Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pusat urut kaki kembali operasi, juruterapi OKU gembira sambung rezeki

KUALA LUMPUR, 28 JUN: Umpama “rumput yang sudah kering, ditimpa hujan segar kembali” – demikian menggambarkan perkhabaran yang disampaikan kerajaan dua hari lepas mengenai kebenaran spa dan pusat refleksologi beroperasi kembali bermula 1 Julai ini bagi kira-kira 3,000 juruterapi kurang upaya penglihatan di negara ini.

Ini kerana, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac, disusuli PKP Bersyarat pada 4 Mei dan PKP Pemulihan pada 10 Jun, mereka langsung tiada pendapatan berikutan subsektor pelancongan itu dikecualikan kerajaan daripada beroperasi bagi membendung penularan Covid-19 di negara ini.

Mengulas keputusan kerajaan membenarkan kembali operasi subsektor itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) George Thomas berkata sepanjang hampir tiga bulan lepas, golongan berkenaan tidak dapat melakukan apa-apa pekerjaan untuk menampung kehidupan.

“Tidak seperti OKU lain, mereka terbatas pergerakan. Sepanjang tempoh PKP, kami turut memberi bantuan barangan runcit dan makanan kepada mereka di sekitar Kuala Lumpur bagi mengurangkan bebanan,” katanya kepada Bernama di sini.

Menurutnya, sebagai persediaan untuk beroperasi semula, MAB menyediakan tatacara operasi piawai (SOP) untuk dipatuhi oleh pemain industri berkenaan demi menjamin keselamatan juruterapi dan pelanggan.

“SOP akhir masih di peringkat Majlis Keselamatan Negara (MKN), dan masih belum diserahkan kepada kami. Diharap ia akan diterima dalam tempoh sehari dua ini sebelum pusat urut berkenaan kembali beroperasi,” katanya.

Beliau juga berharap kerajaan dapat menanggung kos saringan Covid-19 untuk golongan itu memandangkan sumbangan dan derma yang diterima pihaknya semakin berkurangan.

“Kita minta agar kerajaan beri mereka lakukan ujian saringan secara percuma. Mereka ini tiada pendapatan, kos untuk buat ujian itu agak mahal sekitar RM300 selain perlu membeli barangan untuk operasi seperti pembelian pelitup separyh muka, sarung tangan dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, Thomas berkata bantuan sosial menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi OKU dan ibu tunggal dengan pemberian RM300 secara sekali gus sebelum ini dapat mengurangkan beban golongan masyarakat dalam menghadapi waktu sukar tersebut.

Sementara itu, Hermi Abd Rahim, 42, meluahkan kesyukuran kerana dapat kembali bekerja setelah hampir tiga bulan tiada sumber pendapatan untuk menyara keluarga.

“Kita perlu fikir bagaimana untuk beroperasi semula dalam situasi ketika ini dengan mengamalkan setiap SOP yang akan digariskan. Kerajaan sudah buka laluan, jadi kena cuba juga walaupun agak asing,” kata anak jati Alor Setar, Kedah itu yang berkecimpung dalam bidang berkenaan sejak 1996.

Vanagopal Subramaniam, 36, yang berpengalaman hampir 15 tahun dalam bidang itu pula berharap agar kerajaan terus mempromosikan sektor tersebut kepada orang ramai.

“Saya harap kerajaan memberi perhatian agar sektor refleksologi dan urutan ini difahami kebaikannya dan orang ramai akan mencubanya,” kata bekas atlet paralimpik lontar peluru itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM perhalusi garis panduan operasi pusat refleksologi

SHAH ALAM, 11 JUN: Kementerian Kesihatan Malaysia sedang menyiapkan garis panduan bagi membolehkan pusat refleksologi dibuka semula dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Noor Hisham Abdullah berkata perkara tersebut akan dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara sebelum kebenaran diberikan.

“Kalau boleh kita mahu buka semua sektor tetapi perlu pastikan jumlah kes harian tidak meningkat. Kalau boleh kekalkan dua atau satu angka dan turunkan lagi jumlah kes,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Semalam, Senator Ras Adiba Radzi meminta kerajaan mempertimbangkan keputusan untuk membenarkan khidmat urut dan refleksologi dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU) beroperasi semula.

Beliau berkata perniagaan tersebut antara sektor yang banyak menggunakan individu OKU bertugas sebagai juruterapi.

Categories
SELANGOR

40 Pusat Refleksologi Di Klang Diambil Tindakan

Iklan 02

KLANG 8 JAN: Sebanyak 40 premis pusat refleksologi sekitar bandar Klang yang melanggar peraturan papan iklan dikenakan tindakan oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) sepanjang tahun 2012 lalu.

Premis yang terlibat dikenakan tindakan kompaun serta penurunan iklan serta merta setelah notis yang diberikan pihak berkuasa MPK tidak dipedulikan.

Pengarah Jabatan Perlesenan MPK, Azhar Samsudin, berkata, tindakan tersebut diambil di bawah Undang-Undang Kecil Iklan MPK 2007 kerana pemilik premis pusat refleksologi gagal mengikut syarat yang ditetapkan.

Katanya, tujuan utama pemantauan rapi dan tindakan dilakukan oleh penguatkuasa MPK adalah mempastikan pemilik premis mengikut syarat yang ditetapkan serta bagi membendung isu gejala sosial di kalangan penduduk di sekitar.

“Kita menerima rungutan serta aduan daripada orang awam yang mengatakan iklan pusat refleksologi ini tidak sesuai serta terlalu besar dan ia terbukti melanggar spesifikasi saiz iklan yang dibenarkan,” katanya.Iklan 01

Dalam pada itu, sebanyak empat buah premis seperti itu diambil tindakan dengan penurunan iklan serta kompaun dalam satu operasi yang dilakukan pihak berkuasa MPK di kawasan Pandamaran, Klang baru-baru ini.

Kesemua premis tersebut merupakan kali pertama diambil tindakan sepanjang dibuka setelah diberikan notis amaran selama beberapa kali namun masih tidak diendahkan.

Azhar berkata, mulai tahun 2013, operasi pemantauan dan tindakan amaran akan dilakukan dengan lebih kerap bagi membendung perkara seperti ini daripada terus berleluasa.

“Kita minta kerjasama daripada pemilik premis supaya mengikut syarat yang ditetapkan dan orang awam turut diminta tampil membantu MPK supaya ia dapat dikawal,” katanya lagi.

Iklan 03