Categories
AGENDA NASIONAL

PPV IDCC: 204 petugas positif, individu hadir 9 hingga 12 Julai diminta kuarantin

PUTRAJAYA, 13 JULAI: Pusat pemberian vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC) di Shah Alam ditutup hari ini setelah 204 kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan petugas PPV berkenaan, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.

Susulan penutupan sehari PPV itu bagi tujuan sanitasi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, sebanyak 6,000 janji temu dijadualkan semula, katanya.

Menurutnya, kesemua 453 petugas PPV berkenaan menjalani ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) secara beramai-ramai pada 10 Julai lepas dan keputusan ujian saringan menunjukkan kesemua yang positif mempunyai nilai kitaran ambang (CT) lebih daripada 35 iaitu beban virus (viral load) yang rendah.

Menurut Khairy, 88 peratus atau kira-kira 400 petugas di PPV itu telah divaksinasi, manakala baki 12 peratus sukarelawan belum divaksin mungkin disebabkan penggiliran petugas baharu, dan kemungkinan mereka yang positif itu mempunyai beban virus yang rendah kerana kebanyakan mereka telah divaksinasi.

“Jangkitan di PPV IDCC merupakan kes pertama melibatkan PPV. Berikutan kes Covid-19 yang tinggi di Lembah Klang, sukar untuk kami pastikan sama ada sesuatu jangkitan itu berlaku di IDCC atau di tempat lain,” katanya dalam sidang media di sini hari ini berkenaan situasi PPV IDCC.

Khairy menyarankan individu yang hadir janji temu vaksin di PPV berkenaan dari 9 Julai hingga semalam (12 Julai) untuk melakukan kawalan kendiri selama sepuluh hari dan menjalani ujian saringan Covid-19 sekiranya bergejala.

Menurutnya Petugas Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) telah diarahkan untuk ke PPV IDCC hari ini bagi membantu mereka yang tidak menyedari akan penutupan PPV berkenaan yang pemaklumannya dibuat melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan media sosial.

Beliau berkata semua petugas PPV IDCC sebelum ini akan ditukarkan dengan pasukan petugas baharu sebagai langkah berjaga-jaga agar potensi jangkitan dapat dikurangkan.

“CITF akan terus meningkatkan semua usaha untuk memastikan PPV IDCC adalah selamat bagi menerima kehadiran orang ramai untuk suntikan vaksin pada hari-hari seterusnya,” katanya.

Tambah beliau Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) telah diminta untuk melakukan pemantauan kualiti pengudaraan di PPV itu.

Khairy mengingatkan PPV lain untuk terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang telah ditetapkan tanpa sebarang kompromi.

“PPV yang mengalami masalah, terutamanya mengenai kesesakan disaran memaklumkan kepada CITF Pusat agar kami dapat membantu dengan segera,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PPV IDCC Shah Alam ditutup, saran pengunjung jalani kuarantin

SHAH ALAM,13 JULAI: Pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam ditutup hari ini susulan kes positif Covid-19 dikenal pasti dalam kalangan petugasnya.

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) memaklumkan langkah penutupan itu diambil hasil keputusan ujian yang diperoleh malam tadi bagi membolehkan kerja sanitasi dijalankan.

“CITF juga menyarankan mereka yang hadir untuk vaksinasi antara 29 Jun hingga 12 Julai membuat penilaian kendiri dan melakukan saringan sekiranya bergejala.

“Janji temu yang diberikan pada hari ini akan dijadualkan semula kepada satu tarikh lain secepat mungkin,” katanya menerusi kenyataan.

Pada 2 Mei lalu, PPV di IDCC Shah Alam dibuka bagi mempercepatkan urusan suntikan imunisasi berkenaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kendalian kali pertama Kerajaan Selangor itu melibatkan suntikan khas vaksin AstraZeneca untuk individu yang mahu mengambilnya secara sukarela.