Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong, Raja Permaisuri tiba di Pulau Pinang, lawatan rasmi tiga hari

GEORGE TOWN, 20 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba di Pulau Pinang untuk melakukan lawatan rasmi tiga hari bermula hari ini.

Pesawat khas yang membawa pasangan diraja itu dan pegawai kanan Istana Negara mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas pada 10 pagi.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff, Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan isteri Tan Lean Kee serta pegawai kanan pentadbiran negeri.

Ini addalah lawatan sulung baginda berdua ke Pulau Pinang setelah Al-Sultan Abdullah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara, Al-Sultan Abdullah dijadual berangkat menyempurnakan perasmian Masjid Al Bukhary, Lebuh Sungai Pinang 1, di sini pada 12 tengah hari dan turut berkenan untuk menunaikan solat Jumaat di masjid itu.

Baginda juga berkenan berangkat menghadiri majlis santapan tengah hari bersama rakyat di Masjid Al-Bukhary.

Sementara itu, dalam acara berasingan, Tunku Azizah dijadual berangkat menghadiri majlis santapan tengah hari bersama kepimpinan wanita Pulau Pinang pada 1.30 tengah hari di Shangri-La Rasa Sayang Resort & Spa, Batu Ferringhi dan diikuti dengan majlis ramah mesra bersama Persatuan Chef Pulau Pinang di lokasi sama.

Pada sebelah malam pula, baginda berdua dijadual berangkat menghadiri majlis santapan bersama rakyat berbilang kaum di The TOP, Komtar di sini.

Menurut kenyataan itu, atur cara lawatan Seri Paduka berdua juga termasuk menghadiri majlis perasmian Kompleks Kehakiman Syariah Pulau Pinang di Batu Gantung, di sini pada keesokan hari dan diikuti dengan santapan tengah hari di Restoran Hameediyah, Lebuh Campbell, di sini.

Pada sebelah petang, pasangan diraja itu dijangka berangkat melawat Bukit Bendera dengan menggunakan perkhidmatan funikular dan turut berkenan melawat The Habitat Bukit Bendera.

Pada sebelah malam pula, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijadual berangkat menghadiri majlis santapan malam Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Shangri-La Rasa Sayang Resort & Spa, Batu Ferringhi dekat sini.

Pada hari Ahad, hari terakhir lawatan kerja itu, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang serta ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang dan Zakat Negeri Pulau Pinang pada 10 pagi.

Seri Paduka berdua kemudiannya dijangka berangkat pulang ke Kuantan, Pahang pada 12 tengah hari di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas dekat sini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tunku Azizah terima anugerah dari Majlis Kraf Dunia

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah diberi penghormatan sebagai penerima Anugerah Ikon Kraf 2019 oleh Majlis Kraf Dunia (WCC) atas sumbangan baginda dalam mengekalkan warisan kraf tradisional.

Selain Tunku Azizah, Institut Kraf Negara (IKN) dan Kraf Komuniti Ku (KKK) masing-masing dipilih sebagai Institut/Akademi Kraf Terbaik dan Kampung Kraf Terbaik dalam senarai pemenang anugerah yang dimuatkan dalam laman sesawang Kampung Kraf India https://www.craftvillage.org.in/home.html

Anugerah itu akan disampaikan pada majlis Anugerah Kraf Antarabangsa (ICA) ketiga di GMR Aerocity, New Delhi pada 7 Dis, semasa Minggu Kraf India dari 4 hingga 8 Disember, menurut laman sesawang WCC. Anugerah itu mempromosi, memberi inspirasi dan menggalakkan masyarakat dalam mengekalkan warisan kraf.

Anugerah berkenaan adalah penghormatan yang amat bertepatan bagi Tunku Azizah yang begitu aktif dalam mempromosi kraf tradisional, bermula sejak 2006.

Baginda sinonim dengan Tenun Pahang, sehingga memilih fabrik eksklusif yang menjadi identiti negeri Tok Gajah itu sebagai persalinan Diraja pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada 30 Julai lalu.

Pemilihan tenun Pahang Diraja pada istiadat pertabalan itu, titah Tunku Azizah, adalah sebagai tanda penghargaan baginda selaku Penaung Yayasan Tenun Pahang Diraja dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Tenun Pahang Diraja Negeri Pahang.

Usaha baginda mengangkat Tenun Pahang membawa kepada pemasyhuran Tenun Pahang Diraja pada 8 Mei 2006 dengan perkembangannya dipantau rapi melalui Badan Penasihat Pembangunan Tenun Pahang Diraja di bawah Penaungnya ketika itu, Sultan Ahmad Shah.

Tenun Pahang dipercayai berasal lebih 300 tahun lalu dan mereka yang mengenali Tunku Azizah berkata baginda merupakan penggerak bagi penubuhan Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam di Pulau Keladi Pekan, Pahang sekitar 2010 bagi memastikan seni itu tidak hilang ditelan zaman.

Ini kerana, Tunku Azizah melihat penghasilan tenun Pahang memerlukan masa serta ketelitian, menyebabkan hanya terdapat 15 penenun di Pekan, pada awal pembabitan baginda dengan tenun Pahang sekitar 2005.

“Saya memperjuangkan hasil tangan tradisional dan tidak menyokong tenunan mesin, songket mesin dan batik mesin.

“Kita kena mempertahan hasil kerja tangan negara kita yang begitu halus, cantik dan mengambil masa, termasuk tikar, tekat, kerikam, pasu, rotan dan baju kurung,” menurut ciapan baginda menerusi akaun Twitter pada 28 Oktober.

Usaha Tunku Azizah kini mula membuahkan hasil kerana berjaya melahirkan 200 penenun di sekitar Pekan, sebelum baginda melangkah ke peringkat seterusnya dengan ‘menurunkan ilmu tenun’ kepada golongan lelaki, yang amat jarang berlaku sebelumnya.

Tunku Azizah berkenan supaya penghasilan tenun Pahang Diraja dihasilkan oleh banduan lelaki di Penjara Penor dan Penjara Bentong, malah seringkali mencemar duli ke situ bagi melihat dan memantau perkembangan seni fabrik itu.

Minat baginda dengan kraf lebih menonjol di peringkat nasional selepas menjadi Raja Permaisuri Agong.

Baru-baru ini, tular video Tunku Azizah dalam media sosial sedang mempromosikan kraf Malaysia kepada perwakilan ke Simposium Tekstil Tradisional ASEAN di Yogyakarta, Indonesia.

Ketika merasmikan Hari Kraf Kebangsaan 2019 baru-baru ini, baginda bertitah pelbagai usaha boleh dilaksanakan bagi memastikan seni kraftangan dan warisan negara lebih gemilang, yang jelas membayangkan jiwa seni baginda.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), Ibrahim Ismail berkata penganugerahan kepada Tunku Azizah oleh WCC menunjukkan industri kraf negara mempunyai status yang tinggi di mata dunia.

Pengiktirafan terhadap baginda juga memberi suntikan semangat dan dorongan kepada industri kraf negara untuk terus berkembang.

“Kita sangat bangga kerana ‘First Lady’ negara dinobatkan sebagai ikon kraf yang mana ia merupakan anugerah berprestij dari luar negara. Ini merupakan satu petanda yang baik apabila industri kraf negara dipayungi pihak tertinggi dalam negara yang sangat menghargai dan mencintai seni kraf,” katanya.

Beliau berkata, dua lagi anugerah diraih oleh IKN dan KKK merupakan pengiktirafan bertaraf dunia melalui inisiatif Kraftangan Malaysia membangunkan komuniti setempat yang berkait rapat dengan produk unik, sejarah, budaya dan identiti sesuatu tempat.

Ibrahim berkata pengiktirafan antarabangsa julung kali itu juga menunjukkan hala tuju Kraftangan Malaysia yang turut melibatkan golongan berpendapatan rendah B40 adalah selari dengan hasrat kerajaan dalam konteks kemakmuran bersama.

“Kejayaan ini juga jelas menunjukkan industri kraf di negara berdaya maju yang bukan hanya dilihat sebagai satu industri yang bersifat peribadi atau produk desa tetapi bersifat komoditi dan komersial,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Polis terima laporan hina Agong, Permaisuri di Twitter

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima satu laporan berhubung kes penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di laman sosial Twitter, semalam.

Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dalam satu kenyataan, di sini, malam tadi.

“Susulan itu, PDRM telah membuka siasatan di bawah Seksyen 4, Akta Hasutan 1948, oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, JSJ Bukit Aman,”katanya.

Semalam, media tempatan melaporkan ekoran kejadian itu Tunku Azizah menyahaktif akaun Twitter rasmi milik baginda, sehingga ia menjadi tular di media sosial.

– BERNAMA