Categories
EKSKLUSIF NASIONAL

AmBank benar tangguh bayaran berikutan koronavirus

KUALA LUMPUR, 11 FEB: AmBank Group menawarkan penangguhan sementara atau penstrukturan semula ansuran kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat wabak koronavirus 2019.

AmBank dalam satu kenyataan berkata pelanggan terjejas boleh menghubungi pihak bank, yang kemudiannya menilai dan mempertimbangkan membuat penangguhan sementara atau penstrukturan semula ansuran.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata sebagai bank yang prihatin, AmBank bersimpati terhadap nasib pelanggannya, khususnya individu dan PKS terjejas.

“AmBank komited untuk membantu mereka dalam saat-saat yang menguji ini,” kata beliau.

Sementara itu, bahagian insurans dan takaful kumpulan, AmMetLife dan AmMetLife Takaful memperkenalkan bantuan kewangan yang mampu menyokong pemilik polisi.

Kedua-dua syarikat menawarkan liputan ke atas kemasukan ke hospital disebabkan oleh koronavirus 2019 melalui beberapa hospital kerajaan ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Untuk maklumat lanjut atau bantuan, pelanggan boleh menghubungi 03-2178 8888 atau menghantar e-mel kepada bank pada [email protected] atau kunjungi cawangan berhampiran.

-BERNAMA

Categories
EKSKLUSIF NASIONAL

Kumpul 400 pin Hard Rock seluruh dunia

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 7 FEB: Kebiasaannya peminat Hard Rock Cafe lebih berminat untuk mengumpul baju sebagai koleksi peribadi mereka.

Namun, berbeza bagi Aszlizan Ali Shamsudin apabila beliau mempunyai hobi mengumpulkan pin Hard Rock, dari seluruh dunia.

Dia yang lebih mesra disapa Zizan itu berkata, sehingga kini beliau sudah mempunyai lebih daripada 400 pin termasuk dari Reykjavik, Iceland.

“Saya mula jatuh cinta untuk mengumpulkan pin ini sekitar tahun 2013 apabila ternampak pin comel berkenaan. Ketika itu, difahamkan setiap Rock Shop (kedai cenderahati Hard Rock) ada menjualnya dengan pelbagai reka bentuk.

“Sejak itu, saya mula berminat dan jika melancong ke luar negara sudah pasti akan singgah mana-mana Rock Shop untuk membeli koleksi pin terbaru,” katanya.

Lelaki berusia 34 tahun itu berkata, hobi itu juga membuatkannya mengenali rakan dari luar negara yang turut mempunyai minat sama.

“Ini kerana, hampir setiap tahun Hard Rock Cafe Bangkok akan menganjurkan Hard Rock Pin Fest iaitu acara yang membolehkan pengumpul pin bertukar secara suka sama suka pin yang dimiliki mereka.

“Selain menjimatkan kos daripada membeli, sekurang-kurangnya kita dapat mengenali budaya masyarakat luar.

“Pada saya, tidak salah mempunyai hobi yang pelbagai. Ini kerana melalui hobi sebeginilah seseorang itu dapat mengurangkan tekanan selain dapat meluangkan masa ke arah lebih baik,” katanya.

 

Categories
EKSKLUSIF

Persaraan tak halang Khusrin terus berbakti

Ikhlas dan komited dalam melakukan tugasan menjadi prinsip Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada Kerajaan Selangor. Ketegasan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) itu melaksanakan tanggungjawab menjadikan beliau disegani ramai terutama dalam kalangan penjawat awam. Bakal menamatkan perkhidmatan secara rasmi pada 3 Januari 2016, Mohammed Khusrin berharap usaha beliau dapat diteruskan pada masa hadapan. Ikuti temubual wartawan Selangor Kini, AFEEQA AFEERA bersama beliau di pejabatnya di Bangunan SUK, di sini, pada 15 Disember lalu.
Boleh ceritakan pengalaman Dato’ Setia selepas hampir 30 tahun berkhidmat di Selangor?

Saya mula berkhidmat di Selangor sejak Jun 1986 dan hujung tahun ini genap lima tahun sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dengan menempuhi pelbagai pengalaman pahit manis.

Tugas pertama saya adalah sebagai Penolong Setiausaha Sektor Pertanian di Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) pada 1986. Ketika itu kakitangan tidak ramai iaitu empat pegawai dan empat kerani.

IMG_0693Berbeza dengan apa dilihat sekarang, bilangan kakitangan semakin bertambah dan ia satu perkembangan baik. Saya percaya ia dapat membantu penjawat awam merancang pembangunan dengan lebih teratur dan sistematik.

Dahulu, beban kerja begitu besar kerana perlu berkhidmat kepada Exco berkaitan dan banyak mesyuarat untuk menyelaraskan permohonan diluluskan pada ketika itu.
Apakah budaya kerja atau prinsip diamalkan untuk memastikan kualiti kerja terbaik?

Sebagai penjawat awam, pelaksana dan perancang, kita melaksanakan apa juga dasar Kerajaan Negeri dengan ikhlas tanpa melibatkan diri dalam politik kerana ia sering bertukar.

Kita perlu lakukan tugas sebaiknya dan memberi komitmen selagi apa yang diarahkan tidak bercanggah dengan peraturan atau undang-undang.

Saya memegang prinsip mudah iaitu kita tidak boleh menyebelahi mana-mana parti politik dan menjalankan tugas dengan bertanggungjawab juga amanah dalam memberi perkhidmatan sepenuhnya kepada kerajaan pemerintah ketika itu.
Dilantik sebagai SUK pada 2011, apakah fokus utama Dato’ Setia ketika itu?

Pada peringkat awal pelantikan, saya memang berdepan sedikit kontroversi jadi tugas utama ketika itu adalah menyatukan pegawai kerajaan supaya fokus ke hadapan.

IMG_0720Krisis yang berlaku ketika itu adalah perkara luar daripada jangkaan dan saya perlu menghadapinya, namun saya bersama pegawai lain bekerjasama menjalankan perkhidmatan.

Ia selaras dengan prinsip profesional diamalkan, jadi isu pelantikan SUK tidak perlu diperbesarkan sebaliknya kita perlu bersama walaupun timbul masalah.

Apabila diarahkan untuk melakukan sesuatu, saya akan ikut sahaja dan memberikan yang terbaik.
Adakah kontroversi ketika awal pelantikan memberi tekanan kepada Dato’ Setia?

Tidak dinafikan pada peringkat awal memang menimbulkan ketegangan berikutan saya diarah untuk dilantik sebagai SUK dan berhadapan situasi tidak diterima hampir sebulan.

Saya tidak dapat menjalankan tugas yang sepatutnya, jadi saya terima perkara itu sebagai satu cabaran dan tugas saya adalah membuktikan boleh bekerja dengan baik.

Selepas peristiwa itu, saya diterima untuk menduduki mesyuarat Exco dan menjalankan tugas mengikut kemampuan serta memberi kepercayaan kepada mereka bahawa saya tiada kepentingan.

Saya hanya buat kerja berdasarkan tanggungjawab diberi dan serahkan kepada pentadbiran Kerajaan Negeri sama ada mereka berpuas hati atau tidak.

Alhamdulillah, selepas beberapa lama mereka menerima saya dengan baik dan dapat bekerjasama walaupun pada peringkat awal mereka sangsi akan kebolehan saya.
Apakah cabaran apabila berhadapan karenah penjawat awam?

IMG_0707Jumlah kakitangan awam di Selangor lebih 20,000, jadi saya terima banyak maklum balas daripada wakil rakyat dan masyarakat bahawa mereka culas dan tidak mengikut waktu kerja.

Ini adalah tanggungjawab saya sebagai ketua untuk memberi kesedaran kepada mereka dan perlu menyelesaikan masalah berbangkit.

Sebagai penjawat awam, kita perlu memastikan sistem kerja dilaksanakan dengan baik dan cekap, sebab itu perlu membuat kejutan kepada mereka.

Budaya leka bekerja perlu dibanteras, saya hanya mulakan dan berharap setiap ketua jabatan dapat memantau kakitangan masing-masing serta mematuhi peraturan ditetapkan.

Ini adalah amanah yang akan disoal di akhirat kelak berkenaan tanggungjawab ketika di dunia.
Adakah keculasan penjawat awam berjaya diatasi selepas kaedah ‘kejutan’ dilakukan Dato’ Setia?

Perubahan budaya tidak boleh berlangsung dalam waktu singkat, tetapi Alhamdulillah apabila kejutan dilakukan dengan turun padang nampak sedikit perubahan.

Dulu mereka suka melepak di kafeteria, kini amalan itu semakin berkurangan. Cuma, saya harap usaha itu dapat diteruskan dengan kerjasama semua pihak.

Ketua jabatan perlu memastikan kakitangan mereka berada di tempat kerja dan tahu apa mereka buat ketika waktu pejabat untuk membuang persepsi negatif rakyat.
Apakah kelebihan bekerja di bawah Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali?

Saya pernah berkhidmat dengan beberapa Menteri Besar Selangor sebelum ini dan setiap seorang daripada mereka mempunyai cara tersendiri.

Seperti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, beliau membawa imej korporat dan cuba menerapkan budaya itu dalam perkhidmatan awam dan berlaku kejutan dalam kalangan penjawat awam ketika itu.

Ada yang merasakan kurang senang ekoran pendekatan tegas digunakan dan adakala penjawat awam merasa kecewa serta terasa hati dengan budaya berbeza itu.

IMG_0759Tetapi Alhamdulillah, selepas pentadbiran diambil alih Mohamed Azmin, suasana sekarang lebih baik dan mesra kerana beliau lebih menghormati penjawat awam.

Kita bekerja dengan lebih berlapang dada, ikhlas dan mudah tanpa rasa tertekan. Hubungan dengan Menteri Besar juga agak baik berbanding agak tegang sebelum ini.
Pengalaman pahit dan manis sepanjang berkhidmat sebagai SUK?

Belum pernah berlaku dalam sejarah apabila SUK dilantik, timbul kontroversi tidak sepatutnya sedangkan perkara itu boleh diselesaikan melalui perundingan dan perbincangan.

Itu yang saya cuba buat ketika ini supaya peralihan jawatan SUK dapat berlaku dengan baik supaya isu yang pernah dihadapi saya tidak timbul.

Itu satu pengalaman yang cukup pahit dan tidak pernah berlaku di Malaysia apabila dalam sebulan muka saya berada di dada akhbar setiap hari.

Tetapi, saya terima dengan hati terbuka dan ia sudah menjadi sejarah dalam hidup.

Pengalaman manis pula adalah berpeluang berkhidmat dengan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan SUK.

Dalam suasana pentadbiran baru, hubungan baik juga berjaya diwujudkan antara istana dengan Kerajaan Negeri dan ia menjadi pengalaman paling bermakna dalam hidup saya.
Pandangan Dato’ Setia berkenaan prestasi Kerajaan Selangor hari ini?

Selangor memiliki sumber kewangan kukuh termasuk kedudukannya yang strategik dan ia boleh ditingkatkan (pembangunan) dengan adanya kerjasama baik antara semua pihak.

IMG_0612Saya nampak trend yang ada sekarang adalah beberapa Ahli Majlis di pihak berkuasa tempatan (PBT) cuba menyekat pembangunan dan ia sangat membimbangkan.

Keadaan ini bahaya kerana banyak projek berdepan kelewatan ekoran berlaku bantahan tidak sepatutnya.

Kita tidak mahu terlalu banyak karenah birokrasi kerana jika mahu maju ke hadapan, kita perlu buat keputusan cepat.

Jika projek itu membabitkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan demi kepentingan rakyat, maka kita perlu memberi sokongan sepenuhnya seperti mengatasi kesesakan jalan raya.

-NFN-

Categories
EKSKLUSIF

204,500 daftar TAWAS sejak 2008

Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) mula diperkenalkan Jun 2008 di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES). Selepas hampir tujuh tahun dilaksanakan, hampir 204,500 peserta sudah mendaftar bagi melayakkan mereka menerima RM1,500 pada usia 18 tahun. Ikuti temubual esklusif wartawan Selangor Kini, AFIX REDZUAN bersama Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS), MOHD NOR MOHD ZIN, baru-baru ini.

Sejak 2008 hingga sekarang, apakah perkembangan program TAWAS?

Pada permulaan ia diperkenalkan, sambutan agak kurang kerana kita tidak dapat mewar-warkan ke semua tempat. Jadi, kita terpaksa bertemu orang ramai secara terus untuk memperkenalkan program.

Tahun 2008, jumlah yang mendaftar agak sedikit sekitar 3,000 hingga 4,000 peserta. Alhamdulillah, selepas tiga tahun jumlah pendaftaran bertambah dan kini kita sudah meluluskan pendaftaran 204,500 peserta.

tawasDaripada segi pecahan bangsa membabitkan Melayu 65 peratus, Cina pula 20 peratus, India mencatat 12 peratus dan tiga peratus bagi lain-lain bangsa.

Adakah YAWAS berhadapan masalah untuk pengagihan RM100 setiap tahun ke akaun peserta?

Alhamdulillah, setakat ini kita tidak berhadapan masalah. Peringkat awal kita buat dengan Ambank melalui deposit tetap (fix deposit). Akibat terlalu banyak penyertaan, lembaga pengarah memutuskan untuk kita uruskan penyata sendiri. Kita mula laksanakannya sejak tahun 2013.

Apakah cabaran yang dihadapi YAWAS untuk menambah keahlian dan memberikan penerangan kepada masyarakat untuk mendaftar?

Cabaran kita adalah masih ada ibu bapa yang tidak tahu berkenaan program ini. Kita sudah pergi ke seluruh tempat terutama di semua kawasan DUN selain kakitangan kita membuka kaunter di tempat awam.

Alhamdulillah, masalah itu kita cuba atasi sebaiknya. Kini, jumlah ibu bapa yang tidak tahu ini semakin berkurangan. Ramai ibu bapa yang tidak tahu mereka boleh mendaftarkan anak yang berumur tiga tahun ke bawah lalu memberikan alasan.

Apakah kriteria untuk ibu bapa mendaftar anak mereka?

Kita ada tiga kriteria utama iaitu ibu atau bapa lahir di Selangor, maka anak itu secara automatik akan layak. Kedua, anak mesti lahir di Selangor, manakala ibu bapa perlu bermastautin di negeri ini sekurang-kurangnya lima tahun. Ketiga, orang Selangor yang lahir di sempadan negeri seperti Perak (Tanjung Malim), Pahang, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan.

DSC_2154Apakah manfaat baru yang ditawarkan kepada peserta TAWAS?

Bermula 1 Mac 2014, anak yang mendaftar di bawah skim ini dan meninggal dunia sebelum berusia 18 tahun akan diberikan RM1,500 secara terus kepada waris melalui program khairat kematian. Cadangan ini diluluskan lembaga pengarah.

Kita juga menganjurkan program ‘Jom Shopping’ dan anak yang lahir pada 2008 sudah menikmati kupon RM50 untuk membeli barangan keperluan sesi persekolahan. Untuk tahun 2016 juga, kita akan anjurkan bagi kelahiran tahun 2009 membabitkan 21,456 orang dengan peruntukan hampir RM1.07 juta.

Setakat ini, adakah ibu bapa mendaftarkan anak kelainan upaya (OKU) di bawah TAWAS?

Ada anak OKU yang mendaftar di bawah TAWAS. Kita sekarang dalam proses mendapatkan laporan kesihatan anak TAWAS memandangkan ada di antara mereka yang mempunyai masalah kronik.

Setakat ini, 23 orang berhadapan penyakit kronik seperti jantung, paru-paru dan cerebral palsy (CP).

Apakah inisiatif yang dilakukan untuk meningkatkan jumlah pendaftaran?

Kita membuka kaunter di luar pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) beberapa kawasan yang mempunyai kadar kelahiran tinggi seperti di Gombak, Shah Alam, Pelabuhan Klang, Kajang dan Kuala Selangor.

Strategi ini sangat efektif untuk menarik ibu bapa mendaftar di bawah program TAWAS. Ada juga cadangan untuk membuka kaunter bergerak di kawasan hospital dan klinik, namun kita rasakan di luar JPN adalah langkah terbaik.

Ada ibu bapa yang mendaftar secara dalam talian (online), namun mereka tidak mengemukakan dokumen lengkap kepada kita. Setiap permohonan secara dalam talian diberikan tempoh tiga bulan untuk mereka menghantar dokumen lengkap.

Kita juga ada membuat panggilan tiga kali sebagai peringatan kepada pendaftar dan kita tidak akan proses permohonan mereka jika gagal berbuat demikian.

tawas seri serdang 4Selain itu, kerjasama yang diberikan pihak DUN juga baik untuk menjayakan TAWAS dan orang awam tidak perlu bimbang kerana akan memperoleh RM1,500 seperti dijanjikan apabila anak mencapai usia 18 tahun.

Apakah program Tabung Generasi YAWAS (TERAS)?

TERAS adalah satu tabung kebajikan yang diwujudkan untuk ahli TAWAS. Kita dapatkan sumbangan daripada orang ramai, syarikat dan individu persendirian. Antara program yang pernah dianjurkan seperti majlis bersama anak yatim, pada Ramadan lalu.

Sebelum melaksanakan TERAS, kita sudah berbincang dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memberikan pelepasan cukai kepada penderma. Bagi syarikat, mereka layak mendapat pelepasan cukai 10 peratus daripada pendapatan ageregat, manakala individu menerima tujuh peratus.

Untuk tahun 2014, kita mendapat sumbangan hampir RM16,000 daripada individu dan tahun ini RM64,850. Terdapat juga sumbangan yang diberikan anak syarikat Kerajaan Negeri (GLC) seperti Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Invest Selangor, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dan pihak luar.

Bagaimana timbulnya idea mewujudkan TERAS?

Dahulunya, apabila dimaklumkan ada anak yang kurang bernasib baik, kita cuba minta bantuan daripada Kerajaan Negeri, namun tidak mempunyai dana mencukupi ketika itu. Kita usulkan idea untuk mencari penderma dan mereka mendapat manfaat pelepasan cukai.

Sebelum ini, YAWAS beroperasi di I-City, namun sudah berpindah ke bangunan baru. Mengapa langkah itu diambil?

Kita pernah beroperasi di Bangunan Darul Ehsan dan I-City sebelum berpindah di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor. Ramai yang datang ketika kita beroperasi di I-City, namun kawasan agak kecil selain pengunjung terpaksa membayar caj tempat letak kereta.

Di kawasan baru lebih luas dan tempat letak kereta percuma, bahkan kita boleh menyediakan empat kaunter supaya pengunjung lebih selesa.

Apakah perancangan YAWAS untuk lima tahun akan datang?

Kita berhasrat untuk mewujudkan tadika dan taska, namun rancangan itu dilakukan Kumpulan Rantaian Mesra. Kita tidak mahu lakukan duplikasi. Namun, saya berharap ibu bapa lebih peka terhadap program ini dan mendaftarkan anak mereka.

Bagi kami, jumlah sedia ada hanya mewakili 50 peratus yang layak mendaftar. Saya menyeru lebih ramai ibu bapa mendaftar dalam program TAWAS.

-NFN-

Categories
EKSKLUSIF SELANGOR

Kepelbagaian Rumah Selangorku bantu rakyat buat pilihan

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 6 NOV: Rumah Selangorku yang mengkhususkan golongan berpendapatan rendah bukan bertujuan memansuhkan pembinaan rumah kos rendah.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata ia bagi mempelbagaikan pilihan rumah mampu milik kepada rakyat.

iskandar dun selangor“Konsep Rumah Selangorku adalah mempelbagaikan rumah mampu milik daripada segi jualan dan luas binaan untuk memberi pilihan kepada golongan berpendapatan rendah dan menengah memiliki rumah.

“Tidak timbil isu rumah kos rendah akan dimansuhkan, sebaliknya hanya diberi penjenamaan baru kepada jenis kediaman berkeluasan 700 kaki persegi dengan harga minimum RM42,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Rodziah Ismail (PKR-Batu Tiga) berkenaan Rumah Selangorku pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Pada masa sama, Iskandar (PAS-Cempaka) berkata, Kerajaan Negeri menyediakan skim pembiayaan dan bantuan khas untuk membolehkan rakyat memiliki rumah.

Katanya, antara skim itu adalah DanaSel berkonsepkan sewa milik dan ‘Selangor Smart Home Buyer’ dengan pendahuluan deposit 10 peratus diberikan bagi memungkinkan pembeli mendapat pinjaman bank.

“Skim lain adalah Kerajaan Negeri meletakkan cagaran kepada bank dan memberi pinjaman kepada pembeli yang sebelum ini tidak dapat membeli rumah,” katanya.

Berkenaan sasaran pembinaan Rumah Selangorku untuk tempoh tiga tahun akan datang, Iskandar berkata, 29,176 unit sudah mendapat kelulusan pembinaan.

-NFN-

Categories
EKSKLUSIF

ABIM realisasi visi bina tamadun Khair Ummah

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bukanlah nama asing dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini atau di peringkat Asia. Memiliki lebih 30,000 ahli setakat ini, ABIM terus unggul mengorak langkah untuk memartabatkan golongan belia dalam bidang agama, pendidikan dan institusi kekeluargaan.

Berada di bawah naungan Presiden baru, Mohamad Raimi Ab Rahim, beliau nyata mempunyai visi dan misi untuk menggerakkan belia Islam Malaysia ke peringkat global. Wartawan Selangor Kini, AFEEQA AFEERA yang berpeluang menemubual beliau mempunyai maklumat lanjut berhubung visi dan misi berkenaan.

Ceritakan berkenaan penubuhan ABIM, apakah tujuan dan matlamatnya?

ABIM RAIMIABIM ditubuhkan pada 1971 yang menjadi lanjutan daripada aktivis mahasiwa universiti yang bergiat aktif ketika di alam pengajian. Ia disertai pelajar dari kampus tempatan dan luar negara seperti United Kingdom dan Mesir yang ingin meneruskan gerak kerja di peringkat kebeliaan.

Wadah ABIM untuk mengerakkan belia dipersetujui dalam Persidangan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam ke-10 dengan tujuan memberi kesedaran kepada umat Melayu Islam di Malaysia.

Selain itu, ABIM juga mahu menyampaikan dakwah dan nilai murni Islam selari dengan tuntutan al-Quran dan sunnah.

Apakah kelebihan ABIM berbanding NGO Islam lain?

ABIM bersifat kebangsaan dan kita mempunyai 120 cawangan di seluruh negara dan organisasi ini mempunyai akar umbi bukan sahaja di peringkat kebangsaan, bahkan di daerah dan negeri.

Apa yang membezakan ABIM dengan NGO Islam lain daripada konteks belia adalah kita memiliki ahli daripada mereka yang berusia bawah 40 tahun.

ABIM memanfaatkan generasi muda dan mahasiswa serta golongan profesional untuk merealisasikan visi juga misi kita membina tamadun Khair Ummah.

Apakah yang mendorong diri-sendiri untuk menyertai ABIM?

Saya memilih ABIM kerana perjuangannya serasi dan cocok dengan apa yang diimpikan dalam hidup. Saya pernah ditanya seorang diplomat ketika di Amerika Syarikat, bagaimana saya boleh membantu dunia dan membawa keamanan? Saya menjawab, ia boleh dilakukan dengan membantu orang lain.

abimPerkara itu yang menjadi permulaan kepada pembabitan awal saya dalam ABIM kerana organisasi itu menjelmakan Islam dalam bentuk amalan dan bukan retorikal, khutbah atau dakwah semata-mata.

ABIM membantu orang miskin, menyediakan perkhidmatan perubatan, meningkatkan daya ekonomi masyarakat dan mengajak serta menyeru orang ramai supaya mencintai budaya ilmu. Ia menjadikan ABIM begitu hampir dengan saya terutama penekanan terhadap budaya ilmu berbanding material dan hiburan.

ABIM meletakkan nilai ilmu begitu tinggi yang menjadi kekuatan organisasi itu khususnya terhadap produk yang ditawarkan seperti penubuhan TASKI di seluruh negara, sekolah rendah dan menengah Islam serta kolej universiti Islam kepada masyarakat.

Kita cuba merealisasikan Islam bukan hanya dalam bentuk kehidupan harian seperti solat, haji atau bayar zakat tetapi ABIM menawarkan penyelesaian berpandukan Islam kepada masyarakat.

Sebagai presiden, apakah fokus yang ingin dibawa dalam ABIM?

Senario semasa menuntut ABIM untuk menyantuni kelompok belia memandangkan mereka begitu terdedah dengan teknologi, di samping jurang antara golongan dewasa dengan muda termasuk memahami asas penting dalam penilaian terhadap agama.

Generasi muda mempunyai persepsi sendiri, jadi ia menjadi cabaran untuk ABIM memahami pandangan hidup, kekangan atau apa yang sebenarnya dimahukan mereka. Kita sentiasa yakin bahawa moral, akhlak dan nilai murni adalah panduan penting untuk belia dan prihatin dengan apa yang diberi atau digambarkan generasi muda hari ini.

ABIM ingin memastikan bahawa kita relevan dengan generasi muda melalui program ‘down to earth’ khususnya untuk mereka yang mengalami masalah dengan keperluan tertentu seperti sukar mendapatkan pekerjaan atau masalah miskin bandar.

Kita mahu mereka keluar daripada mentaliti makan gaji dengan mewujudkan kerjasama bersama agensi yang ingin meningkatkan ekonomi dan sosio budaya belia supaya mampu mandiri.

Kita mahu tumpuan diberi kepada bidang perusahaan atau keusahawanan sosial yang menuntut program serta penerangan kepada belia bagaimana mereka mampu mandiri daripada segi ekonomi.

abim1ABIM berhasrat melahirkan usahawan sosial supaya ada kesedaran bahawa keuntungan mereka akan diberikan semula kepada masyarakat. Untuk permulaan, fokus kita adalah mengeluarkan belia yang berada di paras kemiskinan masuk ke kelas menengah dan tingkatkan mereka yang sudah berada dalam kelas menengah.

ABIM juga mahu menekankan institusi kekeluargaan kerana hari ini banyak kes perceraian dalam kalangan belia dan masalah sosial lain ekoran longgarnya institusi itu sendiri.

Bagaimanakan sambutan belia terhadap ABIM

Belia berpersatuan adalah trend dominan untuk jangka masa panjang. Jadi, apabila bercakap berkenaan persatuan yang pelbagai ia adalah trend. Bagaimanapun, kita akui persatuan belia menghadapi kesukaran untuk mendapatkan generasi muda yang terbabit penuh komitmen dengan sesebuah organisasi itu.

Kini, timbul istilah belia tidak berpersatuan atau berdiri secara sendiri. ABIM menganggap penyertaan belia itu sangat penting walaupun kita akui tidak semua belia terbabit sebagai ahli ABIM atau ahli persatuan.

Namun, kita dapati kebanyakan belia ingin membabitkan diri sebagai sukarelawan berdasarkan keperluan tertentu, justeru ABIM akan mengenalpasti bakat dalam kalangan belia yang mempunyai kemahiran sesuai dengan misi dan visi kita.

Dengan pendekatan itu, sambutan yang diterima sangat baik walaupun mereka bukan ahli tetapi mempunyai kepercayaan bahawa ABIM boleh melakukan perubahan khususnya di luar bandar yang perlu didekati.

Bagaimana dengan kerjasama serantau ABIM?

ABIM adalah organisasi aktif di peringkat antarabangsa dan serantau iaitu kita terbabit dengan semua diskusi kebeliaan untuk Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN). ABIM juga terbabit dengan isu antarabangsa sejak penubuhan antaranya membantu pelarian, hak asasi manusia, intelektual dan pembangunan belia

Di peringkat antarabangsa, kita menubuhkan program antaranya ‘International Youth Gathering’ dengan kerjasama Kerajaan Selangor untuk mendidik generasi muda berkenaan pelbagai isu.

Kita juga memfokuskan kepada persediaan belia dalam menghadapi persaingan global dan pembukaan ekonomi seperti Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) supaya kemahiran mereka dapat dipasarkan.

Bagaimana pula hubungan ABIM dengan NGO Islam di seluruh dunia?

Kita adalah badan gabungan Union of NGOs In The Islamic World (UNIW) yang berpusat di Istanbul serta terbabit sebagai pengerusi untuk sayap pemuda bagi NGO Islam Dunia Asia Pasifik.

abimSelain itu, pembabitan ABIM juga meluas dalam World Assembly Muslim Youth (WAMY), Majlis Belia Malaysia dan Antarabangsa. Kita terbabit dengan aktiviti NGO Islam dan belia melalui penganjuran program juga persidangan serta merancang program belia seluruh dunia.

Apakah harapan ABIM untuk masa hadapan?

ABIM mempunyai misi dan visi untuk tampil di tengah masyarakat yang akan memberi impak kepada golongan belia di bandar serta desa keseluruhannya.

Kita berharap supaya institusi ABIM misalnya TASKI dan sekolah agama dapat menawarkan kepada masyarakat juga komuniti setempat berkenaan pendidikan integrasi (keagamaan dan kontemporari).

Kita juga berhasrat menubuhkan beberapa sekolah lagi dan berharap masyarakat yang sudah merasai kesan pendidikan ABIM untuk terus memberi sokongan. Pada masa sama, kita juga mahu tampil sebagai organisasi pilihan dalam kalangan belia.

ABIM menyeru generasi muda untuk melatih bakat kepimpinan mereka berkenaan isu semasa, memajukan diri dalam bidang ekonomi dan pendidikan serta boleh menjadi sukarelawan.

Untuk tujuan itu, kita mengharapkan kerjasama daripada semua agensi kerajaan khususnya di Selangor supaya kerja kemasyarakatan ABIM untuk anak muda mampu direalisasikan.

Dengan adanya bantuan komprehensif daripada semua pihak, impian kita untuk pergi lebih jauh dan dikenali di seluruh dunia akan tercapai.

Categories
EKSKLUSIF SELANGOR

Wawancara: PWB lengkapi pemerkasaan wanita Selangor

Pelbagai program dilaksanakan Kerajaan Negeri di bawah Portfolio Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga bagi meperkasa dan memberdaya golongan wanita di Selangor tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik. Exconya, Dr Daroyah Alwi merungkai kaedah dan program yang dilaksanakan bagi pembangunan wanita di Selangor melalui sesi wawancara khas bersama Wartawan Selangor Kini, Syasya Sufian di pejabatnya, pada 15 September lalu.

Apakah bentuk bantuan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri untuk membantu golongan wanita di Selangor?

Kerajaan Negeri melaksanakan program melalui Pusat Wanita Berdaya (PWB) sebagai wadah atau landasan untuk golongan wanita di Selangor. PWB diberi peruntukan oleh Majlis Mesyuarat Khas Kerajaan Negeri (MMKN) untuk melaksanakan pelbagai aktiviti dengan perlantikan penyelia dan penyelaras di setiap 56 DUN. Dengan pelbagai program yang dilaksanakan, kita dapat menarik wanita di dalam dan luar bandar kerana setiap DUN juga terdapat persatuan wanita seperti biro wanita masjid.

Melalui kaedah itu, PWB bergabung bersama persatuan wanita supaya apa yang ingin Kerajaan Negeri capai untuk membantu mereka dapat dilaksanakan bersama di DUN masing-masing. Saya memberikan ruang kepada penyelia yang dilantik untuk melaksanakan program bersesuaian seperti di kawasan kampung dengan memperbanyakkan aktiviti kursus menjahit, memasak, kraf tangan dan gubahan. Manakala, aktiviti akan lebih cenderung kepada kursus keusahawan, ekonomi atau bersesuaian di kawasan bandar yang terdiri daripada berbilang bangsa dan lebih berpendidikan.

IMG-20150915-WA0014Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga menyediakan tiga modul yang diterapkan untuk diberikan kepada golongan wanita untuk dilaksanakan di setiap DUN. Kursus itu adalah Program Kepimpinan Wanita, Program Pemahaman Gender dan Program Pegurusan Kewangan. Untuk jangkamasa akan datang, kita sedang merangka untuk menambah lagi kursus lain seperti pengetahuan ekonomi.

Melalui program yang dilaksanakan, sebilangan wanita berjaya menambah pendapatan seperti program masakan apabila mereka mula berjinak menjual makanan dengan resepi baru yang dipelajari daripada kursus masakan. PWB akan terus memainkan peranan untuk membantu mereka mengetengahkan lagi perniagaan di samping dapat memperbaiki ekonomi isi rumah.

Bagaimana potfolio ini memastikan program PWB beroperasi dengan lancar di setiap 56 DUN dengan bajet yang diperuntukkan?

Setakat ini, setiap DUN beroperasi dengan lancar dan sentiasa dipenuhi aktiviti menarik. Salah satu cara adalah saya memastikan mereka bergerak aktif dan penyelia perlu menghantar kertas kerja bagi setiap program yang akan dijalankan.

Selain itu, setiap bulan kita akan adakan mesyuarat bersama 56 penyelia untuk membincangkan segala permasalahan dan penyelesaian. Di samping itu, saya akan menyampaikan amanat dan taklimat supaya semua penyelia dapat berkomunikasi dengan baik. Penyelia akan membentangkan aktiviti yang sudah atau tidak dapat dilaksanakan kepada saya melalui mesyuarat itu.

Di samping itu, penyelia juga diberi peluang mengutarakan pelbagai idea menarik yang ingin mereka laksanakan di DUN masing-masing.

Prestasi penyelia akan sentiasa dipantau melalui keaktifan aktiviti yang dijalankan. Jika PWB di DUN yang dilantik tidak menjalankan aktiviti mingguan melebihi tiga kali berturut-turut, perkhidmatan penyelaras itu akan ditamatkan dan akan diganti dengan yang baru.

Bagaimana dengan penyertaan wanita dalam program Hijrah? Adakah sambutan menggalakkan?

wanita 4Penyertaan wanita dalam program Hijrah amat menggalakkan kerana lebih 70 peratus pemohon dari kaum wanita. Setakat ini, lebih 10,000 menerima bantuan dan kebanyakan mereka yang memohon adalah untuk perusahaan makanan. Sama ada produk makanan, katering, restoran, gerai jualan dan peniaga pasar malam.

Selain itu, ada diantara mereka membuat perkhidmatan kecantikan, terapi, urutan dan perniagaan secara atas talian.

Kita turut melantik seorang pegawai untuk memantau peserta Hijrah di DUN masing-masing. Mereka akan berjumpa setiap minggu dengan peserta untuk mengutip pinjaman, di samping mengenal pasti permasalahan jika peserta memerlukan khidmat nasihat untuk perkembangan perniagaan mereka.

Ssehingga kini, 98 peratus peserta memberi komitmen dalam membuat bayaran serta menyalurkan kerjasama yang baik kepada pegawai Hijrah.

Perancangan untuk jangka masa panjang yang Kerajaan Negeri akan laksanakan bagi membantu golongan wanita di Selangor melalui PWB?

Tahun depan, kita dalam perancangan menyediakan tempat atau pusat pengumpulan untuk produk PWB di setiap daerah. Saya akan usaha mendapatkan premis daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk diberikan kedai bagi menempatkan produk itu.

Ia bertujuan supaya segala kraftangan, gubahan atau masakan seperti kek dan kuih dapat dijual kepada orang ramai.

Dengan terlaksananya hasrat itu, kita dapat membantu golongan wanita memasarkan produk hasil buatan tangan mereka, di samping menambah pendapatan memandangkan kos sara hidup semakin meningkat dan membebankan rakyat terutama ibu tunggal.

Apa perkembangan terkini Program Skim Kesihatan Wanita dan bagaimana sambutannya?

sihat 4Kerajaan Negeri menawarkan skim pemeriksaan mammogram secara percuma kepada semua wanita di Selangor yang layak dan berumur 35 tahun ke atas. Tujuan utama adalah bagi memastikan kesihatan wanita terjaga dan dalam keadaan optimum memandangkan ramai golongan itu yang bekerja dan berusaha untuk menyara keluarga.

Bagaimanapun, sebelum ini sambutan agak perlahan kerana kita hanya ada satu tempat/panel untuk melaksanakan mammogram itu.

Baru-baru ini, Kerajaan Negeri sudah meluluskan penambahan lima lagi pusat pemeriksaan yang menjadikan kesemuanya enam pusat pemeriksaan. Antara pusat yang mendapat kelulusan adalah KPJ, BP Lab, Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).

daroyah1Kerajaan Negeri berpendapat program itu adalah salah satu tanggungjawab sosial yang harus dimanfaatkan oleh semua wanita Selangor.

Dengan adanya penambahan tempat pemeriksaan, kita berharap dapat melancar dan memudahkan lagi wanita untuk mendapatkan pemeriksaan di beberapa cawangan yang tersenarai. Dan dalam satu-satu masa, DUN juga boleh menghantar wanita untuk membuat pemeriksaan mammogram.

Apakah bentuk program Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) untuk membantu wanita teraniaya?

Lima hospital besar yang dijadikan tempat perintis untuk OSCC antaranya Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Tengku Ampuan Rahimah dan Hospital Tanjung Karang.

Kerajaan Negeri prihatin akan nasib wanita, jadi kita menggalak dan menyarankan wanita yang teraniya untuk mendapatkan bantuan di hospital berkenaan. Kita mahu mereka tahu kita ada menyediakan OSCC dan jika mengalami penderaan mereka boleh terus membuat laporan polis dan OSCC juga menyediakan tempat tinggal.

Dalam pogram OSCC terdapat banyak agensi yang terbabit bagi membantu khususnya kepada golongan wanita teraniaya mendapatkan rawatan serta khidmat kaunseling.

Apakah harapan Kerajaan Negeri dalam memartabat dan memperkasa wanita di Selangor?

Kita berharap semua pihak terutama golongan wanita turun padang dan menyertai program yang dilaksanakan Kerajaan Negeri kerana ia sangat memberi manfaat kepada mereka termasuk dapat mengetahui dengan lebih jelas apa yang dirangka bagi pembangunan wanita Selangor.

Di samping itu, kita juga dalam proses membantu wanita malang terutama yang terbabit dengan penderaan untuk mereka berani tampil bagi mengatasi masalah yang membelenggu dengan menyediakan OSCC.

Kerajaan Negeri juga mengharapkan semua wanita tidak kira di bandar atau luar bandar mendapat manfaat daripada setiap program yang dianjurkan, sekali gus dapat memberikan idea untuk menambah pendapatan isi rumah melalui ilmu yang diperoleh daripada aktviti yang disertai mereka.

Categories
EKSKLUSIF

LZS sasar institusi zakat terbaik dunia

Oleh: AFEEQA AFEERA

Aspek ketelusan dan kredibiliti menjadi pegangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam memastikan institusi itu terus cemerlang berkhidmat kepada masyarakat. Walaupun dipalit pelbagai kontriversi, LZS terus berdiri utuh meng-hadapi cabaran demi membuktikan mereka adalah yang terbaik dan berada di landasan betul.

Ikuti temubual wartawan Selangor Kini, AFEEQA AFEERA bersama Ketua Pegawai Eksekutif LZS, HUSSIN MOHD ALI bagi membincangkan isu berkenaan dengan lebih mendalam.

Apakah misi dan visi yang dibawa ketika menerajui LZS?

Saya diberi tanggungjawab untuk membawa LZS ke tahap seterusnya dengan menjadi peneraju zakat setanding peringkat global.
LZS_4853Itu yang perlu dilaksanakan dalam tempoh ditetapkan. Saya mempunyai kontrak selama tiga tahun dan akan cuba realisasikan dalam tempoh itu.

Penambahbaikan yang dijangka berlaku dalam LZS?

Kelemahan yang ada adalah kurangnya maklumat bagaimana agihan zakat dilakukan. Jadi, sebab itu ada isu berkait dengan kemelaratan dan manusia di luar sana yang tuding jadi kepada LZS.

Bila saya berkhidmat di sini, program-nya sangat banyak tetapi kita tidak berkomunikasi dengan masyarakat hingga mereka tidak tahu bagaimana duit itu diagihkan.

Mereka fikir kita hanya simpan duit pembayar zakat dan melakukan perkara tidak menentu tetapi sebenarnya setiap kali wang zakat diterima, kita agihkan pada tahun sama.

Melainkan jika ia dikutip pada Disember, maka agihan dilakukan pada tahun berikutnya.
Setiap agihan wang zakat perlu diagihkan sebelum bulan Jun atau harus selesai selewat-lewatnya Jun tahun berikutnya.

Kita akan menggunakan semua saluran yang ada terutama media arus perdana termasuk media sosial supaya impak itu dapat dimaksimakan sebaik mungkin. Kesannya ada, bahkan sambutan daripada orang ramai turut meningkat.

Sasaran kutipan zakat tahun ini RM615 juta, sejauh mana prestasi atau usaha LZS untuk mencapainya?

Dari segi kutipan, LZS mampu mencapai sasaran yang ditetapkan berdasarkan kerja kuat semua kakitangan. Tetapi, strategi tahun ini adalah menumpukan kepada agihan dan menghebahkan kepada orang ramai supaya mereka yakin membayar zakat di LZS.

Apabila wang zakat diagihkan secara sistematik dan melalui proses pengauditan teliti, maka secara tidak langsung mereka akan tergerak hati untuk terus membayar di LZS kerana kita adalah organisasi yang sistematik daripada segi pengagihan.

Bagaimana agihan zakat untuk golo-ngan asnaf pada tahun ini?

Sehingga Mei lalu, sebanyak RM224.7 juta zakat sudah diagihkan kepada asnaf melibatkan 41,568 keluarga seluruh Sela-ngor. Kita menyantuni mereka melalui lima program pembangunan utama iaitu sosial, ekonomi, pendidikan, insan dan institusi agama.

Aspek sosial lebih kepada keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal iaitu lebih 13,000 keluarga sudah dibantu. LZS akan pergi ke pelusuk daerah untuk hantar sendiri bantuan secara bulanan.

DSC_8515Aspek kesihatan pula merujuk kepada rawatan di hospital seperti dialisis dan 2,500 pesakit asnaf sudah dibantu tahun lalu dengan jumlah itu dijangka akan terus meningkat.

Bantuan ekonomi memupuk kepada kemahiran berniaga melalui makan gaji atau pengusahaan sendiri. Asnaf akan diberikan bantuan antara RM5,000 hingga RM30,000 yang tidak perlu dibayar semula.

Pembangunan pendidikan lebih kepada generasi kedua yang ingin melanjutkan pelajaran sama ada dalam atau luar negara. Malah, asnaf yang berminat untuk menyertai kursus kemahiran juga boleh turut memohon.

Pembangunan insan lebih kepada keagamaan yang perlu seiring dengan pembangunan fizikal untuk membentuk sikap lebih baik. Sebab itu, kita bekerjasama dengan kariah masjid untuk pantau asnaf.

Ini untuk menjawab kenyataan Exco Agama, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi bahawa 70 peratus asnaf tidak solat dan kita tidak nafikan. Mereka ini bukan sahaja miskin fizikal tetapi miskin jiwa. Yang ini perlu kita sama-sama bantu.

Institusi agama pula merujuk kepada maahad tahfiz, masjid dan surau. Kita bantu mereka dengan memberi peruntukan sehingga RM50,000.

Berapakah sasaran LZS untuk menarik asnaf keluar daripada kepompong kemiskinan?

Setiap tahun, sasaran LZS adalah membawa 200 keluarga asnaf keluar daripada kemiskinan kerana adakala mereka sudah keluar tetapi kembali menjadi asnaf. Walaupun mereka sudah mampu berdikari, kita pantau dalam tempoh enam bulan hingga setahun dan kalau betul stabil baru dikeluarkan daripada kelompok asnaf.

Kita pantau sampai mereka sendiri yakin. Kebanyakan daripada asnaf sebenarnya malu untuk menerima zakat kerana sifat rendah diri dan jiwa mereka halus.

LZS menubuhkan Skuad Jejak Kemiskinan untuk mencari asnaf. Paling susah adalah menjejak miskin bandar kerana mereka tinggal di rumah batu tetapi kita tidak tahu bagaimana kehidupan mereka.

Kebanyakan kes asnaf dilaporkan pihak luar yang menjadi ejen penyampai maklumat kepada LZS. Sebab itu kita sangat memerlukan saluran itu. Tolong kami bantu asnaf.

Sehingga kini, adakah LZS masih berdepan isu wang zakat tidak sampai kepada pihak sepatutnya?

Saya tidak boleh nafikan dakwaan itu masih lagi berlaku sehingga hari ini. Cuma, isu itu ditimbulkan mereka yang mengambil wang zakat tanpa berurusan secara terus dengan LZS iaitu melalui orang tengah.

_MG_1597Saya minta tolong kepada semua pihak supaya baca segala maklumat yang dipaparkan di laman web LZS supaya mereka faham dan kemudian baru kritik.

LZS amat menitikberatkan aspek ketelusan dan kredibiliti pengagihan serta meletakkan prosedur amat ketat dalam mengawasi perbelanjaan.

Kita memiliki pengawasan dan pemantauan dari semasa ke semasa antaranya Majlis Fatwa Selangor, 13 jawatankuasa LZS yang mengawal selia perjalanan organisasi, audit dalaman LZS, audit kualiti dalaman LZS, audit luar dan Jabatan Audit Negara.

LZS tidak pernah tertinggal dalam mendapat sijil bersih setiap kali audit dilakukan. Kita juga siarkan penyata akaun yang diaudit di media arus perdana.

Jika asnaf memerlukan bantuan kecemasan, adakah LZS mempunyai wang simpanan segera?

Kita mempunyai kaunter ekspres untuk beri bantuan sehingga RM500 tidak kira sama ada seseorang itu layak atau tidak menerima zakat. Bantuan itu diberikan sementara menunggu siasatan dibuat dalam tempoh 14 hari.

Proses siasatan perlu menjalani beberapa prosedur seperti temubual bersama pemohon dan mereka perlu bermastautin di Selangor.

Sesiapa sahaja yang berada dalam kesusahan akan diberikan bantuan ekspres ini. Kita meraikan semua jenis masalah yang ada tetapi yang paling popular adalah bantuan pembangunan pendidikan.

Bagaimana dengan kutipan zakat fitrah di Selangor sepanjang Ramadan?

Tahun ini, LZS mensasarkan kutipan zakat fitrah RM21.5 juta dengan mempelbagaikan medium iaitu melantik 2,422 amil fitrah seluruh negeri.

Orang ramai juga boleh menunaikan zakat fitrah di 26 cawangan LZS, di sam-ping beberapa pasar raya terpilih sekitar Lembah Klang dan sepuluh institut pengajian tinggi (IPT).

Free Market Lembaga Zakat Selangor (15)Kemudahan pembayaran zakat fitrah turut disediakan melalui sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan kerjasama syarikat telekomunikasi Digi yang terbuka kepada pelanggan pra-bayar dan pasca bayar.

Tahun lalu, kita dapat kutip sehingga RM400,000 zakat fitrah melalui SMS.

Apakah harapan untuk memastikan LZS kekal cemerlang dalam jangka masa panjang?

Saya ingin menjadikan LZS seperti Tabung Haji terutama daripada segi imej kerana institusi itu mempunyai pengurusan jemaah haji terbaik di dunia. Kita juga mahu LZS sama ada daripada segi kutipan atau agihan menjadi yang terbaik di dunia.

Tiada lagi institusi zakat di mana-mana negara yang betul-betul kukuh seperti LZS kerana kita mendahului daripada segi kutipan dan agihan zakat. Kita mahu kekalkan perkara itu dan beri keyakinan kepada masyarakat supaya membayar zakat di Selangor.

Categories
EKSKLUSIF

Wujudkan mekanisme kawal beli banyak rumah

Rumah Selangorku mendapat sambutan hangat dari penduduk Selangor. Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) memikul tanggungjawab besar bagi merealisasi impian mereka. Ikuti temu bual wartawan Selangor Kini, AFIX REDZUAN bersama Pengarah Eksekutif LPHS, NORZATON AINI MOHD KASSIM.

Bagaimana Projek Rumah Selangorku mampu mencapai sasaran ditetapkan untuk tahun ini dan lima tahun akan datang?

Setakat Mei 2015, ada 13 projek melibatkan 15,721 unit Rumah Selangorku yang menyertai skim ini sama ada yang akan dibina Kerajaan Negeri atau melalui syarikat swasta atau anak syarikat (GLC).

Hingga kini, ada lapan lagi permohonan dan sasaran untuk mencapai 20,000 unit. Kita yakin mampu dicapai pada Ogos ini. Kadarnya mungkin bertambah lagi.

IMG_4792Dalam memastikan Rumah Selangorku dibina, kita ada Jawatankuasa Induk yang dipengerusikan Datuk Iskandar A Samad manakala saya bertanggungjawab dalam Jawatankuasa Pemantauan dan Jawatankuasa Teknikal.

Kita akan memanggil syarikat memberi laporan setiap tiga bulan. Pegawai kami akan turun padang melihat perkembangan projek sebagai bukti pemaju melakukan pembangunan.
Kita percaya dengan polisi Rumah Selangorku yang kita buat sekarang memberikan ruang selesa kepada pemaju kerana harga rumah dari RM42,000 hingga RM250,000 mengikut jenis A,B,C dan D.

Ia tidak membebankan pemaju seolah-olah pemaju kena memberi banyak subsidi. Pema-
ju mungkin tidak boleh membuat keuntungan tinggi sekitar bawah lima peratus tetapi mereka ghairah membantu Kerajaan Negeri.

Bagaimana LPHS melihat isu kenaikan harga rumah di Lembah Klang? Apakah usaha untuk memastikan harga pada kadar munasabah?

Harga yang boleh kita kawal hanyalah Rumah Selangorku yang ditetapkan berdasarkan polisi. Rumah harga bebas di luar kawalan kami. Kita dapati ia sukar dikawal.

Atas unsur kekangan Bank Negara, kita nampak ada sedikit penurunan harga rumah tetapi tidak banyak, sekitar bawah lima peratus.

Kita hanya ada kuasa untuk Rumah Selangorku sahaja, tidak pada rumah kawalan bebas kerana mereka mengikut harga pasaran.

Di Singapura mudah kerana 80 peratus tanah milik kerajaan di bawah Lembaga Pembangunan Perumahan (HDB). Mereka merekodkan nama pembeli. Di Malaysia, kita tidak boleh kawal.

_MG_1936LPHS hanya kawal Rumah Selangorku kerana senarai nama ada pada kita. Pembeli rumah kos rendah Jenis A, mereka boleh membeli Rumah Selangorku yang lain selepas lima tahun.

Kementerian perumahan perlu mewujudkan satu mekanisme bagi memastikan pengawalan seseorang daripada membeli lebih banyak rumah.

Seorang satu rumah hanya untuk harga kawalan yakni Rumah Selangorku.

Bagaimana LPHS menangani cabaran untuk mendapatkan tanah bagi projek perumahan untuk memenuhi permintaan pembeli?

LPHS berhadapan masalah pemohon mahukan rumah berdekatan dengan tempat kerja. Masalah kita, permintaan di Lembah Klang hampir 32,000 di manakah tanah yang ada di Lembah Klang.

Tanah Kerajaan hampir tiada di Lembah Klang, yang ada tanah swasta. Kita ada pemaju yang membina rumah tidak jauh, sekitar 10 hingga 20 kilometer dan ia lebih besar serta selesa.

Selain mahukan rumah berdekatan, pembeli juga menghadapi masalah mendapatkan pinjaman. Kedudukan semasa yang kita tawarkan rumah sebanyak 3,069 pemohon.

Tapi ia tawaran berulang. Maksudnya satu unit kita tawarkan kepada tiga orang akibat penolakan.

LPHS memang mahu membina Rumah Selangorku namun tidak dapat memenuhi kehendak majoriti. Kita tawarkan hampir lebih 50 peratus kepada bukan orang Selangor kerana mereka bekerja dan menetap lebih 15 tahun.

Atas prinsip keadilan dan pembangunan ekonomi negeri kita membantu mereka. Kalau hanya untuk anak Selangor kita (LPHS) sudah selesaikan masalah.

Bagaimana statistik terkini projek rumah terbengkalai dan apakah usaha bagi mengatasinya? Bagaimana pula Peruntukan melalui dana TEPAT RM20 juta, apakah ia membantu?

DSC_7372Hampir 156 projek rumah terbengkalai yang ada. Ia terbahagi kepada dua yang terdiri daripada berlesen daripada KPKT dan tidak berlesen. Kebiasaannya projek tidak berlesen melibatkan Tanah Rizab Me-layu, pembesaran kampung.

Jika berlesen, kita akan kerjasama dengan KPKT bagaimana untuk membantu mereka.
Urusan rumah terbengkalai adalah paling rumit.  Pertama kita perlu mendapatkan liquidator dan pemaju penyelamat. Pemaju penyelamat mestilah syarikat yang berlandaskan keuntungan dan pulangan kepada mereka.

Dengan adanya tabung TEPAT, kita berunding dengan pemaju penyelamat bagaimana dapat membaik pulih. Kita perlu tahu bank yang memberikan pinjaman beserta jumlah yang telah diberikan serta unit rumah kosong atau sudah dijual.

Apabila dapat pengisytiharan daripada KPKT bahawa projek itu sudah terbengkalai, kita akan hantar surat kepada bank untuk mereka membantu menangguhkan pembayaran servis pinjaman (loan service) untuk satu tempoh.

Kita berbincang dengan GLC secara usahasama untuk menyelamatkan projek terbengkalai.

Ada konsep pembeli tidak perlu membayar langsung. Ada konsep pembeli perlu membuat bayaran tambahan. Kita lebih menjurus kepada pembeli tidk perlu membayar langsung sebab tidak mahu pembeli terbeban.

Apa penyebab utama kegagalan pemaju menyiapkan projek?

Kawasan tidak sesuai, jauh dan tiada market survey. Kos infrastruktur tidak dimasukkan seperti kos jalan, kos tenaga kos pembentungan dan reservo untuk simpanan air. Kos rumah bina sahaja dimasukan.

Kegagalan pengurusan syarikat juga menjadi faktor projek terbengkalai.

Sekarang kita minta pemaju berdaftar dengan LPHS. Bila daftar bagi jadual kerja, pihak saya akan turun ke lapangan untuk meninjau mengikut jadual yang ditetapkan. Kita buat sebegini bagi mengurangkan risiko rumah terbengkalai.

Selain itu ia bagi mengurangkan risiko penyakit dan ketidak selesaan penduduk sekeliling.

Bagaimanakah LPHS menggalakkan pemaju menggunakan teknologi terkini dalam pembinaan rumah khususnya teknologi pasang siap dan material lebih berkualiti dan lasak, sistem penuaian hujan dan teknologi solar?

Kita memang sangat menggalakkan. Rumah pasang siap sekarang lebih cantik berbanding dahulu. Dahulunya lebih berbentuk kotak tetapi sekarang lebih ceria dengan teknologi. Memang banyak pemaju seperti Setia Alam namun kita tidak memberikan mereka imbuhan.

Dengan projek pasang siap, ia menjimatkan masa. Satu projek dalam tempoh tiga tahun boleh jadi kepada dua tahun dan pekerja dapat dikurangkan.

Kita akan kaji perkara ini. Sekarang ini tumpuan kita untuk memastikan rumah cukup. Apabila mencapai sasaran sehingga 70 peratus baru kita akan melangkah setapak lagi.

Bagaimanakah LPHS melihat kerancakan projek perumahan di Selangor bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat? Apakah unjuran terhadap permin-taan rumah lima hingga 10 tahun akan datang?

IMG_0711Kalau kita tengok senario hari ini, unjuran kita dalam lima tahun akan datang seperti di Lembah Klang hanya sekitar 20 hingga 30 peratus sahaja kerana ruang ekonomi mantap dan tidak boleh diubah melainkan kita membuat perbandaran semula.

Perbandaran semula bermaksud kerajaan mengambil rumah lama dan memberi sedikit pampasan kemudian dibangunkan semula. Kalau kawasan baru seperti Shah Alam 2 misalnya unjuran kita sekitar 40 hingga 50 peratus.

Pokok utama adalah pembangunan ekonomi. Kalau tiada orang tidak akan berminat untuk membeli. Kita menggalakkan Rumah Selangorku dibina di Hulu Selangor tetapi perlu ada pembangunan ekonomi.

Kawasan berkenaan sebenarnya banyak rumah, tetapi kurang orang membeli kerana tiada kerancakan ekonomi dan kurang infrastruktur pengangkutan awam. Kita cadangkan supaya projek LRT atau MRT dibina di kawasan luar Lembah Klang hingga ke Hulu Selangor.

Mungkin keuntungan itu tidak nyata sekarang tetapi selepas 10 tahun dengan adanya pengangkutan awam radius 400 meter akan naik.

Tumpuan kita bukan sahaja di Lembah Klang serta sekelilingnya tetapi juga untuk luar Lembah Klang.

Kalau kita tengok negara luar seperti Jepun, mereka sanggup menempuh perjalanan selama sejam menaiki pengangkutan awam.

Kita syorkan ia dibawa ke kawasan seperti Hulu Selangor dan Sepang supaya dibangunkan lebih baik.

Menyentuh soal teknologi hijau, bagaimana LPHS menggalakkan pemaju mempraktikkan perkembangan teknologi ini?

Kita sedang kaji bentuk pelepasan yang boleh LPHS bantu bagi menggalakkan teknologi hijau dilaksanakan di Rumah Mampu Milik seperti yang ditawarkan pada rumah harga bebas.

Kita sedang mengkaji apakah kos yang mungkin menjejaskan pemaju dalam pembinaan Rumah Selangorku. Seperti makanan organik, harganya memang mahal tetapi untuk jangka panjang ia membawa pulangan baik kepada kita.

Kita memang menggalakkan tetapi kita tidak menyediakan insentif untuk mereka.
Rumah Mampu Milik ini sehingga RM8,000 nilai isi rumah. Kita tidak mahu mereka dibebani bayar kos penyelenggaraan. Ini semua ternasuk dalam kajian kita.

Kita tidak mahu bebankan pembeli misalnya kalau kos penyenggaraan biasa sekitar RM100 tapi dengan teknologi hijau mungkin kosnya RM300.

Contoh, rumah Jenis A (kos rendah) misalnya penyelenggaraan sekitar RM80 dan jika bernasib baik peratusan untuk yang membayar boleh dapat sekitar 60 peratus.

Penjagaan penyelenggaraan penting dan kita memberikan kesedaran menerusi pendidikan kepada masyarakat di peringkat sekolah dan banyak rumah serata.

Orang awam membuat rungutan berhubung sistem online LPHS sesak untuk dmasuki. Bagaimana ia diatasi?

Pada permulaan kita lancarkan di Sime Darby pada 2014 memang bermasalah kerana kita tidak menyangka sambutan yang diterima. Selepas kita mengenalpasti masalah, unit ICT menyelesaikan perkara itu.

Bagaimanakah peluang Orang Kelainan Upaya (OKU) mendapatkan rumah?

Kita memang wajibkan pemaju memperuntuk unit rumah untuk mereka sekurang-kurangnya lima peratus dalam sesebuah projek termasuk reka bentuk khas yang mesra OKU terutama tandas.

Mengenai data statistik sukar untuk kita berikan kerana ada OKU yang berdaftar di kawasan lain tetapi bekerja di kawasan lain.

Kita tidak akan pinggirkan sesiapa. Semua rakyat di Selangor layak mendapat Rumah Mampu Milik.

Kita memperuntuk kuota khas penjawat awam tidak kira persekutuan atau negeri sebanyak 30 peratus dan 20 peratus bagi golongan bujang. Pasangan yang baru berkahwin juga digalakkan untuk mendaftar.

Apakah harapan LPHS bagi merealisasi impian rakyat Selangor memiliki rumah sendiri?

Keutamaan kami adalah menyediakan rumah tetapi memerlukan kerjasama daripada pemaju, tidak kira anak syarikat mahupun swasta kerana mereka mempunyai tanggungjawab sosial.

Apabila dapat menyediakan rumah, kita berharap mereka mendapat bantuan pinjaman perumahan. Kerajaan Negeri ada menyediakan Dana-Sel tetapi keutamaan hanya untuk rumah berharga RM42,000.

Saya yakin sasaran yang ditetapkan Menteri Besar dapat kita capai dan menjelang tahun 2018-2020, rumah ini dapat diserahkan kepada pembeli yang berkelayakan.

Sekiranya pemaju memberikan kerjasama saya yakin Rumah Selangorku ini dapat kita realisasikan.

Categories
EKSKLUSIF

Q&A: Strategi bangunkan bandar raya karbon rendah, hijau

Oleh: AFEEQA AFEERA

Menginjak usia 63 tahun, bandar yang ditadbir Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu meneruskan aspirasi dalam membentuk imej berdaya huni, sejahtera dan mampan menjelang 2030. Ikuti temu bual wartawan Selangor Kini, AFEEQA AFEERA bersama Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohd Azizi Mohd Zain sempena sembilan tahun pengisytiharan Petaling Jaya sebagai bandar raya.

Apakah misi dan visi yang cuba diketengahkan selari dengan Petaling Jaya sebagai bandar raya peneraju, dinamik dan lestari?

Setelah sembilan tahun menjadi bandar raya, MBPJ perlu berada pada tahap yang setaraf dengan usianya iaitu perkhidmatan maj-lis perlu ditingkat dan sebarang kelemahan diperbaiki demi kepentingan pembayar cukai dan masyarakat.

Dalam tempoh sembilan tahun lalu, persepsi masyarakat berbeza berbanding tiga tahun lalu tetapi perkhidmatan MBPJ masih sama iaitu mengurus pembersihan sisa pepejal serta mewujudkan infrastruktur yang baik dan lengkap.

10535688_745640972162043_1387912032427383132_oCuma bila disebut masa depan, kita mahu wujudkan bandar raya berkarbon rendah, hijau dan bebas halangan. Manakala misi menjadi bandar raya berhuni itu mesti melibatkan penduduk supaya mereka tahu pembangunan yang berlaku di kawasan mereka.

MBPJ akan terus mendokong iltizam menjadikan Petaling Jaya sebagai bandar raya berhuni dan disayangi melalui tadbir urus baik dengan menekankan prinsip pembangunan sosial, alam sekitar mampan, pembangunan bandar dan lain-lain.

Apakah cabaran untuk menjayakan Petaling Jaya sebagai bandar raya berdaya huni dan sejahtera?

Masalah bandar raya dengan perbandaran, sama iaitu berkaitan kutipan sampah dan infrastruktur. Cuma bandar raya ada tambahan masalah lalu lintas ekoran pertambahan penduduk.

Ini menjadi perhatian MBPJ untuk meningkatkan kecekapan aliran lalu lintas dengan melaksanakan jalan sehala seperti kebanyakan bandar raya lain, tetapi apabila proses pembangunan berjalan pasti berlaku sedikit gangguan.

Sebab itu, kita ada pelan pe-ngangkutan dengan mewujudkan jawatankuasa yang akan memantau perkhidmatan yang diberi memandangkan kehendak masyarakat tidak sama.
Pembinaan lebuh raya atau jalan raya tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya pengangkutan awam perlu di-tingkatkan dan menggalakkan masyarakat mengguna kenderaan awam.

Sebab itu kita wujudkan PJ City Bus untuk me-ngurangkan kesesakan trafik dan beri perkhidmatan sosial kepada masyarakat.

Sejauh mana sambutan ma-syarakat terhadap perkhidmatan bas percuma setakat ini?

Bas percuma adalah inisiatif baik kerana respon penumpang rata-ratanya sangat positif. Perkhidmatannya secara tidak langsung memberi imej baik kepada Kerajaan Negeri yang menyokong penggunaan pengangkutan awam.

IMG_1216Kita berhasrat menambah bilangan bas sedia ada termasuk beberapa laluan baru pada tahun hadapan bergantung kepada perbincangan dan belanjawan.

Saya percaya inisiatif ini akan turut dilaksanakan di pihak berkuasa tempatan (PBT) lain seperti Shah Alam, Klang, Ampang Jaya dan lain-lain.

Memiliki hasrat menjadikan Petaling Jaya sebagai bandar untuk semua, bagaimana bentuk infrastruktur untuk orang kurang upaya (OKU)?

MBPJ menyediakan van transit untuk OKU termasuk laluan khas bagi mereka yang memiliki masalah penglihatan dan tempat letak kereta berbumbung.

Sebelum pembangunan baru diluluskan, MBPJ mewajibkan premis perniagaan memenuhi kehendak bebas halangan dan mesra OKU.

Inisiatif ini sebenarnya sudah dilaksanakan sejak 2000 lagi.

Petaling Jaya banyak terkait dengan isu pembinaan lebuh raya yang menimbulkan kontroversi. Bagaimana MBPJ menangani hal itu?

Sebelum sesuatu lebuh raya itu mendapat kelulusan merancang, kita akan lihat dulu bantahan penduduk selaras dengan slogan Kerajaan Selangor “Pembangunan Berkualiti Rakyat Dipeduli.”

Keluhan rakyat perlu didengar, malah hubungan baik dengan masyarakat diperlukan di Petaling Jaya terutama berkaitan pembinaan lebuh raya.

Sesuatu pembangunan, kalau mahu dilaksanakan pasti ada halangan, tetapi MBPJ perlu tangani secara bijak. Kita menetapkan syarat supaya pemaju yang mendapat kelulusan perlu mengikut syarat yang ditetapkan.

Apakah langkah MBPJ bagi memperbaiki sistem aduan sedia ada supaya lebih mesra pengguna dan bertindak dalam tempoh singkat?

Kita ambil pendekatan supaya sesuatu aduan perlu diselesaikan segera terutama yang tidak memerlukan peruntukan besar seperti lampu jalan, sampah, longkang dan lain-lain.

2014-pj-traffic-system-phase-2Kita ada mesyuarat setiap Rabu untuk bincang aduan dengan memanggil jabatan bertanggungjawab jika masalah tidak selesai.

Kita mahu perbaiki aduan yang tidak perlu peruntukan besar supaya lebih cepat bertindak kerana ia akan beri kesan, seolah-olah MBPJ tidak buat kerja.

Apakah jenis aduan paling tinggi diterima setakat ini?

Aduan paling tinggi berkaitan longkang kerana kebanyakan premis perniagaan menutup longkang hingga menyukarkan kerja pembersihan. Ini menyebabkan timbulnya isu demam denggi dan longkang tersumbat.

Justeru, hasil perbincangan bersama persatuan peniaga, MBPJ  memutuskan untuk memecahkan longkang di premis mereka jika masih melanggar syarat.

Apakah kelainan yang cuba ditonjolkan pada masa akan datang?

Kita memfokus kepada penyediaan kemudahan berkaitan kawasan lapang atau riadah se-
perti laluan pejalan kaki dan lorong basikal.

MBPJ berhasrat mewujudkan kawasan berbasikal dengan menawarkan perkhidmatan sewaan dan laluan khas bagi tujuan itu. Oleh itu, masyarakat tidak perlu guna kenderaan peribadi, sebaliknya menggunakan basikal atau pengangkutan awam lain.

Ini antara perancangan masa depan kita yang menekankan konsep mesra alam (eco-mobility).

Categories
EKSKLUSIF

Kembalikan kejaguhan Selangor, turun ke daerah gilap bakat baharu

Kredibiliti dan karisma Mohd Zubir Idrus disegani ramai. Kemunculan semula beliau menerajui Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor sebagai Pengarah Eksekutif membayangkan kebangkitan semula sukan negeri. Ikuti temu bual wartawan Selangor Kini, AFEEQA AFEERA mengenai misi dan visi beliau.

Setelah membuat ‘comeback’, apakah perancangan untuk pembangunan sukan di Selangor?

Suatu ketika dulu, Selangor adalah jaguh sukan di negara ini dengan merangkul gelaran juara tujuh kali, enam daripadanya kemenangan berturut-turut dalam Sukan Malaysia (Sukma). Ini menunjukkan pencapaian Selangor sangat cemerlang.

Kejayaan itu bergantung kepada perancangan antara MSN Selangor dengan persatuan sukan kerana mereka memainkan peranan penting dengan dibantu oleh Kerajaan Negeri.

Atlet tidak boleh kekal selamanya, mereka datang dan pergi. Jadi kita memerlukan perancangan berterusan.

SUKMA XVI 01Apabila menerajui MSN Selangor, saya bertekad mencurahkan segala kebolehan bagi mengembalikan kegemilangan sukan di Selangor. Tidak banyak perubahan boleh dirangka, cuma lebih kepada meningkatkan, pemantauan dan memastikan perancangan itu baik.

Untuk mencungkil bakat atau menghasilkan atlet cemerlang, kita perlu ada asas kukuh dan besar iaitu memainkan peranan bersama Majlis Sukan Daerah (MSD). Tugas saya untuk memastikan MSD bergerak dengan lebih berkesan.

MSD tiada organisasi tetap. Jadi kita susah untuk kesan atau gilap apa yang berlaku, sebaliknya hanya tahu bakat atlet bila sampai ke pertandingan peringkat negeri.

Dengan adanya MSD, kita dapat selaraskan dengan persatuan sukan daerah. Paling penting menjalin kerjasama kerana ini asas pencarian bakat.

Bila digerakkan secara berkesan, kita akan dapat data atlet berpotensi yang boleh dibawa ke peringkat seterusnya.

Kategori sukan apakah paling menonjol dalam bakat baharu?

Kejayaan Selangor di Sukma tidak bergantung kepada satu kategori ukan sahaja. Untuk cemerlang dan membawa nama negeri ke peringkat lebih tinggi, ia perlu datang dari pelbagai bidang.

Sukan paling banyak medal ialah sukan individu seperti renang, olahraga dan silat. Tetapi, paling menonjol sukan renang dan gimnastik manakala yang kurang menyerlah ialah olahraga.

sukma akuatik 01Namun, dengan kewujudan sekolah sukan yang dilengkapi pelbagai kemudahan, kita jangka Selangor akan memiliki atlet lebih baik pada masa depan.

Kita ada ‘ready made’ atlet untuk kembangkan bakat mereka ke peringkat tertinggi selain dalam program persatuan. Bila asas itu besar, peranan utama ialah uruskan dengan lebih berkesan.

Apakah penambahbaikan untuk prasarana sukan di negeri ini?

Dari segi itu, kita ada banyak fasiliti, malah menjadi rujukan negeri lain. Sekitar 15 tahun lalu, kita wujudkan pusat rehabilitasi dan fisioterapi di MSN Selangor untuk membolehkan atlet mendapat perkhidmatan ‘up to date’.

Dari segi stadium, Selangor memiliki beberapa antaranya Stadium Malawati Shah Alam yang dulunya tiada di tempat lain. Kita tidak kekurangan dari sudut fasiliti, cuma ia sudah terlalu lama dan perlu penambahbaikan dan lengkapkan dengan teknologi terkini.

Bukan tiada kemudahan tetapi perlu naik taraf. Selangor memang ke hadapan tetapi kita perlu bersaing dari segi teknologi memandangkan negeri lain turut ada kemudahan sama. Itu fokus sekarang.

Apakah nilai tambah yang perlu diberi perhatian dalam struktur MSN Selangor?

Produk kita ialah sukan manakala lain-lain ialah suplemen kepada produk utama. Kita perlu perkukuhkan organisasi sukan supaya ia lebih mantap.

Kita tidak boleh pilih mereka yang ada minat tanpa kelayakan atau kemahiran sesuai. Bila bercakap tentang trend latihan terkini, kita perlu mereka yang berilmu. Jadi, bila kita ambil kakitangan, kelayakan jadi keutamaan.

Kita perlu tambah nilai untuk maju supaya kita tidak ketinggalan. Kita perlu berbelanja untuk atlet, latihan dan lebih pendedahan.

Apakah program terbesar MSN Selangor sepanjang tahun ini?

Kita sudah kategorikan pembangunan sukan di Selangor. Pertama, persedian Sukma dua tahun sekali. Yang perlu latihan segera. Contoh, apabila Sukma habis dalam masa dua bulan, atlet perlu buat latihan semula.

SukanIni kita panggil program khas untuk sukan individu. Dalam Sukma kita ada beberapa fasa, antaranya kenal pasti sukan individu yang atlet sudah dipilih dan kita lantik jurulatih khas.

Fasa kedua pula lebih kepada sukan yang boleh bawa medal banyak contohnya sepak takraw. Ketiga, atlet yang ‘almost there to go’.

Kita juga ada projek khas iaitu membawa bakat baharu yang layak ke sekolah sukan seperti di Seksyen 11, Shah Alam. Kita bantu dan latihan diuruskan persatuan.

Cadangan kontrak sehingga lima tahun untuk atlet Selangor seperti sukan bola sepak. Komen?

Ia langkah baik tetapi kita perlu lihat dari segi prosedur kerana bila bercakap tentang atlet remaja, mereka bergantung kepada kebenaran ibu bapa, pihak berkuasa tertentu dan sebagainya untuk dapat kebenaran.

Sebenarnya, atlet yang dibiayai mesti mewakili Selangor. Pemain profesional boleh diadakan kontrak tetapi atlet (tanpa tandatangan atas kertas kerja) juga dianggap kontrak.

Kalau kita keluarkan banyak belanja untuk atlet itu, apabila mereka dapat tawaran lain dan bersetuju untuk pergi, itu dianggap tidak beretika.

MSN ada prosedur. Jika atlet itu datangnya dari Selangor, dia mesti mewakili Selangor. Kontrak tidak bermaksud kena ada kertas kerja.

Cuma konsepnya bila kita tanggung anak yang datang dari rumah kita, takkan hendak beri kepada orang lain? Bila mereka sampai satu tahap umur, itu cerita lain.

Harapan terhadap kemajuan sukan di Selangor?

Kemasukan saya buat kali ketiga untuk mengembalikan Selangor ke tahap lebih baik dari sebelumnya supaya dikenali sebagai negeri yang melahirkan atlet yang mengharumkan nama negara.

sukan3Saya berharap kita sampai ke tahap itu semula dan disegani. ‘Benchmark’ adalah Sukma kerana kalau kita boleh hasilkan atlet berkualiti dalam Sukma, kita mampu sediakan mereka ke peringkat lebih tinggi.

Saya berharap MSN Selangor kembali disegani seperti dulu. Sebab di negeri lain, mereka sudah ada entiti sendiri. Dulunya mereka datang sini untuk belajar tetapi kita sudah kehilangan semua itu.

Kita mahu kembalikan kegemilangan sukan. Selangor adalah antara negeri yang pemimpinnya sangat prihatin dengan sukan. Saya berharap dapat meletakkan Selangor ke tahap seperti dulu atau lebih dari itu.

Categories
EKSKLUSIF SELANGOR

100 HARI: Dari gembala kambing ke kerusi MB

Oleh:  MOHD EZLI MASHUT

Hanya selepas menjadi Dato’ Menteri Besar, beliau diketahui pernah menjadi gembala kambing, bekerja di restoran, dan lain-lain kerja susah.

“Bukan kerana bapa saya tidak mampu untuk membesarkan dan menyekolahkan saya. Bapa saya mahu saya kesusahan,” kata Mohamed Azmin Ali kepada Selangor Kini.

Lahir pada 25 Ogos 1964 di Singapura dan bermastautin serta dibesarkan di Hulu Kelang, Gombak sejak 1968, Mohamed Azmin melalui pelbagai rintangan sebelum menduduki teraju kerajaan Selangor.

MB AzminBeliau menerima pendidikan awal di Sekolah Gurney Road (2) Kuala Lumpur dari 1971 hingga 1976. Selepas itu, belajar di Sekolah Menengah Setapak, Kuala Lumpur (1977-1979) dan Institut Teknikal, Jalan Cheras, Kuala Lumpur (1980 -1981).

Pada 1982, Mohamed Az-min melanjutkan pelajaran di Universiti Minnesota di Amerika Syarikat dan memperoleh segulung ijazah dalam bidang matematik dan ekonomi pada 1987.

Beliau kemudian menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam pendidikan matematik dan ekonomi di universiti sama.

Mohamed Azmin pernah bertugas di Kementerian Pe-lajaran sebagai pegawai khas kepada Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 1987.

yb azmin korbanNamun, ekoran krisis pemecatan Anwar pada 1998 dan permulaan gelombang Reformasi, Mohamed Azmin turut terjun bersama-sama perjuangan rakyat untuk memperjuang keadilan.

Beliau dan ahli keluar-ganya antara individu paling teruk menjadi mangsa fitnah gara-gara usaha regim Tun Dr Mahathir Mohamad menyingkirkan Anwar dari persada politik. Namun, tidak sedikitpun semangatnya patah.

Bersama-sama Anwar, beliau antara pengasas Parti Keadilan Nasional (PKN) yang ditubuh pada 1999 yang kini dikenali sebagai Parti Keadil-an Rakyat (PKR).

Berkat bakat kepimpinannya, Mohamed Azmin turut bertanding pilihan raya hingga menang DUN Hulu Kelang apabila menewaskan calon BN, Datuk Fuad Hassan dengan majoriti 1,146 undi.

MB AzminSelain mengekal kemenangan kerusi DUN Bukit Antarabangsa, beliau pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) turut merampas kerusi Parlimen Gombak dari pada genggaman BN dengan majoriti 6,867 undi.

Kecemerlangan itu tidak terhenti di situ, sebaliknya berterusan pada PRU-13 de-ngan mengekal kerusi DUN Bukit Antarabangsa dan Parlimen Gombak dengan majoriti selesa.

Kesungguhan memperju-ang keadilan tidak sekadar dalam pidato ceramah atau perbahasan di Dewan Negeri Selangor (DNS) tetapi diterap di mana jua hingga dikagumi dan di-pilih sebagai Timbalan Presiden dan mengekalkannya pada sesi lalu.

Berikutan kemelut politik di Selangor, Mohamed Azmin diisytihar sebagai Dato’ Menteri Besar ke-15 selepas mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada tanggal 23 September lalu.

MB AzminPada hari-hari awal menerajui negeri termaju itu, beliau menyinsing lengan dan ligat menerjah ke sana sini bagi memastikan perjalanan pentadbiran pro-rakyat benar-benar berlaku.

Ia bukan menghairankan kerana Mohamed Azmin bukan berasal dari keluarga elit, malah pernah merasai susah payah kehidupan selaku rakyat biasa. Malah, beliau pernah menjadi pengembala kambing dan menternak ayam sewaktu kecil.

“Ayah saya mengajar erti kepayahan hidup. Dengan restu dan doa kedua ibu bapa, akhirnya saya diberi kepercayaan menjadi Menteri Besar.

“Saya akan masuk kampung, dengar luahan rakyat dan cuba selesaikan masalah mereka,” katanya di rumah ibunya di Kampung Klang Gate Baru, Hulu Kelang sejurus selepas upacara mengangkat sumpah.

Ia bukan gimik politik, bahkan terjah masih diteruskan ke saat ini lantaran Mohamed Azmin mengamal dasar 80 peratus bertemu rakyat dan 20 peratus di pejabat.

Dalam tempoh 100 hari, beliau menjelajah ke seluruh pelusuk Selangor dari Sabak Bernam hingga ke Kuala Langat, masuk longkang, panjat lori, naik bas awam dan sebagainya.

Malah, aksi terjah itu turut dicontohi kepimpinan di semua peringkat, baik Exco, Adun mahupun penjawat awam sekaligus memulakan era tautan pemimpin-rakyat.

Secara tidak langsung, pemahaman terhadap masalah rakyat lebih dihayati manakala masalah penduduk negeri diselesai tanpa karenah birokrasi.