Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jambatan Sungai Air Tawar-Hutan Melintang dibina mula tahun depan

SABAK BERNAM, 19 OKT: Jambatan baharu sepanjang 2.048 kilometer (km) di Sungai Air Tawar di sini merentas Sungai Bernam ke Pekan Hutan Melintang, Perak akan dibina bermula Januari tahun depan.

Projek persekutuan jalan luar bandar bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) membabitkan peruntukan RM220 juta bakal mewujudkan jaringan infrastruktur jalan raya menghubungkan kedua-dua negeri berkenaan, kata EXCO Infrastruktur.

Ir Izham Hashim menjelaskan projek yang dijangka siap Mei 2025 itu juga mampu mengurangkan kesesakan di jambatan sedia ada selain merangsang aktiviti ekonomi setempat.

“Projek akan memendekkan masa perjalanan dari Sungai Air Tawar ke Perak selama 30 minit tanpa perlu melalui laluan biasa (Jambatan Sungai Bernam).

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Ir Izham Hashim (kiri) ketika melawat tapak cadangan pembinaan jambatan kedua Sungai Air Tawar di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) pada 18 Oktober 2021 di Kampung Datuk Hormat Sungai Air Tawar, Sabak Bernam. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Malah, penduduk sekitar mudah mendapatkan kemudahan awam, pendidikan dan kesihatan,” katanya selepas melawat tapak cadangan projek berkenaan di sini semalam.

Menurutnya projek itu turut melibatkan pembinaan jalan sepanjang 1.2 km, pemasangan lampu di persimpangan jalan dan jambatan, sistem perparitan serta pengalihan utiliti.

Sementara itu, Ir Izham berkata Jalan Nipah sepanjang 8.1 km turut akan dinaik taraf selepas tender projek terbabit dikeluarkan akhir April tahun depan dengan jangkaan siap dalam tempoh lima bulan.

“Penambahbaikan ini akan memberikan laluan perhubungan lebih selamat, selesa dan sempurna kepada penduduk sekitar Sungai Besar,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

Selangor mohon RM500 juta laksana tebatan banjir

KAJANG, 20 JULAI: Selangor memohon peruntukan RM500 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk mengatasi isu kekerapan banjir di Kajang, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Langat Fasa 2 merangkumi proses mendalamkan dan mengukuhkan sungai bagi menampung kapasiti aliran air serta menaik taraf kolam takungan.

“Kita harap ia menyelesaikan masalah banjir yang dibimbangi penduduk sekitar Sungai Jambu, Sungai Pening dan Sungai Sekamat di Kajang serta kawasan berhampiran apabila setiap kali hujan dalam tempoh lama.

“Bagaimanapun berlaku banjir luar biasa beberapa hari lalu dengan catatan 192 milimeter hujan berbanding kemampuan Sungai Langat yang boleh menerima maksimum 88 milimeter sahaja,” katanya pada sidang media selepas mendengar taklimat operasi banjir di Menara Majlis Perbandaran Kajang hari ini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri turut mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan terhadap isu pencerobohan di tebing Sungai Langat.

“Aktiviti tanpa kebenaran di tebing sungai menjadi punca mudahnya berlaku banjir, saya mahu isu ini diberi perhatian serius, kita tidak boleh biarkan,” katanya.

Kelmarin berlaku banjir kilat di 22 kawasan di Hulu Langat diikuti Sepang (14), Hulu Selangor (4) Gombak (dua) dan Klang (satu).

Categories
NASIONAL

Azmin: RMK-12 digubal berasaskan tiga dimensi

PUTRAJAYA, 1 JUL: Dasar dan strategi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) akan digubal berasaskan kepada tiga dimensi, iaitu pemerkasaan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kejuruteraan semula sosial.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, RMK-12 adalah kesinambungan kepada pelan-pelan pembangunan yang lepas yang akan digubal berasaskan ‘Kemakmuran Bersama’ yang akan menjadi garis panduan kepada pembangunan jangka panjang.

Beliau berkata, dimensi-dimensi itu akan saling melengkapi antara satu sama lain ke arah mencapai model pembangunan baharu berasaskan kemakmuran bersama, sejajar dengan usaha kerajaan untuk mencapai matlamat pembangunan lestari menjelang 2030.

“Dimensi-dimensi ini akan ditunjangi oleh prinsip-prinsip kerajaan diperkukuh dan alat-alat dasar baharu,” katanya ketia melancarkan Pemantauan Terkini Ekonomi Malaysia oleh Bank Dunia dan pelancaran persidangan permulaan RMK-12 di sini hari ini.

Ucapan beliau itu disampaikan menerusi rakaman video kerana beliau kini menghadiri mesyuarat Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan mesyuarat menteri-menteri bukan OPEC di Vienna, Austria.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata kerajaan akan membelanjakan kira-kira RM45 bilion tahun depan untuk lebih 4,000 projek pembangunan bagi memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Beliau berkata perbelanjaan pembangunan itu akan melimpah ke tahun-tahun berikutnya bagi memastikan pertumbuhan ekonomi domestik yang kukuh dan lestari.

“Bersama-sama dengan pelaksanaan semula beberapa projek berskala besar, langkah-langkah ini akan menjadi pemacu kepada pertumbuhan kita bagi tahun ini dan tahun depan.

“Dalam kita terus melaksanakan pengukuhan pelaburan langsung asing, mesti ada usaha serentak yang dilaksanakan untuk meningkatkan juga pelaburan domestik,” kata beliau.

Mohamed Azmin berkata usaha-usaha ini akan menambah milai substantif kepada ekonomi Malaysia khususnya dari segi mewujudkan peluang-peluang pekerjaan, menjana kekayaan dan membesarkan lagi pai ekonomi.

Beliau berkata kerajaan juga telah melaksanakan penambahbaikan penting bagi mengurangkan beban pengawalseliaan sejajar dengan matlamat hendak mempermudahkan pelaksanaan perniagaan, dan menambah ‘masih banyak lagi yang perlu dilakukan’.

Beliau turut menyatakan bahawa antara langkah-langkah lain yang sedang diambil ialah penghapusan langkah-langkah bukan tarif (NTM).

Sehingga 2018, kerajaan telah mengkaji semula 668 NTM di bawah enam kementerian yang jumlah kos pematuhan keseluruhan dianggarkan RM2.96 bilion, dengan potensi penjimatan sebanyak RM739 juta, kata beliau. – BERNAMA