Categories
SELANGOR SENI

Komited martabat cempuling ke peringkat antarabangsa

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 24 JAN : Kerajaan Negeri komited mahu memartabatkan seni muzik cempuling sebagai sebahagian daripada budaya tradisional di Selangor, sekali gus dikenali hingga ke peringkat antarabangsa.

EXCO Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, beliau memuji inisiatif Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) memperluaskan lagi seni muzik itu dalam kalangan generasi muda.

“Tahniah kepada PADAT kerana berusaha bersungguh-sungguh memartabatkan seni cempuling sehingga dimasukkan sebagai salah satu aktiviti kokurikulum di sekolah, sekitar Selangor.

“Kita mahu lebih ramai anak muda menceburkan diri dalam bidang seni muzik cempuling ini supaya ia dapat diikuti oleh generasi, pada masa akan datang,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Alat Muzik Cempuling kepada Sekolah di Selangor di Dewan Raja Lumu, Muzium Sultan Alam Shah, di sini, semalam.

Beliau selaku Pengerusi PADAT berkata, seni muzik cempuling itu wajar diperkasa supaya ia tidak pupus ditelan arus kemodenan.

“Warisan seni ini harus disambung kerana keunikannya dalam menyebar nilai falsafah melalui lirik lagu dengan mesej mendalam sebagai peringatan kepada masyarakat,” katanya.

Terdahulu, sebanyak 11 sekolah sekitar Selangor terpilih untuk menubuhkan kumpulan cempuling sebagai sebahagian daripada aktiviti kokurikulum mereka.

PADAT turut menyerahkan alatan cempuling sebagai pinjaman kepada sekolah terbabit melaksanakan aktiviti seni budaya itu.

Categories
PELANCONGAN SELANGOR

Pelancongan kesihatan terus dipertingkat

OLEH SHEDA FATHIL

SHAH ALAM, 30 NOV: Pelancongan kesihatan di Selangor akan terus dipertingkatkan bagi menarik lebih ramai pelancong, ke negeri itu.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, sejumlah 30 hospital kerajaan dan swasta sekitar Selangor berpotensi untuk menjadi pakar penjagaan kesihatan antarabangsa di peringkat rantau serta ASEAN.

“Hospital turut menawarkan fasiliti mengikut kriteria untuk menerima pelancong bagi mendapatkan rawatan.

“Justeru, beberapa pakej dan sesi lawatan turut ditawarkan kepada pesakit serta keluarga sebagai memenuhi keperluan melawat beberapa tempat menarik di bandar berdekatan antaranya Petaling Jaya, Subang Jaya dan Shah Alam,” katanya ketika membentangkan sesi soal jawab di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Katanya, salah sebuah hospital di Selangor diiktiraf di peringkat dunia kerana sudah merawat hampir 500,000 pesakit dalam tempoh dua tahun dan 30,000 pesakit berkenaan dari 130 negara.

“Hal ini jelas terbukti bahawa pesakit antarabangsa memilih Selangor untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, usaha ini akan terus dipergiatkan terutama untuk menambah pesakit antarabangsa bagi mendapatkan rawatan, di sini,” katanya.