Categories
AGENDA NASIONAL

Bomba Negeri Sembilan terima dua laporan rekahan kecil struktur bangunan

SEREMBAN, 25 FEB: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan menerima dua laporan rekahan kecil pada struktur bangunan di negeri ini akibat gegaran daripada gempa bumi kuat yang melanda utara Sumatera, Indonesia hari ini.

Penolong Pengarah Operasi JBPM negeri Penguasa Kanan Bomba II Zamhuri Zainnordin berkata ia melibatkan tingkat lapan sebuah hospital swasta di sini dan tingkat satu Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, dekat sini.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami telah melaksanakan kerja pengungsian dan pemeriksaan struktur pada bangunan berkenaan bagi memastikan tiada bahaya lain yang berlaku.

“Daripada pemeriksaan itu, kami dapati keadaan rekahan itu tidaklah kritikal, hanya rekahan kecil dan struktur bangunan berada dalam keadaan selamat, tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini melaporkan gempa bumi kuat berukuran 6.1 pada skala Richter melanda utara Sumatera pada pukul 9.39 pagi tadi diikuti gempa bumi lemah berukuran 4.9 pada skala Richter pada 12.02 tengah hari.

Gempa dengan kedalaman 10 kilometer (km) itu berlaku pada jarak 87 km barat laut dari Payakumbuh, Indonesia dan 324 km barat daya dari Port Dickson, Negeri Sembilan. Kedua-dua gempa itu tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia.

Selain Negeri Sembilan, antara negeri yang dilapor turut merasai gegaran ialah Pahang, Putrajaya, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.

– BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

Rekahan di susur Lebuhraya Persekutuan, MBSA tutup guna kanvas

SHAH ALAM, 22 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengesan satu rekahan di susur keluar Lebuhraya Persekutuan ke arah Kuala Lumpur dari Bulatan Melawati di sini.

Susulan itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan memasang kanvas dan menutup sebelah lorong buat sementara waktu bagi keselamatan pengguna jalan raya.

“Mohon pengguna jalan raya agar berhati-hati melalui susur keluar Lebuhraya Persekutuan ke arah Kuala Lumpur dari Bulatan Melawati kerana ada kesan rekahan,” katanya di Twitter.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Antara kawasan terjejas teruk ialah Taman Sri Muda dengan kebanyakan rumah masih dipenuhi air, namun menurun daripada rekod melebihi enam kaki tinggi pada Sabtu.

Kesan rekahan yang dikesan di susur keluar Lebuhraya Persekutuan ke arah Kuala Lumpur dari Bulatan Melawati. Foto Twitter MBSA