Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Raja Permaisuri zahir takziah pemergian Zolkples Embong

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong.

Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Zolkples dan berharap seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan itu.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara,” menurut kenyataan Istana Negara yang dimuat naik di Facebook.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada dunia sukan tanah air.

Zolkples pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah MSN selama tujuh tahun sejak April 2007 sehingga Disember 2014 selain pernah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) pada 2017.

Allahyarham ditemukan meninggal dunia di kediamannya di Pandan Indah pagi tadi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perdana menteri menghadap Agong di Istana Abdulaziz

KUANTAN, 23 OKT: Perdana Menteri Tan Sri Muhyidddin Yassin tiba di Istana Abdulaziz di sini hari ini, bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kenderaan yang membawa perdana menteri dilihat memasuki pagar Istana Abdulaziz pada kira-kira 4.40 petang, diiringi pasukan keselamatan dan sejumlah kenderaan rasmi kerajaan negeri Pahang.

Turut kelihatan memasuki Istana Abdulaziz ialah kenderaan rasmi Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Pengamal media mula berkumpul di laluan masuk ke istana itu seawal 2.30 petang, selepas ura-ura perdana menteri akan menghadap Seri Paduka mula tersebar sejak tengah hari tadi.

Muhyiddin terdahulu mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Perdana Putra, Putrajaya pagi tadi, dipercayai bagi membincangkan isu-isu semasa.

Turut dilihat memasuki Perdana Putra ialah kenderaan yang membawa menteri-menteri Kabinet dan PAT Affendi Buang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri kurnia sumbangan untuk anak yatim

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengurniakan sumbangan kepada anak-anak yatim Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Malaysia.

Seri Paduka berdua berangkat tiba di rumah anak yatim itu di Jalan Maktab di sini pada 11 pagi bagi menyempurnakan Majlis Pengurniaan Sumbangan Ampun Kurnia itu.

Seramai 47 anak yatim di bawah jagaan pertubuhan itu menerima sumbangan berbentuk barangan keperluan harian dan wang tunai.

Pada program yang mengikut tatacara kebiasaan baharu tanpa melibatkan kehadiran ramai itu, Seri Paduka berdua turut berkenan menyampaikan sumbangan kek kepada anak-anak yatim di pertubuhan itu.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Ini merupakan aktiviti kedua Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat hadir, yang diadakan di luar Istana Negara, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas.

Majlis itu dianjurkan bersama oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, atas titah perkenan Al-Sultan Abdullah untuk membantu meringankan beban keperluan anak-anak yatim.

Menurut kenyataan yang diedarkan kepada pemberita selepas Majlis Pengurniaan Sumbangan Ampun Kurnia itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata keberangkatan Seri Paduka berdua juga mencerminkan keperibadian tinggi untuk menyantuni anak-anak yatim.

“(Ia juga mencerminkan) keprihatinan Seri Paduka berdua terhadap kebajikan golongan-golongan yang memerlukan bantuan untuk kelangsungan hidup mereka,” katanya.

Sementara itu, seorang daripada penghuni di rumah anak yatim itu, Puteri Nur Damia Mohamad Radzi, 13, berkata dia sangat teruja apabila dapat berjumpa dengan Seri Paduka berdua secara bersemuka.

Puteri Nur Damia juga berterima kasih kepada Seri Paduka berdua yang berkenan menyumbangkan duit raya dan barangan lain kepadanya dan rakan-rakannya.

“Rasa bersyukur kerana Tuanku datang sini untuk luang masa dan tengok sendiri kediaman kami. Tuanku juga ada beri nasihat kepada kami semua supaya belajar bersungguh-sungguh,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB ucap tahniah sempena Hari Keputeraan Agong

SHAH ALAM, 7 JUN: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merakamkan ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan mendoakan baginda dilanjutkan usia serta pemerintahan sempena Hari Keputeraan Rasmi hari ini.

“Semoga Allah lanjutkan usia dan pemerintahan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Dirgahayu Tuanku. Merafak sembah serta setinggi-tinggi tahniah sempena Hari Keputeraan Rasmi. Sembah takzim daripada saya selaku Dato’ Menteri Besar Selangor serta seluruh rakyat Selangor,” tulisnya menerusi Facebook, hari ini.

Sebelum ini kerajaan bersetuju untuk meminda Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah daripada 6 Jun kepada 8 Jun.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali berkata, kerajaan juga bersetuju Hari Keputeraan Rasmi Al-Sultan Abdullah adalah pada hari Isnin pertama bulan Jun setiap tahun mulai 2021.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong, Raja Permaisuri tiba di Pulau Pinang, lawatan rasmi tiga hari

GEORGE TOWN, 20 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba di Pulau Pinang untuk melakukan lawatan rasmi tiga hari bermula hari ini.

Pesawat khas yang membawa pasangan diraja itu dan pegawai kanan Istana Negara mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas pada 10 pagi.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff, Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan isteri Tan Lean Kee serta pegawai kanan pentadbiran negeri.

Ini addalah lawatan sulung baginda berdua ke Pulau Pinang setelah Al-Sultan Abdullah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara, Al-Sultan Abdullah dijadual berangkat menyempurnakan perasmian Masjid Al Bukhary, Lebuh Sungai Pinang 1, di sini pada 12 tengah hari dan turut berkenan untuk menunaikan solat Jumaat di masjid itu.

Baginda juga berkenan berangkat menghadiri majlis santapan tengah hari bersama rakyat di Masjid Al-Bukhary.

Sementara itu, dalam acara berasingan, Tunku Azizah dijadual berangkat menghadiri majlis santapan tengah hari bersama kepimpinan wanita Pulau Pinang pada 1.30 tengah hari di Shangri-La Rasa Sayang Resort & Spa, Batu Ferringhi dan diikuti dengan majlis ramah mesra bersama Persatuan Chef Pulau Pinang di lokasi sama.

Pada sebelah malam pula, baginda berdua dijadual berangkat menghadiri majlis santapan bersama rakyat berbilang kaum di The TOP, Komtar di sini.

Menurut kenyataan itu, atur cara lawatan Seri Paduka berdua juga termasuk menghadiri majlis perasmian Kompleks Kehakiman Syariah Pulau Pinang di Batu Gantung, di sini pada keesokan hari dan diikuti dengan santapan tengah hari di Restoran Hameediyah, Lebuh Campbell, di sini.

Pada sebelah petang, pasangan diraja itu dijangka berangkat melawat Bukit Bendera dengan menggunakan perkhidmatan funikular dan turut berkenan melawat The Habitat Bukit Bendera.

Pada sebelah malam pula, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijadual berangkat menghadiri majlis santapan malam Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Shangri-La Rasa Sayang Resort & Spa, Batu Ferringhi dekat sini.

Pada hari Ahad, hari terakhir lawatan kerja itu, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang serta ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang dan Zakat Negeri Pulau Pinang pada 10 pagi.

Seri Paduka berdua kemudiannya dijangka berangkat pulang ke Kuantan, Pahang pada 12 tengah hari di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas dekat sini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong berkenan kurnia watikah Sasterawan Negara ke-14

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah malam ini berkenan menghadiri Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara ke-14 (ASN ke-14).

Pada majlis yang diadakan di sebuah hotel di sini, keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 8.40 malam disambut Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Ni Ching dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kemudiannya berkenan menerima Sembah Kenal Penerima Anugerah Sastera Negara ke-14, Prof Dr Siti Zainon Ismail oleh Maszlee.

Baginda kemudian berkenan menyampaikan watikah Sasterawan Negara kepada Siti Zainon sebelum menerima sembah ucapan daripada Siti Zainon.

Penerima Anugerah Sastera Negara ke-14, Prof Dr Siti Zainon Ismail ketika berucap pada Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara ke-14 malam ini.– Foto BERNAMA

Sementara itu, Siti Zainon dalam sembah ucapannya berkata, penyatuan melalui Bahasa Melayu sebagai bahasa negara harus diberi tumpuan, dengan penggunaannya diperluaskan dalam hebahan melalui poster, papan tanda arah dan iklan selain mendahulukan bahasa kebangsaan dalam persembahan, seminar atau dalam dialog bernuansa antarabangsa.

“Hari ini ‘Rumah Budi Melayu’ makin sesak dan bergoyang… disendatkan dengan pelbagai tingkah laku canggung bertentangan dengan resam budaya. Pemahaman Bahasa Jiwa Bangsa semakin tipis,” jelasnya yang telah menghasilkan tiga buah novel, sembilan buah kumpulan cerpen, 25 buah kumpulan puisi dan 20 buah buku kajian dalam dunia kesusasteraan.

Sebelum ini, Siti Zainon diumumkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-14 yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

Pemilihan Siti Zainon berdasarkan kepada sumbangan beliau melalui karya dan pemikiran serta sumbangan terhadap pengembangan sastera.

Anugerah Sastera Negara diberikan sejak 1981 kepada sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu dan telah memberikan sumbangan yang cemerlang dan berterusan dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan bermutu tinggi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Polis terima laporan hina Agong, Permaisuri di Twitter

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima satu laporan berhubung kes penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di laman sosial Twitter, semalam.

Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dalam satu kenyataan, di sini, malam tadi.

“Susulan itu, PDRM telah membuka siasatan di bawah Seksyen 4, Akta Hasutan 1948, oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, JSJ Bukit Aman,”katanya.

Semalam, media tempatan melaporkan ekoran kejadian itu Tunku Azizah menyahaktif akaun Twitter rasmi milik baginda, sehingga ia menjadi tular di media sosial.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong sertai ‘Anak-anak Malaysia Walk’

SHAH ALAM, 31 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan menyertai program ‘Anak-anak Malaysia Walk 2019’ yang berlangsung di Eco Ardence di Setia Alam di sini, hari ini.

Ketibaan Sultan Abdullah disambut Pengerusi ‘Anak-anak Malaysia Walk’, Tan Sri Lee Lam Thye dan Pengerusi Ecoworld Malaysia, Tan Sri Liew Kee Sin.

Yang turut menyertai program berjalan sejauh 300 meter itu ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Terdahulu, Sultan Abdullah turut berkenaan merasmikan pelepasan peserta bagi program yang dianjurkan Eco World Development Group Berhad dan Star Media Group Berhad.

Menurut kenyataan media Istana Negara, keberangkatan Sultan Abdullah ke program itu sebagai komitmen baginda dalam mempromosikan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.

Kehadiran Sultan Abdullah sebagai ketua negara turut melambangkan simbol perpaduan dan ikrar baginda untuk memperkukuhkan keharmonian dan perpaduan rakyat.

Sementara itu, Lee dalam ucapannya berkata program itu dilaksanakan bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan hari ini serta Hari Malaysia yang akan diraikan pada 16 Sept.

“Dengan program yang disertai ribuan anak Malaysia dari pelbagai latar belakang dan bangsa ini, menunjukkan semangat perpaduan yang masih utuh dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Menerusi program ini juga kita mahu rakyat Malaysia terutamanya generasi muda bersama-sama dengan kerajaan membangunkan negara yang kita cintai ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong, PM dan barisan menteri dendang lagu patriotik, tiup semangat harmoni

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Buat pertama kalinya dalam sejarah, Ketua Utama Negara, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama barisan anggota Kabinet merakamkan video khas sempena Hari Kebangsaan ke-62 dengan mendendangkan lagu patriotik bertajuk “Setia”.

Video berdurasi 3 minit 32 saat itu dimuat naik dalam laman sosial Facebook rasmi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad malam ini.

Dalam video berkenaan Sultan Abdullah yang diapit Dr Mahathir dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta anggota Kabinet menyampaikan lagu patriotik itu yang mempunyai bait lirik cukup bermakna dengan penuh semangat.

Antara rangkap lagu berkenaan berbunyi : “Demi negara yang tercinta, dicurahkan bakti penuh setia. Demi raja yang disanjung tinggi, kesetiaan tak berbelah bagi.”

Video itu diakhiri dengan Yang di-Pertuan Agong dan anggota Kabinet mengucapkan ‘’Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Malaysia”.

Video itu menyentuh hati dan membangkitkan semangat harmoni apabila netizen berbilang bangsa menghantar komen menyuarakan rasa bangga menjadi anak Malaysia, malah tidak kurang menyifatkan lagu patriotik berkenaan membawa banyak kenangan dan kebersamaan dalam kalangan rakyat negara ini.

Alicia Siow menulis: Proud to be anak Malaysia, wish our country be makmur and all Malaysian Bersatu. Happy Merdeka 62!! (Bangga menjadi anak Malaysia, harap negara kita akan makmur dan semua rakyat Malaysia Bersatu. Selamat Menyambut Kemerdekaan ke-62!!)

Feeq Fiq pula menyifatkan lagu berkenaan sebagai lagu terbaik: “Once upon a time, the best song for DEMI NEGARA MALAYSIA TANAH AIRKU. (Sejak sekian lama, lagu terbaik untuk DEMI NEGARA MALAYSIA TANAH AIRKU)

Huda Jalil pula berkata: Terbaik. Pertama kali melihat gabungan menteri-menteri dari kerajaan PH serta kesudian YDP Agong. Doa kami sebagai rakyat agar Malaysia terus kekal aman, maju dan hidup harmoni…aamiin?????

— BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong berangkat ke Indonesia sempena lawatan negara esok

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat ke Indonesia sempena lawatan negara selama empat hari bermula esok hingga 29 Ogos.

Menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat mengiringi Sultan Abdullah.

“Semasa lawatan negara ini, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong akan berangkat menghadiri Majlis Sambutan Negara, Majlis Menghadap dan Majlis Santapan Negara yang akan dihoskan Presiden Indonesia Joko Widodo di Istana Bogor, Jakarta.

“Baginda berdua juga turut berkenan menghadiri Majlis Santapan Malam bersama rakyat Malaysia di Indonesia dan berangkat melawat Masjid Istiqlal di Jakarta,” menurut kenyataan itu.

Rombongan lawatan negara itu turut disertai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku menteri pengiring, pegawai-pegawai kanan Kementerian Luar, Istana Negara dan Jabatan Perdana Menteri.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong akan turut berangkat ke Yogyakarta dan mengadakan pertemuan dengan Sultan Yogyakarta dan Gubernur Daerah Istimewa Yogyakarta, Sri Sultan Hamengkubuwono X serta melawat beberapa tempat bersejarah di sana.

“Lawatan negara ini melambangkan keakraban dan keteguhan hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia serta akan menyumbang ke arah mengukuhkan lagi jalinan persahabatan antara kedua-dua negara yang telah terbina sejak 62 tahun lalu,” kata kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Agong berangkat ke Arab Saudi hari ini

KUALA LUMPUR, 12 JUL: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat ke Arab Saudi sempena lawatan khas ke negara itu bermula hari ini hingga 14 Julai.

Menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini, lawatan khas selama tiga hari itu adalah atas jemputan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud.

“Lawatan khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI ke Arab Saudi ini melambangkan kesinambungan hubungan dua hala yang akrab dan istimewa antara kedua-dua negara.

“Lawatan khas ini juga akan menyumbang ke arah mengukuhkan lagi persahabatan antara Malaysia dan Arab Saudi,” menurut kenyataan Wisma Putra itu.

Keberangkatan Sultan Abdullah ke negara Timur Tengah itu diiringi Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan pegawai-pegawai kanan kerajaan serta Istana Negara.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Ingatkan polis datang, rupanya Agong – mangsa kemalangan

PUTRAJAYA, 26 JUN: “Mulanya saya ingatkan polis yang datang, rupa-rupanya Agong,” kata Jasliza Jamil, mangsa kemalangan yang tular apabila Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli membantu beliau ketika kemalangan di Putrajaya, hari ini.

Pegawai Penerangan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) itu terlibat dalam kemalangan di kawasan susur Persiaran Barat Lebuh Sentosa ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Presint 2, di sini pagi ini.

Menurut Jasliza, kira-kira 10 minit selepas terbabit dengan kemalangan, beliau ternampak kenderaan polis menghampiri kawasan kemalangan, namun tidak menyangka ia adalah kenderaan yang mengiringi Yang di-Pertuan Agong.

“Masa itu saya masih trauma dan masih duduk di dalam kereta. Kawan-kawan sepejabat juga sudah sampai ketika itu.

“Saya ingat polis datang, tetapi bila saya nampak ada payung kuning dengan beberapa lelaki memakai songkok hitam dengan lilitan putih, barulah saya tahu siapa yang datang,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Jasliza, 38, berkata Seri Paduka meluangkan masa kira-kira lima minit bertanyakan keadaannya dan menawarkan diri untuk membawa beliau ke hospital jika mengalami kecederaan.

Ketika dihubungi kira-kira 1 tengah hari, Jasliza berkata beliau baharu sahaja selesai membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan di klinik.

“Alhamdulillah semuanya dipermudahkan. Pegawai istana ada juga menghubungi saya untuk bertanya jika ada lagi bantuan yang diperlukan.

“Kiranya tidak habis di tempat kejadian, pihak istana ada lagi follow up (susulan) selepas itu,” katanya.

Gambar-gambar Seri Paduka memberi bantuan kepada Jasliza yang memandu kenderaan Perodua Alza merah itu tular di media sosial selepas dimuat naik di laman Instagram Istana Negara.

Menurut catatan hantaran itu, Sultan Abdullah turun dari kenderaan rasmi Seri Paduka untuk memberi bantuan kepada mangsa kemalangan sebelum meneruskan perjalanan ke mesyuarat pra-Kabinet bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Istana Melawati, Putrajaya.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Rosly Hasan mengesahkan menerima laporan mengenai kemalangan itu yang berlaku kira-kira pukul 7.20 pagi dalam keadaan cuaca hujan renyai.

Menurutnya, kenderaan dipandu Jasliza, yang sedang dalam perjalanan dari Gombak ke pejabatnya di sini, hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar besi penghadang jalan sebelum menaiki pembahagi jalan sebelah kanan.

Konvoi Seri Paduka yang kebetulan melalui lokasi kemalangan berhenti untuk melihat keadaan Jasliza, katanya.

– BERNAMA