Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor bina pusat pembangunan e-sukan terbesar di Asia Tenggara

SHAH ALAM, 30 APRIL: Pusat pembangunan e-sukan terbesar di Asia Tenggara akan dibina di negeri ini dengan kos lebih RM10 juta.

EXCO sukan berkata pusat yang dilengkapi akademi latihan, penginapan, studio dan tenaga pengajar dijangka boleh digunakan mulai tahun depan.

“Hari ini adalah program terpenting dalam sejarah Kerajaan Selangor kerana majlis menandatangani perjanjian ini matlamatnya menyokong usaha Kerajaan Negeri mewujudkan pusat pembangunan e-sukan.

“Pembangunan ini dijangka lebih RM10 juta hasil gabungan kewangan swasta dan Kerajaan Negeri,” kata Mohd Khairuddin Othman.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian antara Serba Dinamik Group Berhad dan persatuan e-sukan di Hotel Mardhiyyah di sini.

Katanya, kemudahan itu akan menggunakan bekas Hotel Carlton di Seksyen 13 yang diubah suai dan dijangka siap pada penghujung tahun ini.

“Tahun ini kita mempunyai peruntukan RM3 juta untuk kita turun ke daerah-daerah bagi pembangunan e-sukan dan pada tahun hadapan kita akan gunakan pusat ini,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

Sedia pusat pembangunan e-sukan, lahir pemain profesional

SHAH ALAM, 23 MAC: Selangor bakal mewujudkan pusat pembangunan e-sukan dilengkapi akademi latihan, penginapan, studio dan tenaga pengajar di Seksyen 13 di sini.

EXCO sukan berkata sejumlah RM3 juta diperuntuk untuk mengubah suai bangunan bekas Hotel Carlton yang dijadualkan siap pada hujung tahun ini.

“Kerajaan Negeri menjalin kerjasama dengan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Persatuan e-Sports Selangor (ESS), Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Usaha ini membolehkan kita merangka modul latihan untuk melahirkan pemain profesional e-sukan,” kata Mohd Khairuddin Othman pada sidang media selepas merasmikan Selangor Xtiv Virtual 2021 di lobi Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Beliau berkata e-sukan bakal menjadi kerjaya masa depan yang memberi pendapatan lumayan menerusi permainan secara kompetitif.

Perkembangan sukan secara maya itu di Malaysia bermula menerusi pertandingan di peringkat tempatan anjuran kelab sebelum mendapat tempat pada Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018.

Negara juga menghantar atlet e-sukan pada Sukan Asia 2018 di Jakarta, Indonesia dan Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.