Categories
NASIONAL

Beri belia peluang insentif, galak isi kekosongan 3D

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 22 FEB : Golongan belia perlu diberi peluang dan insentif lebih menarik bagi mendepani persaingan dengan tenaga kerja dari luar untuk mendapatkan pekerjaan.

Presiden Angkatan Belia Islam (ABIM), Mohamad Raimi Abdul Rahim, berkata inisiatif yang memberi manfaat kepada golongan itu diperlukan bagi menarik minat mereka mengisi sebarang pekerjaan meskipun berbeza latar pendidikan.

ABIM RAIMI“Kalau ada kaedah insentif terhadap peluang pekerjaan tersebut, saya percaya golongan belia bersedia mengisi kekosongan itu.

“Isunya kini, ramai tidak terlibat dalam kerjaya berlainan daripada pendidikan mereka disebabkan faktor kebajikan, latihan dan peluang kerjaya.

“Jadi keutamaannya, sistem dan aliran itu perlu ditambah baik,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata, dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa kononnya golongan belia terlalu memilih pekerjaan sekaligus membuka ruang kepada warga asing bekerja di negara ini adalah tidak relevan.

Bukan menggambarkan realiti sebenar, katanya masih ramai rakyat negara ini yang memilih untuk bekerja di negara luar kerana imbuhan lebih besar walaupun bekerja dalam sektor kemahiran 3D (kotor, sukar dan merbahaya).

“Dakwaan itu perlu dipastikan kerana dalam konteks untuk tangani kemelut ekonomi yang membebankan kini, masih ada golongan belia yang bekerja di luar bidang kepakaran mereka.

“Sebab itulah, pemerkasaan dan tumpuan untuk bantu golongan ini perlu dilaksanakan dan bukan sekadar menambah masuk tenaga kerja luar,” katanya lagi.

Pada masa sama beliau berkata golongan belia pula disarankan untuk lebih berdaya saing dengan menyertai pelbagai program keusahawanan dan kerjaya dan tidak bergantung kepada kerajaan semata-mata.

EZY

Categories
EKSKLUSIF

ABIM realisasi visi bina tamadun Khair Ummah

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bukanlah nama asing dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini atau di peringkat Asia. Memiliki lebih 30,000 ahli setakat ini, ABIM terus unggul mengorak langkah untuk memartabatkan golongan belia dalam bidang agama, pendidikan dan institusi kekeluargaan.

Berada di bawah naungan Presiden baru, Mohamad Raimi Ab Rahim, beliau nyata mempunyai visi dan misi untuk menggerakkan belia Islam Malaysia ke peringkat global. Wartawan Selangor Kini, AFEEQA AFEERA yang berpeluang menemubual beliau mempunyai maklumat lanjut berhubung visi dan misi berkenaan.

Ceritakan berkenaan penubuhan ABIM, apakah tujuan dan matlamatnya?

ABIM RAIMIABIM ditubuhkan pada 1971 yang menjadi lanjutan daripada aktivis mahasiwa universiti yang bergiat aktif ketika di alam pengajian. Ia disertai pelajar dari kampus tempatan dan luar negara seperti United Kingdom dan Mesir yang ingin meneruskan gerak kerja di peringkat kebeliaan.

Wadah ABIM untuk mengerakkan belia dipersetujui dalam Persidangan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam ke-10 dengan tujuan memberi kesedaran kepada umat Melayu Islam di Malaysia.

Selain itu, ABIM juga mahu menyampaikan dakwah dan nilai murni Islam selari dengan tuntutan al-Quran dan sunnah.

Apakah kelebihan ABIM berbanding NGO Islam lain?

ABIM bersifat kebangsaan dan kita mempunyai 120 cawangan di seluruh negara dan organisasi ini mempunyai akar umbi bukan sahaja di peringkat kebangsaan, bahkan di daerah dan negeri.

Apa yang membezakan ABIM dengan NGO Islam lain daripada konteks belia adalah kita memiliki ahli daripada mereka yang berusia bawah 40 tahun.

ABIM memanfaatkan generasi muda dan mahasiswa serta golongan profesional untuk merealisasikan visi juga misi kita membina tamadun Khair Ummah.

Apakah yang mendorong diri-sendiri untuk menyertai ABIM?

Saya memilih ABIM kerana perjuangannya serasi dan cocok dengan apa yang diimpikan dalam hidup. Saya pernah ditanya seorang diplomat ketika di Amerika Syarikat, bagaimana saya boleh membantu dunia dan membawa keamanan? Saya menjawab, ia boleh dilakukan dengan membantu orang lain.

abimPerkara itu yang menjadi permulaan kepada pembabitan awal saya dalam ABIM kerana organisasi itu menjelmakan Islam dalam bentuk amalan dan bukan retorikal, khutbah atau dakwah semata-mata.

ABIM membantu orang miskin, menyediakan perkhidmatan perubatan, meningkatkan daya ekonomi masyarakat dan mengajak serta menyeru orang ramai supaya mencintai budaya ilmu. Ia menjadikan ABIM begitu hampir dengan saya terutama penekanan terhadap budaya ilmu berbanding material dan hiburan.

ABIM meletakkan nilai ilmu begitu tinggi yang menjadi kekuatan organisasi itu khususnya terhadap produk yang ditawarkan seperti penubuhan TASKI di seluruh negara, sekolah rendah dan menengah Islam serta kolej universiti Islam kepada masyarakat.

Kita cuba merealisasikan Islam bukan hanya dalam bentuk kehidupan harian seperti solat, haji atau bayar zakat tetapi ABIM menawarkan penyelesaian berpandukan Islam kepada masyarakat.

Sebagai presiden, apakah fokus yang ingin dibawa dalam ABIM?

Senario semasa menuntut ABIM untuk menyantuni kelompok belia memandangkan mereka begitu terdedah dengan teknologi, di samping jurang antara golongan dewasa dengan muda termasuk memahami asas penting dalam penilaian terhadap agama.

Generasi muda mempunyai persepsi sendiri, jadi ia menjadi cabaran untuk ABIM memahami pandangan hidup, kekangan atau apa yang sebenarnya dimahukan mereka. Kita sentiasa yakin bahawa moral, akhlak dan nilai murni adalah panduan penting untuk belia dan prihatin dengan apa yang diberi atau digambarkan generasi muda hari ini.

ABIM ingin memastikan bahawa kita relevan dengan generasi muda melalui program ‘down to earth’ khususnya untuk mereka yang mengalami masalah dengan keperluan tertentu seperti sukar mendapatkan pekerjaan atau masalah miskin bandar.

Kita mahu mereka keluar daripada mentaliti makan gaji dengan mewujudkan kerjasama bersama agensi yang ingin meningkatkan ekonomi dan sosio budaya belia supaya mampu mandiri.

Kita mahu tumpuan diberi kepada bidang perusahaan atau keusahawanan sosial yang menuntut program serta penerangan kepada belia bagaimana mereka mampu mandiri daripada segi ekonomi.

abim1ABIM berhasrat melahirkan usahawan sosial supaya ada kesedaran bahawa keuntungan mereka akan diberikan semula kepada masyarakat. Untuk permulaan, fokus kita adalah mengeluarkan belia yang berada di paras kemiskinan masuk ke kelas menengah dan tingkatkan mereka yang sudah berada dalam kelas menengah.

ABIM juga mahu menekankan institusi kekeluargaan kerana hari ini banyak kes perceraian dalam kalangan belia dan masalah sosial lain ekoran longgarnya institusi itu sendiri.

Bagaimanakan sambutan belia terhadap ABIM

Belia berpersatuan adalah trend dominan untuk jangka masa panjang. Jadi, apabila bercakap berkenaan persatuan yang pelbagai ia adalah trend. Bagaimanapun, kita akui persatuan belia menghadapi kesukaran untuk mendapatkan generasi muda yang terbabit penuh komitmen dengan sesebuah organisasi itu.

Kini, timbul istilah belia tidak berpersatuan atau berdiri secara sendiri. ABIM menganggap penyertaan belia itu sangat penting walaupun kita akui tidak semua belia terbabit sebagai ahli ABIM atau ahli persatuan.

Namun, kita dapati kebanyakan belia ingin membabitkan diri sebagai sukarelawan berdasarkan keperluan tertentu, justeru ABIM akan mengenalpasti bakat dalam kalangan belia yang mempunyai kemahiran sesuai dengan misi dan visi kita.

Dengan pendekatan itu, sambutan yang diterima sangat baik walaupun mereka bukan ahli tetapi mempunyai kepercayaan bahawa ABIM boleh melakukan perubahan khususnya di luar bandar yang perlu didekati.

Bagaimana dengan kerjasama serantau ABIM?

ABIM adalah organisasi aktif di peringkat antarabangsa dan serantau iaitu kita terbabit dengan semua diskusi kebeliaan untuk Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN). ABIM juga terbabit dengan isu antarabangsa sejak penubuhan antaranya membantu pelarian, hak asasi manusia, intelektual dan pembangunan belia

Di peringkat antarabangsa, kita menubuhkan program antaranya ‘International Youth Gathering’ dengan kerjasama Kerajaan Selangor untuk mendidik generasi muda berkenaan pelbagai isu.

Kita juga memfokuskan kepada persediaan belia dalam menghadapi persaingan global dan pembukaan ekonomi seperti Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) supaya kemahiran mereka dapat dipasarkan.

Bagaimana pula hubungan ABIM dengan NGO Islam di seluruh dunia?

Kita adalah badan gabungan Union of NGOs In The Islamic World (UNIW) yang berpusat di Istanbul serta terbabit sebagai pengerusi untuk sayap pemuda bagi NGO Islam Dunia Asia Pasifik.

abimSelain itu, pembabitan ABIM juga meluas dalam World Assembly Muslim Youth (WAMY), Majlis Belia Malaysia dan Antarabangsa. Kita terbabit dengan aktiviti NGO Islam dan belia melalui penganjuran program juga persidangan serta merancang program belia seluruh dunia.

Apakah harapan ABIM untuk masa hadapan?

ABIM mempunyai misi dan visi untuk tampil di tengah masyarakat yang akan memberi impak kepada golongan belia di bandar serta desa keseluruhannya.

Kita berharap supaya institusi ABIM misalnya TASKI dan sekolah agama dapat menawarkan kepada masyarakat juga komuniti setempat berkenaan pendidikan integrasi (keagamaan dan kontemporari).

Kita juga berhasrat menubuhkan beberapa sekolah lagi dan berharap masyarakat yang sudah merasai kesan pendidikan ABIM untuk terus memberi sokongan. Pada masa sama, kita juga mahu tampil sebagai organisasi pilihan dalam kalangan belia.

ABIM menyeru generasi muda untuk melatih bakat kepimpinan mereka berkenaan isu semasa, memajukan diri dalam bidang ekonomi dan pendidikan serta boleh menjadi sukarelawan.

Untuk tujuan itu, kita mengharapkan kerjasama daripada semua agensi kerajaan khususnya di Selangor supaya kerja kemasyarakatan ABIM untuk anak muda mampu direalisasikan.

Dengan adanya bantuan komprehensif daripada semua pihak, impian kita untuk pergi lebih jauh dan dikenali di seluruh dunia akan tercapai.