu rakyat.

Ditanya bekalan ikan ketika lawatan, beliau mengharapkan bekalan ikan mencukupi selain harga yang rendah dapat ditawarkan kepada pengguna.

Beliau juga mengharapkan agar pasaraya turut menawarkan harga rendah terutama ketika umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Sementara itu mengenai Piagam Permuafakatan Perpaduan antara PAS dan UMNO yang dijangka dimeterai selepas Aidilfitri nanti, Daim menganggap ia suatu perkara biasa dalam politik.

“Ini perkara biasa bukan luar biasa dan terpulanglah kepada mereka sama ada berjaya atau tidak dan ia bergantung kepada keadaan,” katanya.

Daim juga berkata beliau bukan seorang ahli nujum untuk menentukan piagam berkenaan berjaya atau tidak ataupun memberi kesan kepada kerajaan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Daim saran tubuh bahagian khas kendali pelaburan ECRL

KUALA LUMPUR, 19 APR: Satu bahagian khas perlu ditubuhkan bagi melancarkan serta memberi kemudahan pelaburan China dan sumber domestik untuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Ketika melontarkan cadangan itu, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin berkata, ini penting kerana beliau menerima pertanyaan daripada pihak yang berminat untuk melabur di negara ini.

Malah, kata beliau, cadangan penubuhan bahagian khusus itu turut disuarakan oleh kedua-dua pelabur China serta tempatan dan beliau sendiri sudah memaklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sewaktu ke China baru-baru ini, saya turut didatangi pelabur yang menyatakan minat mereka untuk melabur di sini. Oleh itu, saya berpendapat bahagian khas itu akan berperanan membantu (urusan pelaburan) pelabur dari China serta pelabur tempatan.

“Sekiranya ini (bahagian khas) diwujudkan, apabila pelabur China ke Malaysia, kita dapat menguruskan dari segi mengatur mesyuarat dan membantu sehingga mereka mendapat kelulusan (bagi pelaburan masing-masing).

“Mereka akan mendapati bahawa semua urusan itu berjalan lancar dan pantas dan kita juga akan mendapat kepercayaan mereka,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Mengulas selanjutnya, Daim turut mengingatkan pelabur tempatan untuk bersedia dengan impak limpahan projek ECRL itu kerana para pekerja terbabit akan memerlukan perkhidmatan seperti tempat tinggal serta makanan.

Beliau juga menyifatkan pada kos RM44 bilion, projek rel itu adalah yang terbesar terutamanya bagi kalangan penduduk Pantai Timur dan peluang besar itu wajar dimanfaatkan oleh mereka serta perniagaan di kawasan terbabit.

“Oleh itu, jika penduduk tempatan bijak dan mengambil kesempatan (di atas projek itu), mereka boleh membantu (pelaburan) dengan meningkatkan perbelanjaan dan menjana pendapatan. Ini turut menjadi antara cara bagi merangsang pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar,” jelasnya.

Selain itu, Daim juga menggesa penduduk di sekitar kawasan laluan rel berkenaan untuk turut sama mempromosikan kelebihan (produk), kepakaran dan perkhidmatan yang boleh ditawarkan.

“Mereka perlu berani tampil dan menawarkan aspek infrastruktur atau pun tenaga kerja yang ada.

“Saya juga menjangkakan kita akan menyaksikan lebih banyak manfaat untuk negara ini sekembalinya Perdana Menteri daripada Sidang Kemuncak ‘One Belt, One Road’ (Satu Jajaran, Satu Laluan) di China pada akhir bulan ini,” katanya.

Pada awal minggu ini, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) bersetuju membentuk syarikat usaha sama 50:50 untuk pengendalian, pengoperasian dan penyelenggaraan rangkaian rel ECRL tersebut.

SUMBER: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Daim: ECRL kini beri lebih peluang kontraktor tempatan

KUALA LUMPUR, 19 APR: Projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang telah dirunding semula menawarkan banyak peluang kepada kontraktor tempatan termasuk Bumiputera terutama dalam kerja-kerja awam seperti pembekalan dan aspek teknikal, kata Tun Daim Zainuddin.

Wakil Khas Perdana Menteri dalam kejayaan rundingan semula projek ECRL bersama kerajaan China pada 12 April lepas itu berkata, peluang ini perlu direbut kontraktor tempatan kerana terlalu banyak pakej menarik yang ditawarkan dalam projek yang akan mengubah landskap ekonomi negara, dan menjadi kerugian jika ia dilepaskan begitu sahaja.

“Jika tiada keupayaan, kena kerjasama erat dengan pakar asing kerana terlalu banyak pakej ditawarkan. Malah tidak mustahil, penglibatan mereka akan lebih daripada 40 peratus jika kolaborasi itu berjaya. Saya nampak, mungkin dari sudut pembekalan dan teknikal. Jadi mereka ini perlu bersedia.

“Mereka perlu pergi berbincang dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), tunjuk kepakaran dan perkhidmatan yang boleh ditawarkan. Ini tender antarabangsa, kena produktif, jangan tunggu peluang datang bergolek, jangan tunggu orang panggil, jangan kritik tanpa fakta, orang meniaga kena bergerak.

“Datang jumpa saya jika malu, saya akan bantu jika mereka betul-betul layak. Jangan mengharapkan kerajaan untuk datang kepada anda, anda sendiri yang perlu bersedia dan berjumpa dengan pemain industri,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di pejabatnya di sini.

Projek ECRL dimulakan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini dan digantung tahun lepas oleh kerajaan Pakatan Harapan berikutan membabitkan kos yang tinggi.

Pada 12 April, MRL dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) memeterai Perjanjian Tambahan (SA) yang membolehkan projek ECRL yang ditangguhkan, disambung semula.

Di bawah perjanjian baharu, kos pembinaan bagi Fasa 1 dan 2 ECRL akan disambung semula dengan harga RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada unjuran asal sebanyak RM65.5 bilion. Ia akan meliputi jajaran baharu dengan jarak landasan dikurangkan sebanyak 40 kilometer selain pengurangan kos daripada RM98 juta kepada RM68 juta bagi setiap kilometer.

Pada 15 April, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pembabitan Malaysia dalam kerja-kerja awam projek ECRL ditingkatkan kepada 40 peratus berbanding 30 peratus susulan pemeteraian SA itu.

Mengulas lanjut, Daim berkata, projek mega untuk limpahan pelbagai pihak khasnya warga pantai timur itu, bukanlah projek gajah putih kerana melibatkan 70 peratus muatan kargo dan 30 peratus penumpang sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat di negara ini.

“Pastinya ini antara projek terbesar untuk warga pantai timur dan paling mahal pernah dibuat untuk membawa persamaan (kemajuan) antara barat dengan timur kerana selama ini mereka ketinggalan. Pantai timur akan berubah berbanding sebelum ini, kita ada peluang dengan adanya ECRL.

“Malah saya sendiri telah berbincang dengan Menteri Besar Terengganu (mengenai prospek ECRL). Dan saya akan ke Kelantan nanti. Kita harap negeri-negeri terlibat ambil kesempatan dengan membuat pelbagai promosi untuk menarik pelabur.

“Ini peluang untuk ambil kesempatan dengan bijak kerana ia projek terbesar pernah diadakan di jajaran pantai timur yang kaya dengan budaya dan adat, makanan sedap, peluang pelaburan dan perniagaan. Kerana itu kena ambil kesempatan untuk kebaikan bersama-sama,” katanya.

Tegasnya, antara bidang yang akan menerima manfaat dengan kewujudan ECRL ini adalah sektor ekonomi dan pelancongan yang pastinya akan melibatkan banyak peluang ekonomi dan pekerjaan baharu di setiap stesen dan perhentian.

“Kalau sebelum ini boleh berjaya di pantai barat, kenapa tidak lakukan perkara yang sama di pantai timur. Ini bakal mewujudkan kemajuan yang seimbang di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Jajaran baharu itu menyaksikan panjang landasan dikurangkan kepada 648 kilometer berbanding rancangan awal 688 kilometer, melalui lima negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan selain Putrajaya berbanding hanya empat negeri sebelum ini.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

PH perlukan enam bulan lagi untuk pulih negara – Daim

KUALA TERENGGANU, 14 APR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerlukan enam bulan lagi untuk memulihkan negara selepas mengambil alih pentadbiran Mei tahun lalu, kata Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.

Beliau berkata, dalam tempoh itu PH perlu berdepan dengan rakyat dan memberi penerangan yang tepat terutama dalam hal ekonomi agar mereka faham situasi semasa.

Katanya, kekalahan PH dalam pilihan raya kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan semalam juga adalah cabaran yang harus ditangani memandangkan rakyat tidak mampu bersabar dengan situasi semasa.

“Saya rasa kerajaan perlu tempoh masa enam bulan lagi untuk membetulkan keadaan bukan sahaja tumpu kepada pembangunan ekonomi, tetapi pelbagai isu. Ini rakyat perlu faham,” katanya kepada pemberita selepas Program Bicara Darul Iman yang turut dihadiri Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di sini hari ini.

Daim berkata, walaupun memahami rakyat mahu melihat perubahan, namun kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk meneliti dan menimbang sebaik mungkin sesuatu isu termasuk berhubung kedudukan ekonomi dan kewangan negara.

“Kerajaan banyak masalah… fikir tentang keselamatan, hubungan luar dan pertahanan… esok (kemudian nanti) kalau jadi apa-apa, rakyat marah kerajaan juga. Nak turunkan harga barang tu memang boleh… kita buat kajian macam mana nak turunkan harga. Insyaallah tak lama lagi akan turun, saya ingat dalam masa enam bulan lagi banyak perkara akan jadi lebih stabil,” katanya.

Beliau turut mengaitkan kekalahan Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau semalam mungkin sebahagian manifestasi kemarahan rakyat terhadap kerajaan disebabkan kenaikan harga barang yang puncanya tidak diketahui oleh rakyat.

Ditanya sama ada persepsi rakyat terhadap prestasi kerajaan akan bertambah baik pada masa akan datang, beliau berkata, ia akan berlaku sebaik sahaja kerajaan dapat menyelesaikan permasalahan rakyat seperti kenaikan kos sara hidup dan melaksanakan janji-janji manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke14 yang lalu.

“Bukannya susah hendak terangkan kepada rakyat. Kalau tak boleh buat cakap tak boleh buat. Bagi tahu kepada rakyat apa sebab tak boleh buat (sesuatu perkara), mesti ada sebab. Takkan kalau boleh buat tapi kerajaan tak nak buat, itu yang penting untuk dijelaskan kepada rakyat,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tukar kerajaan, jangan biar GST tekan rakyat

OLEH AFIX REDZUAN

HULU KELANG, 6 MEI: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menyifatkan perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dilakukan kerajaan sebagai ‘Goverment Suka Tipu’.

Katanya, ini diakui sendiri Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang sebelum ini menyatakan bahawa pelaksanaan GST akan menurunkan harga barang.

“Ini semua berita palsu (fake news), sebab itu Kerajaan wujudkan Akta Berita Tidak Benar kerana mereka yang banyak sebarkan ‘fake news’,” katanya Himpunan Malam Semarak Tsunami Rakyat di Padang AU2, Keramat, di sini.

Sementara itu, Bekas Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafizah Azizah berkata, menukar kerajaan umpama memberikan kontrak baru kepada pihak pengurusan menguruskan sebuah rumah.

Menurutnya, Malaysia seperti sebuah rumah, namun diuruskan oleh sebuah syarikat yang mempunyai rekod ‘F’ atau gagal dalam kad laporan pengurusan.

“Semua dalam tangan kita, PRU seperti nak buat kontrak mengurus baru untuk rumah kita (Malaysia).

“Begitu lama dari zaman Perikatan hingga Barisan Nasional (BN)

“Rumah dah bocor, pinggan mangkuk dicuri. Pengurusan yang ada sekarang tidak boleh pakai. Kena tukar syarikat baru,” katanya.

Katanya, PAKATAN merupakan ‘syarikat’ yang layak untuk menguruskan Malaysia dengan rekod pentadbiran cemerlang sejak 10 tahun lalu.

Categories
NASIONAL

Jangan pandang remeh kenyataan Tun Daim

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PERAK, 4 MEI: Kenyataan Tun Daim Zainuddin yang mengaitkan kemampuan Pakatan Harapan (PAKATAN) menawan negeri pentadbiran Barisan Nasional (BN), pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak harus dipandang remeh.

Naib Presiden PAKATAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kenyataan berkenaan bersifat realiti dengan berpandukan penyelidikan dan kajian tepat.

“Tun Daim ini dikenali sebagai ‘strategic planning’. Biasanya, kalau beliau menzahirkan sesuatu perkara, ia berlandaskan penyelidikan dan kajian.

“Jadi jangan ambil ringan pandangan Tun Daim kerana jika dia bersuara terhadap sesuatu isu, beliau ada pertimbangan dengan merujuk faktor semasa kini,” katanya kepada pemberita di Bagan Serai, Perak, petang tadi.

Akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau, melaporkan Daim menjangkakan peluang BN untuk mengekalkan kemenangan di Johor dan Sabah adalah “50-50”.

Laporan MalaysiaKini mendedahkan, sejak akhir 2007, “jangkaan ” Daim itu sering menjadi kenyataan.

Antaranya ramalan beliau bahawa BN akan kalah di Kedah, Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang, pada PRU12 lalu.

Jangkaan bekas Menteri Kewangan itu menyaksikan gabungan pembangkang berjaya menawan negeri berkenaan.

Bagi PRU13 pula, beliau menjangkakan BN akan menawan semula Kedah jika mempunyai pemimpin sesuai.

Hasilnya, BN Kedah akhirnya menang dengan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dipilih menerajui kepimpinan Kedah sebelum berlakunya peralihan kuasa, di negeri itu.

Categories
NASIONAL

Tun Daim dakwa UMNO pertubuhan haram

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 MEI: Bekas Menteri Kewangan dan Bendahari UMNO, Tun Daim Zainuddin mendakwa parti Melayu itu sebagai haram dan beliau tidak boleh menjadi seorang ahli ‘pertubuhan haram’.

Katanya, keadaan itu menyebabkan beliau keluar melawan bagi menegakkan keadilan.

“Saya memperjuang keadilan untuk rakyat. Saya tidak takut tindakan disiplin yang akan diambil kerana UMNO sebuah pertubuhan haram dan di bawah undang-undang, saya tidak boleh menjadi ahli pertubuhan haram,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan pengundi, di Pendang.

Memetik laporan portal The Edge Market, dakwaan Daim itu berpunca daripada tindakan UMNO yang menagguhkan pemilihan parti sehingga 19 April 2019 dan diluluskan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sedangkan ia sepatutnya dilakukan, pada 19 April lalu.

Categories
NASIONAL

PR sokong cadangan Daim mansuh AP

Oleh : AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR 21 NOV – Pakatan Rakyat (PR) menyokong cadangan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin supaya kerajaan menimbang cadangan memansuhkan Permit Import (AP) bagi membantu rakyat memiliki kenderaan pada harga murah.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dalam jawapan ringkas menerusi sistem pesanan ringkas berkata, beliau bersetuju dengan kenyataan berkenaan meskipun Daim mengulangi pendirian PR sebelum ini.

Rafizi-Cukai-Kereta“Saya setuju dan sebenarnya Tun Daim hanya mengulangi pendirian kita selama ini bahawa AP perlu dihapuskan untuk mengurangkan harga kereta,” katanya.

Tun Daim dalam laporan media menyatakan kerajaan perlu mengambil langkah positif dalam Dasar Automotif Negara (NAP) yang akan disemak tidak lama lagi supaya menimbangkan kepentingan segmen penduduk yang lebih besar dan bukannya beberapa orang terpilih sahaja.

Syor pemansuhan AP kereta juga turut dinyatakan Presiden Eksekutif Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd, Roland S Folger.

Folger juga menekankan, pemansuhan AP terbuka tidak akan menjejaskan kutipan cukai kerajaan tetepi dapat meningkatkannya.

Di Malaysia, terdapat 98 syarikat yang mempunyai AP kereta dan PR sebelum ini menganjurkan kempen ‘Turunkan Harga Kereta’ serta menyenaraikan kempen berkenaan di dalam manifesto pilihan raya lalu.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Anwar Gagal Agenda Melayu: Tuduhan Sanusi Tidak Berasas

SHAH ALAM, 24 OKT : Tuduhan bekas menteri Tan Sri Sanusi Junid bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim menggagalkan agenda Melayu ketika memegang jawatan Menteri Kewangan adalah tidak berasas sama sekali.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ketaksuban Sanusi menyerang Anwar dan mempertahankan Tun Dr Mahathir Mohammad  dan Tun Daim Zainuddin menyebabkan beliau tidak nampak penyelewengan ekonomi ini sebenarnya memangsakan rakyat.

Sebelum ini, Sanusi dalam satu forum ekonomi Melayu berkata, Mahathir dan Daim cuba ?meniru? dasar anti-Yahudi Jerman dahulu dengan tidak memberikan lesen perbankan kepada bukan Melayu.

Namun Sanusi mendakwa usaha ini digagalkan oleh Anwar yang memberikan lesen perbankan kepada dua kumpulan bukan Melayu – Hong Leong Bank dan Alliance Bank.

“Alliance Bank Malaysia Berhad merupakan syarikat perbankan di bawah Alliance Financial Group Berhad (AFG) yang dikaitkan dengan Tun Daim Zainudin.

“Daim dikatakan memiliki 14.8 peratus AFG menerusi Langkah Bahagia Sdn Bhd  yang bersama-sama denga pihak berkaitan syarikat pelaburan Singapura, Temasek Holdings Ltd yang mempunyai kepentingan di dalam AFG menerusi Vertical Theme Sdn Bhd,” kata Nik Nazmi dalam kenyataan medianya.

Jelas Nik Nazmi, hubungan AFG dan Daim bermula sejak 1982 lagi apabila beliau membeli Malaysian French Bank yang kemudiannya dinamakan Multi-Purpose Bank.

Pada 1997, Langkah Bahagia membeli saham di dalam Hock Hua Bank (Sabah) iaitu salah seorang pemilik saham Langkah Bahagia, Mohd Nasir Ali yangmengumumkan bahawa beliau bertindak bagi pihak Daim.

Hock Hua Bank kemudian ditukar nama menjadi International Bank Malaysia Berhad dan digabungkan bersama Multi-Purpose Bank serta enam lagi syarikat kewangan untuk menjadi AFG.

“Mungkin agenda Melayu yang dimaksudkan Sanusi adalah untuk menjaga kepentingan saham kroni-kroni Umno-BN seperti bagaimana Petronas ditekan untuk menyelamatkan syarikat milik anak Mahathir, Mirzan iaitu Konsortium Perkapalan Berhad sewaktu krisis ekonomi 1997 dengan harga melebihi kadar pasaran.

“Namun yang menghalang usaha tersebut ialah Anwar,” tegas Nik Nazmi.