Categories
AGENDA NASIONAL

Rahmatan Lil Alamin bukan untuk kepentingan politik – Mujahid

KUALA LUMPUR, 8 JAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menolak dakwaan yang menyatakan Rahmatan Lil Alamin adalah untuk kepentingan politik pemerintahan terkini semata-mata sebaliknya ia adalah dasar negara.

Mujahid berkata dasar pentadbiran Islam yang baharu itu bermula apabila Mesyuarat Majlis Raja-Raja memperkenankan cadangan Pelaksanaan Gagasan Negara Rahmah Dalam Pentadbiran Negara pada 4 Julai lepas dan mendapat kelulusan kabinet pada Oktober.

“Apabila Majlis Raja-Raja telah bersetuju, ini bermakna ia bukan daripada mana-mana parti tetapi untuk keperluan negara, kita juga dapat persetujuan di peringkat kabinet, ini menunjukkan gagasan berkenaan memberi kepentingan kepada semua pihak termasuk bukan Islam.

“…namun saya tidak dapat mengelak orang ramai untuk terus beranggapan sedemikian, itu di luar kemampuan saya, tetapi dalam konteks kapasiti, saya tidak mahu melihat ini sebagai kepartian, kekelompokan atau usaha politik,” katanya ketika menjadi tetamu ‘Bicara Naratif: Menuju Negara Rahmah’ yang disiar secara langsung di saluran TV1 RTM, Selasa malam.

Dasar Rahmatan Lil Alamin yang diluluskan Jemaah Menteri pada 25 Oktober lalu dijangka dilaksanakan bermula tahun ini dan usaha mempromosi dasar yang menekankan elemen keamanan dan kemakmuran untuk semua kelompok masyarakat itu akan dilakukan melalui peruntukan RM10 juta yang diumumkan menerusi Belanjawan 2020.

Selain itu, Mujahid berkata penubuhan dan pengoperasian Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah bermula September lepas adalah usaha kerajaan untuk membela kaum wanita yang terpaksa melalui tempoh panjang dalam menuntut hak mereka.

“…kami juga cuba usahakan langkah penguatkuasaan (selepas keputusan mahkamah), kenapa kita fikir penguatkuasaan hanya tangkap orang khalwat sahaja, tetapi kita tidak pernah fikir langkah penguatkuasaan di mahkamah yang sudah ada keputusan tetapi tiada penguatkuasaan,” katanya.

Jelasnya, penubuhan mahkamah itu adalah pencapaian kementerian yang digariskan dalam kluster perundangan dan kehakiman, iaitu satu daripada kluster pencapaian yang digariskan dalam Kad Laporan Jabatan Perdana Menteri (Agama) bertemakan ‘Menuju Negara Rahmah’ yang dibentang baru-baru ini.

Kluster lain dalam kad laporan itu ialah dakwah dan media; pendidikan dan modal insan; halal dan tabung haji; masjid; maqasid dan penyelidikan; serta sosio-ekonomi.

Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah antara lain diberi kuasa menyita harta bekas suami yang culas membayar nafkah bekas isteri, serta dijangka dapat mempercepatkan proses penyelesaian masalah perkahwinan dan perceraian serta hak penjagaan anak yang difailkan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rahmatan Lil Alamin pencapaian paling cemerlang

PUTRAJAYA, 19 DIS: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menggariskan kejayaan mengangkat gagasan Rahmatan Lil Alamin menjadi dasar pentadbiran negara sebagai pencapaian paling cemerlang tahun ini.

Beliau berkata dasar pentadbiran Islam yang baharu itu menerusi pendekatan Rahmah yang sebelumnya dikritik pihak tertentu melalui proses demokrasi pentadbiran tulen sebelum diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 25 Oktober lalu.

Lebih signifikan, katanya dasar mengutamakan pendekatan Rahmatan Lil ‘Alamin yang bersifat universal, inklusif, telus dan menyantuni untuk melahirkan masyarakat dan kehidupan lebih harmoni dalam kalangan rakyat pelbagai agama, bangsa di negara ini itu turut mendapat perkenan raja-raja Melayu.

“Dari segi polisi, ia kejayaan yang amat besar apabila Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-25 pada 4 Julai lalu bersetuju menimbang dan memperkenan cadangan pelaksanaan Gagasan Negara Rahmah dalam pentadbiran negara berpaksikan nilai Rahmatan Lil Alamin sebagaimana diputuskan pada mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam sebelum itu.

“Walaupun berdepan cabaran, kita berjaya realisasikan misi itu mengikut proses demokrasi pentadbiran iaitu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja dan kelulusan Kabinet, sesuatu yang tidak dilakukan kerajaan sebelum ini ketika menganjurkan konsep Islam dalam pentadbiran,” katanya ketika membentangkan Kad Laporan Jabatan Perdana Menteri (Agama) di sini, hari ini.

Dasar Rahmatan Lil Alamin akan dilaksanakan bermula tahun hadapan di mana usaha mempromosi dasar yang menekankan elemen keamanan dan kemakmuran untuk semua kelompok masyarakat itu akan dilakukan melalui peruntukan sebanyak RM10 juta yang diumumkan menerusi Belanjawan 2020.

Selain dasar tersebut, kad laporan bertema ‘Menuju Negara Rahmah’ itu turut menggariskan pencapaian mengikut tujuh kluster iaitu kehakiman dan perundangan; dakwah dan media; pendidikan dan modal insan; halal dan tabung haji, masjid; maqasid dan penyelidikan serta sosio-ekonomi.

Mujahid berkata kluster perundangan dan kehakiman juga merekodkan pencapaian yang amat signifikan melalui penubuhan dan pengoperasian Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah bermula September lalu.

Mahkamah Khas Perkahwinan itu yang antara lain diberi kuasa menyita harta bekas suami yang culas memberi nafkah kepada bekas isteri, dijangka dapat mempercepatkan penyelesaian masalah perkahwinan dan perceraian serta hak penjagaan anak yang difailkan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, sekali gus memberi pembelaan kepada ribuan wanita yang tidak terbela sebelum ini.

Melalui mahkamah khas itu juga proses penyelesaian kes boleh berlaku dalam tempoh enam bulan berbanding 14 bulan sebelum ini.

Selain itu, usaha memperkasakan profesion peguam syarie juga berjaya dilaksanakan apabila Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 yang bertujuan menetapkan amalan, etika, kelakuan dan tatatertib profesional peguam syarie diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, masing-masing pada 15 dan 31 Julai lalu.

RUU itu juga membolehkan pembentukan Lembaga Kelayakan Profesion Guaman Syarie, Badan Peguam Syarie dan Majlis Peguam Syarie Wilayah Persekutuan.

Melalui kluster dakwah dan media, usaha merakyatkan gagasan Rahmatan Lil Alamin dilakukan dengan penganjuran Karnival Rahmah, Multaqa Ulama Asia Tenggara, Forum RAHMAH, manakala TV Alhijrah mewujudkan saluran YouTube HBIT bagi menyokong aspirasi kerajaan membawa gagasan RAHMAH selain melancarkan 10 siri buku konsep Rahmatan Lil Alamin bagi memberi pemahaman kepada masyarakat tentang konsep tersebut.

Usaha mempromosi gagasan Rahmatan Lil Alamin juga diambil dengan melantik 200 duta RAHMAH melibatkan individu daripada pelbagai latar belakang, termasuk selebriti bagi menyantuni masyarakat untuk lebih dekat dengan Islam.

Mujahid berkata di peringkat antarabangsa, promosi tersebut dilakukan ketika beliau dijemput dalam program bual bicara Hard Talk BBC selain memberi ceramah umum berkaitan konsep Rahmatan Lil Alamin di University Cambridge, United Kingdom, bulan lalu.

Menurutnya, usaha memperkasakan pendidikan dan modal insan di dalam kluster ketiga juga dilakukan dengan cemerlang melalui penubuhan Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI) bagi memantapkan institusi keluarga, sosial dan komuniti.

Penerangan gagasan negara Rahmah juga dilakukan menerusi sesi town hall di 10 institusi pengajian tinggi (IPT) selain 14 siri serupa turut diadakan di pelbagai peringkat di setiap negeri.

Mujahid berkata, aspek pendidikan Islam juga tidak dikecualikan apabila kerajaan memperuntukkan sebanyak RM75 juta kepada sekolah pondok berdaftar dan institusi tahfiz serta penubuhan Tabung Kebajikan Guru KAFA dengan dana sejumlah RM2.6 juta.

Bagi kluster sosio-ekonomi, katanya pihaknya telah mewujudkan asnafpreneur, iaitu inisiatif perniagaan yang menyasarkan untuk mengeluarkan golongan asnaf daripada kitaran kemiskinan manakala pengenalan program Food Bank di masjid di wilayah persekutuan dan IPT terpilih telah memberi banyak manfaat kepada golongan yang memerlukan bantuan.

Kluster pengurusan haji dan pensijilan halal juga mencatatkan pencapaian membanggakan apabila kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) semakin kukuh dengan jumlah aset terkini bernilai lebih RM2.3 bilion.

“’Mengambil kira defisit sebanyak RM10 bilion yang dimiliki TH ketika (Pakatan Harapan) mengambil alih kerajaan pada Mei 2018, pencapaian ini boleh dianggap amat signifikan buat kami,’’ katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Interaksi konsep ‘Rahmatan Lil Alamin’ capai 50 peratus – Mujahid

KOTA BHARU, 27 APR: Interaksi Jabatan Perdana Menteri terhadap konsep ‘Rahmatan Lil Alamin’ dengan masyarakat sudah mencapai 50 peratus, kata menterinya Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Beliau berkata kebanyakan interaksi tersebut berlaku dengan jabatan dan agensi kerajaan agar penjawat awam dapat memahami dengan sebaiknya konsep yang cuba diterapkan dalam citra Malaysia Baharu.

“Baki 50 peratus lagi kita akan cuba berinteraksi dengan masyarakat pula dan saya yakin ia mampu dicapai pada hujung tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Karnival Ambang Ramadan di Sekolah Kebangsaan (SK) Mentuan di sini, malam tadi.

Hadir sama Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Nik Omar Nik Abdul Aziz.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata bagi menyampaikan mesej ‘Rahmatan Lil Alamin’ dengan lebih jelas, pihaknya akan mengadakan Karnival Rahmah peringkat kebangsaan pada Julai ini.

“Karnival tersebut akan menggabungkan kementerian-kementerian dan akan diadakan selama tiga hari sebelum bergerak ke peringkat negeri.

“Setakat ini Melaka, Johor dan Perak sudah menyatakan mereka berminat mengadakan karnival yang sama,” katanya.

Ditanya mengenai kekeliruan yang timbul berhubung konsep tersebut, Mujahid berkata Jabatan Perdana Menteri menggunakan pelbagai kaedah bagi menerangkannya kepada orang ramai.

“Kita mempunyai banyak cabang. Media konvensional kita guna selain media sosial. Apabila ada orang yang timbulkan kekeliruan mengenai isu ‘Rahmatan Lil Alamin’, kita ada Unit Komunikasi Strategik yang akan memberi penerangan mengenai perkara sebenar.

“Alhamdulillah dengan cara berkenaan, kita dah berjaya jelaskan kepada masyarakat mengenai konsep tersebut,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Rahmatan lil alamin pendekatan kerajaan wujudkan negara rahmah

ALOR SETAR, 25 MAC: Gagasan ‘rahmatan lil alamin’ adalah satu pendekatan besar yang dibawa oleh pihak kerajaan ke arah mewujudkan sebuah negara ‘rahmah’, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Beliau berkata, pendekatan itu turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kedua Parlimen Ke-14 pada 11 Mac lalu.

“Menurut baginda, usaha kerajaan untuk mempromosikan nilai dan budaya Islam melalui pendekatan rahmatan lil alamin dan maqasid syariah berdasarkan ajaran Islam yang sebenar.

“Ia diterjemahkan melalui tingkah laku dan keperibadian unggul rakyat Malaysia dan seterusnya menjadi model Malaysia iaitu model negara Islam berbilang kaum yang boleh dicontohi dunia luar,” katanya ketika berucap pada Program Rahmah Peringkat Kebangsaan 2019 dan Pelancaran Kedah Bertadabbur di sini, malam tadi.

Beliau berkata, bagi mencapai matlamat gagasan itu, kerajaan juga memperkenalkan konsep Masjid Rahmah yang menerapkan kriteria rahmah dalam institusi masjid merangkumi aspek ramah, aman, harmoni, mesra, alami dan hormat.

Mujahid berkata, Masjid Rahmah memfokuskan ke arah meningkatkan kualiti pengurusan dan pengimarahan masjid sebagai pusat kerohanian dan sosial kepada setiap lapisan masyarakat agar peranan masjid diperluaskan kepada menyantuni masyarakat Islam dan umat manusia seluruhnya.

“Saya mengharapkan agar konsep Masjid Rahmah ini akan memperkasakan lagi peranan dan fungsi masjid merangkumi aspek-aspek utama iaitu pengurusan, pengimarahan, kemudahan prasarana dan persekitaran,” katanya.

Pada program itu, beliau turut menyampaikan bantuan daripada kerajaan persekutuan bernilai RM71.8 juta kepada Jabatan Agama Islam Negeri-negeri (JAIN) khusus untuk manfaat pembangunan 908 sekolah tahfiz dan 158 sekolah pondok berdaftar di seluruh negara.

Turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir; ​Mufti Kedah, Syeikh Fadzil Awang serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah, Datuk Abdul Rahman Ismail.

SUMBER: BERNAMA