Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia akhiri minggu ini ditutup bawah paras 1,510 mata

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Bursa Malaysia mengakhiri minggu ini di bawah paras 1,510, ditutup pada paras terendah harian semalam di tengah-tengah prestasi pasaran serantau yang bercampur-campur berikutan bilangan kes Covid-19 yang meningkat di seluruh dunia.

Peniaga berkata prestasi FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turut dipengaruhi oleh ketidaktentuan politik yang melanda negara ketika ini.

Pada 5 petang, indeks petunjuk pasaran itu ditutup 10.11 mata atau 0.67 peratus lebih rendah kepada 1,503.84 daripada 1,513.95 sewaktu ditutup semalam.

Barometer pasaran dibuka tinggi 5.38 mata kepada 1,519.33 dan bergerak antara 1,503.84 dan 1,520.31 sepanjang sesi dagangan.

Bagaimanapun, sentimen pasaran kekal positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi iaitu 583 berbanding 488, manakala 431 kaunter tidak berubah, 643 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 8.70 bilion unit bernilai RM4.76 bilion daripada 6.29 bilion unit bernilai RM4.74 bilion semalam berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang mendorong penyertaan runcit apabila ramai pekerja bekerja dari rumah dalam tempoh ini.

Di peringkat serantau, Nikkei Jepun susut 0.41 peratus kepada 23,410.63 dan Indeks Komposit KOSPI Korea Selatan menguncup 0.83 peratus kepada 2,341.53, namun Indeks Hang Seng Hong Kong naik 0.94 peratus kepada 24,386.79.

Naib Presiden Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd Vincent Low berkata peserta runcit adalah yang paling ramai melabur dalam sektor teknologi dan penjagaan kesihatan seperti kaunter sarung tangan getah dan farmaseutikal akibat peningkatan semula kes Covid-19 di peringkat global.

“Di sebalik jualan di kaunter-kaunter berkaitan indeks, keseluruhan aktiviti dagangan di semua papan kekal rancak berikutan mudah tunai yang disuntik penggiat runcit semasa PKPB,” katanya kepada Bernama.

PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dikuatkuasakan bermula 14 hingga 27 Oktober ini, manakala di Sabah pada 13 hingga 26 Oktober.

Hampir dua pertiga daripada 30 konstituen FBM KLCI adalah rendah dengan Public Bank mendahului kerugian selepas turun 24 sen kepada RM15.86.

Petronas Chemicals susut 11 sen kepada RM5.86, Petronas Dagangan rendah 84 sen kepada RM18.98, Axiata susut sembilan sen kepada RM2.72 dan Maxis turun 10 sen kepada RM4.92.

Kaunter paling rugi termasuk Nestle merosot RM2.10 kepada RM139.40, manakala F&N turun 66 sen kepada RM31.74 dan PPB rendah 42 sen kepada RM19.08.

Mah Sing kekal sebagai kaunter paling aktif diniagakan di bursa, menokok 22 sen kepada 94.5 sen, diikuti AT Systematization yang naik 1.5 sen kepada 8.5 sen.

Luster Industries naik tiga sen kepada 17.5 sen dan Pegasus Heights tidak berubah pada 2.5 sen.

Southern Cable yang baharu disenaraikan di Pasaran ACE berada pada 33 sen, turun satu sen daripada harga tawaran awam permulaan pada 34 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 39.92 mata kepada 10,938.07, Indeks FBMT 100 susut 50.10 mata kepada 10,740.22 dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 32.65 mata kepada 13,140.61.

FBM 70 meningkat 17.57 mata kepada 14,571.71 dan FBM ACE naik 96.03 mata kepada 10,971.88.

Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 53.92 mata kepada 12,409.67, Indeks Perladangan turun 54.20 mata kepada 6,858.51 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.65 mata kepada 143.60.

Bagaimanapun Indeks Penjagaan Kesihatan naik 58.06 mata kepada 4,227.17.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 4.58 bilion saham bernilai RM3.71 bilion daripada 3.62 bilion saham bernilai RM3.46 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 1.13 bilion unit bernilai RM249.27 juta daripada 905.30 juta unit bernilai RM214.06 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE naik kepada 2.98 bilion saham bernilai RM808.41 juta daripada 1.76 bilion saham bernilai RM1.06 bilion semalam.

Produk dan perkhidmatan pengguna merangkumi 886.94 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (779.80 juta), pembinaan (1.6 bilion), teknologi (232.46 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (33.87 juta), hartanah (1.35 bilion), perladangan (49.96 juta), REIT (9.01 juta), dana tertutup (2,400), tenaga (100.45 juta), penjagaan kesihatan (118.42 juta), telekomunikasi dan media (28.80 juta), pengangkutan dan logistik (75.74 juta) dan utiliti (33.05 juta).

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Prestasi di Wall Street dorong Bursa Malaysia dibuka kukuh

KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Bursa Malaysia menebus kembali kerugian yang dialami sebelumnya dan dibuka lebih kukuh pagi ini selepas saham AS melonjak untuk mencatatkan keuntungan semalaman yang tinggi.

Pada 9.06 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.85 mata kepada 1,497.57 daripada 1,496.72 ketika ditutup semalam.

Indeks utama melantun 5.50 mata kepada 1,502.22 pada pembukaan urus niaga.

Pergerakan harga keseluruhan pasaran positif dengan saham untung mengatasi rugi 409 berbalas 86, manakala 216 kaunter tidak berubah, 1,335 tidak diniagakan dan 32 lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 361.65 juta saham bernilai RM202.80 juta.

Keuntungan di pasaran petunjuk utama disumbangkan terutamanya oleh Top Glove yang mengukuh 11 sen kepada RM7.26, Hartalega meningkat 16 sen kepada RM13.16 dan Maxis menambah empat sen kepada RM5.08.

IHH, Sime Darby Plantation dan Sime Darby, masing-masing meningkat tiga sen kepada RM5.38, RM5.51 dan RM2.33.

Rakuten Trade Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya berkata Wall Street mempamerkan lantunan teknikal yang kukuh pada Rabu. Bagaimanapun, sama ada kerancakan itu akan berterusan tidak dapat dipastikan terutamanya di celah-celah aktiviti penjualan.

“Dalam negara, kami mengunjurkan FBM KLCI akan bangkit semula memandangkan ia telah lama berada dalam mod bertahan.

“Sehubungan itu, kami percaya bahawa indeks penanda aras boleh menguji paras 1,510-1,520 hari ini,” katanya sambil menjangkakan pasaran serantau juga akan diniagakan tinggi berikutan kenaikan saham di AS.

Peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura menambah 0.19 peratus kepada 2,504.18, Nikkei Jepun lebih tinggi 0.76 peratus kepada 23,207.30 dan Indeks Komposit KOSPI Korea Selatan mengukuh 0.67 peratus kepada 2,391.70.

Saham paling untung didahului oleh MPI yang menokok 50 sen kepada RM17.38, Kossan meningkat 24 sen kepada RM11.20, Bursa lebih tinggi 18 sen kepada RM8.61, UWC menambah 17 sen kepada to RM6.18.

Dalam kalangan saham paling cergas, Asian Pac naik 2.5 sen kepada 15 sen, Destini memperoleh keuntungan kecil setengah sen kepada 33.5 sen, XOX naik satu sen kepada 21 sen, Gets Global meningkat 10 sen pada RM1.03 sementara Konsortium Transnasional menambah dua sen kepada 16.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 23.61 mata kepada 10,749.49 dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 54.44 mata kepada 12,626.48.

FBM 70 pula naik 76.34 mata kepada 13,781.54, Indeks FBMT 100 meningkat 19.12 mata pada 10,555.93 dan FBM ACE menokok 84.05 mata kepada 10,334.11.

Mengikut sektor, Indeks Penjagaan Kesihatan meningkat 36.83 mata kepada 3.454.77, Indeks Perladangan menambah 13.00 mata kepada 7.049.82 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan perindustrian mengukuh 0.16 mata kepada 135.89.

Indeks Perkhidmatan Kewangan, bagaimanapun, merosot 22.17 mata kepada 12,658.05.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi, seiring prestasi Wall Street

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi hari ini, seiring dengan prestasi semalaman Wall Street ketika pelabur terus berharap agar kerajaan Amerika Syarikat (AS) melaksanakan lebih banyak langkah rangsangan susulan penularan Covid-19.

Pada 9.05 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.61 mata atau 0.29 peratus kepada 1,596.09 daripada 1,591.48 sewaktu pasaran ditutup pada Isnin.

Indeks penanda aras itu dibuka dengan meningkat 3.16 mata kepada 1,594.64.

Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 323 berbanding 127 manakala 287 kaunter lain tidak berubah, 1.272 tidak diniagakan dan 28 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 833.02 juta bernilai RM319.81 juta.

Menurut Rakuten Trade Sdn Bhd, peningkatan Purata Perindustrian Dow Jones semalam yang menokok 115 mata kepada hampir 26,600 memberi petanda baik untuk pasaran saham tempatan.

“Di peringkat tempatan misalnya, FBM KLCI dijangka terus mendapat sokongan pembelian domestik dan diunjurkan kekal kukuh dengan indeks penanda aras sekitar 1,590 hingga 1,600 hari ini,” katanya menerusi nota penyelidikan hari ini.

Selain itu, Public Investment Bank Bhd sebaliknya menjangkakan indeks utama itu kekal tidak menentu dan mendatar pada 1,580 dan 1,600 dengan kecenderungan untuk susut sekiranya aktiviti jualan berlaku dalam momentum penurunannya.

“Paras sokongan pada 1,515, 1,550 dan 1,580 manakala paras rintangan pada 1600, 1,610 dan 1,622.

“Di pasaran lebih meluas, pedagang dijangka memanfaatkan kelemahan sektor telekomunikasi dan media serta pengangkutan dan logistik,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik dua sen kepada RM7.84, Tenaga meraih empat sen kepada RM11.34, Hartalega menokok 12 sen kepada RM18.42 manakala Public Bank tidak berubah pada RM17.52.

Top Glove sebaliknya turun 12 sen kepada RM25.76 dan menjadi kaunter paling rugi di bursa tempatan setakat ini.

Selain itu, XOX muncul saham paling aktif pada dagangan pagi ini apabila naik naik 3.5 sen kepada 28 sen, Borneo Oil untung setengah sen kepada lima sen, Key Alliance meningkat satu sen kepada 10 sen, Managepay menokok 3.5 sen pada 13.5 sen manakala DGB tidak berubah pada 6.5 sen.

Senarai kaunter paling untung didahului kaunter perladangan seperti United Plantations yang naik 38 sen kepada RM13.92, Genting Plantations menokok 28 sen to RM10.28 dan KLK menambah 20 sen kepada RM24.08.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas meningkat 45.10 mata kepada 11,368.11, Indeks FBMT 100 naik 38.72 mata kepada 11,198.08 dan Indeks FBM Emas Syariah melonjak 60.72 mata kepada 13,285.58.

FBM 70 naik 75.12 mata kepada 14,414.54 dan FBM ACE melonjak 93.30 mata kepada 8,357.47.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 75.57 mata kepada 7,237.68, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 0.58 mata kepada 140.70 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 23.38 mata kepada 13.381.46.

-BERNAMA