Categories
AGENDA NASIONAL

Bomba Negeri Sembilan terima dua laporan rekahan kecil struktur bangunan

SEREMBAN, 25 FEB: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan menerima dua laporan rekahan kecil pada struktur bangunan di negeri ini akibat gegaran daripada gempa bumi kuat yang melanda utara Sumatera, Indonesia hari ini.

Penolong Pengarah Operasi JBPM negeri Penguasa Kanan Bomba II Zamhuri Zainnordin berkata ia melibatkan tingkat lapan sebuah hospital swasta di sini dan tingkat satu Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, dekat sini.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami telah melaksanakan kerja pengungsian dan pemeriksaan struktur pada bangunan berkenaan bagi memastikan tiada bahaya lain yang berlaku.

“Daripada pemeriksaan itu, kami dapati keadaan rekahan itu tidaklah kritikal, hanya rekahan kecil dan struktur bangunan berada dalam keadaan selamat, tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini melaporkan gempa bumi kuat berukuran 6.1 pada skala Richter melanda utara Sumatera pada pukul 9.39 pagi tadi diikuti gempa bumi lemah berukuran 4.9 pada skala Richter pada 12.02 tengah hari.

Gempa dengan kedalaman 10 kilometer (km) itu berlaku pada jarak 87 km barat laut dari Payakumbuh, Indonesia dan 324 km barat daya dari Port Dickson, Negeri Sembilan. Kedua-dua gempa itu tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia.

Selain Negeri Sembilan, antara negeri yang dilapor turut merasai gegaran ialah Pahang, Putrajaya, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua juta dos vaksin diagih ke Lembah Klang, Negeri Sembilan

KLANG, 13 JULAI: Sebanyak dua juta dos vaksin Covid-19 yang dijangka tiba hujung bulan ini akan diagihkan ke kawasan Lembah Klang meliputi Selangor dan Kuala Lumpur serta Negeri Sembilan untuk mula digunakan pada awal Ogos nanti.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata agihan itu akan dibuat bagi membantu mempercepatkan usaha mengawal penularan jangkitan Covid-19 di kawasan berisiko tinggi.

Beliau berkata bagi tujuan yang sama, kesemua Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) sedia ada akan dioperasikan pada setiap hari dengan tambahan petugas telah dan sedang diuruskan oleh Kementerian Kesihatan.

“Mengambil kira kehadiran pesakit yang menghadapi masalah pernafasan, CAC juga akan dilengkapkan dengan keperluan oksigen sementara pesakit menunggu rujukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dan hospital,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini hari ini.

Muhyiddin berkata berdasarkan data pada 11 Julai keseluruhan kes jangkitan Covid-19 di Selangor berjumlah 286,352 orang manakala bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya pula sebanyak 88,958 orang.

“Jumlah ini merangkumi 45 peratus daripada keseluruhan kes jangkitan Covid-19 di negara ini,” katanya.

Beliau berkata bagi kes kematian akibat Covid-19 pula, jumlah yang dicatatkan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah sebanyak 2,700 orang iaitu 44 peratus daripada keseluruhan kes kematian yang didaftarkan di seluruh negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Negeri Sembilan catat kadar kebolehjangkitan Covid-19 tertinggi

KUALA LUMPUR, 17 JUN: Kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 mengikut kes harian bagi seluruh negara menurun kepada 0.93 setakat semalam berbanding 0.94 kelmarin dengan Negeri Sembilan mencatatkan Rt tertinggi iaitu pada 1.03.

Menerusi data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di akaun Facebook beliau malam tadi, Labuan dan Sabah merekodkan Rt kedua tertinggi masing-masing pada 1.02 diikuti Sarawak (1.00).

Kelantan pula merekodkan Rt terendah iaitu 0.75.

Antara negeri lain yang mencatatkan bacaan di bawah satu ialah Kuala Lumpur (0.97), Johor dan Selangor (0.95), Putrajaya (0.91) Melaka (0.90), Kedah (0.87), Perak (0.84), Perlis (0.83), Pulau Pinang (0.82), Pahang (0.79) dan Terengganu (0.76).

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan kes Covid-19, iaitu berapa ramai boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis siasat pemilik akaun Facebook muat naik ‘Nilai 3 terletak di Selangor’

SEREMBAN, 23 MEI: Polis membuka kertas siasatan berhubung kes seorang pemilik akaun Facebook, disyaki menyebarkan berita palsu yang boleh menimbulkan kegentaran awam mengenai isu Nilai 3 terletak di negeri Selangor, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintenden Mohd Fazley Ab Rahman berkata pemilik akaun tersebut dikenali sebagai N9 RADAR akan dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

“Pemilik akaun itu memuat naik status ‘Nilai 3 terletak di negeri Selangor’. Kita menegaskan bahawa Nilai 3 merupakan kawasan dalam pentadbiran IPD Nilai, Negeri Sembilan dan bukannya terletak di Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berlata kenyataan dikeluarkan oleh pemilik akaun Facebook berkenaan boleh menyebabkan kegentaran awam dan menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai.

Siasatan itu dilakukan mengikut Seksyen 505 (b), Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya menghentikan sebarang penyebaran gambar atau berita tidak tepat untuk dimuat naik atau dikongsi di laman sosial masing-masing.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor minta Negeri Sembilan siasat lanjut punca sungai tercemar

SEPANG, 5 OKT: Selangor mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran serta Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan melakukan siasatan lanjut di lokasi disyaki menjadi punca pencemaran bau hingga menyebabkan 309,687 akaun pengguna negeri ini berdepan masalah bekalan air.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata tumpuan dilakukan di kawasan Perindustian Nilai 3 memandangkan lokasi khusus tidak dapat dikenal pasti.

“Jadi mereka sedang siasat kawasan terbabit. Penguatkuasa Selangor susah untuk jalankan siasatan kerana ia di luar kawasan negeri.

“Kita harap Negeri Sembilan ambil inisiatif menyiasat punca kejadian ini. Unsur sabotaj juga akan disiasat,” katanya pada sidang media di Tasik Idaman hari ini.

Loy Sian berkata laporan polis akan dibuat berhubung kejadian selain JAS akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak melanggar Akta Kualiti Alam Sekitar.

Semalam, dua Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas susulan pencemaran bau bangkai di Sungai Semenyih dan Sungai Langat.

Berikutan itu sebanyak 274 kawasan di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Categories
NASIONAL

Gangguan bekalan air di Negeri Sembilan pada 27 Mac

SEREMBAN 24 MAC: Pengguna di beberapa kawasan di Seremban, Port Dickson dan Rembau dijangka mengalami gangguan bekalan air pada Selasa depan berikutan kerja menggantikan pam dan menguji injap di Loji Rawatan Air Linggi di Port Dickson.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS), Norzita Ismail, berkata gangguan bekalan air berjadual di kawasan terbabit dijangka 24 jam mulai jam 8 pagi.

“Kerja terbabit adalah antara usaha berterusan SAINS menambah baik dan meningkatkan mutu bekalan air demi kepentingan pelanggan pada masa depan.

“Bekalan air akan disambung semula secara berperingkat selepas jam 8 pagi Rabu. Bagaimanapun, beberapa kawasan tinggi dijangka mengalami tempoh pembaikan lebih lama.

“SAINS akan mengambil langkah proaktif dengan menghantar lori tangki, selain menempatkan tangki statik jika gangguan bekalan air melebihi 24 jam,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Antara kawasan terbabit di Seremban ialah Taman Pinggiran Senawang, Sekolah Dato’ Abdul Razak, RTM, Ladang Batu 11, Kilang GMP, Senawang Rest and Relax, Senawang Perdana, Taman Ulu Lalang, Kampung Solok, Kampung Ribu, Kampung Sega Ulu, Kampung Sega Hilir dan Jalan Kuala Sawah.

Turut terjejas ialah Ladang Kuala Sawah, Kampung Nyatoh, Rumah Rakyat Nyatoh, Kampung Belangkan, Industri Nilam Ribu, Taman Bandar Ekar, Pekan Rantau, Kampung Takau, Kampung Pening, Kampung Kancong, Taman Rantau, Jalan Air Kuning, Taman Permata, Kampung Siliau Hulu, Kampung Siliau Hilir, Ladang Siliau dan Kampung Sungai Sendayan.

Di Port Dickson, antara kawasan terbabit ialah Golf & Country Club, PD Perdana, Desa Lagun Resort, 5 Jalan Pantai camps, Selesa Beach Resort, Batu 4 Jalan Pantai camps, Hotel Seri Malaysia, Hotel Avillion, Hotel Risda, Cabot Factory, Hotel Corus dan Hotel Sunshine Bay.

Turut tersenarai ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Abdul Samad, Petron Refinery, Shell Refinery (Line 1 dan 2), Batu 1 Jalan Pantai Hemodialysis centre, PD Water Front, Pekan Port Dickson, TNB (Tuanku Jaafar), Hotel Leparis, Health clinic (Hospital Lama), Seafront Hotel, Hotel Lexis dan Springhill.

Daerah Rembau membabitkan Taman Chembong Utama, Balai Polis Chembong, Sekolah Teknik Chembong, Ladang Batu Hampar, Halal Park, Highway Pedas, Merbau 9, Kampung Pedas Batu 4 (Kanan & Kiri), Taman Pinggiran Pedas, Kampung Minching Baru, Sungai Ibor Batu 3, Kampung Minching Lama, Taman Pedas Indah, ILP Pedas dan ILP Kampung Sungai Ibor.

Selain itu, Kampung Seberang Batu 2, Sekolah Kebangsaan Pedas, Kampung Seberang Batu 1, Kampung Sungai Batu, Kampung Sungai Lalah, Taman Pedas Perdana, Jalan Mungkal, Jalan Tok Nara, Jalan Ampang Batu, Jalan Mungkal Tobek, Jalan Tok Menteri, Jalan Tok Samad, Jalan Bunga Raya, Jalan Dato’ Keramat, Taman Exora dan Kundur.

Guna dan jual vape tidak dilarang di Negeri Sembilan

Rakyat Negeri Sembilan bebas untuk guna dan jual vape – MB

Categories
SELANGOR

Guan Eng : Kurangkan Pendakwaan Politik Tambah Polis Tempur Jenayah

LOGO POLIS BARU-EDIT

SHAH ALAM 30 JULAI : Serangan terhadap seorang aktivis anti-jenayah dan tokoh institusi kewangan negara oleh pembunuh bersenjata api haruslah mendesak Kerajaan Persekutuan supaya menambah nisbah anggota polis dalam memerangi jenayah daripada 14.2 peratus ke 50 peratus.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata polis haruslah diberi kuasa untuk memberi tumpuan terhadap membanteras jenayah berbanding menyintip pergerakan ahli politik.

Katanya berdasarkan statistik yang diberikan Kerajaan Persekutuan baru-baru ini di dalam Dewan Rakyat, hanya 14.2 peratus daripada jumlah 112,583 anggota ditugaskan untuk memerangi jenayah.

Iaitu Jabatan Siasatan Jenayah mempunyai 10,150 anggota (9 peratus), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik – 4,224 anggota (3.8 peratus) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil – 1,663 (1.4 peratus).

Guan Eng berkata, Kementerian Dalam Negeri enggan mendedahkan jumlah anggota yang ditugaskan di dalam Cawangan Khas.

“Ia tidak boleh diterima bahawa hanya 9 peratus daripada anggota polis terlibat secara langsung dalam membanteras jenayah di jalanan.

?Malah jika termasuk anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, jumlahnya hanya 14.2 peratus.

“Bilangan anggota polis yang terlibat dalam membanteras jenayah tidak harus 14.2 peratus tetapi mesti sekurang-kurangnya 50 peratus.

?Dalam erti kata lain perlu ada sekurang-kurangnya 56,000 anggota polis berpakaian seragam berkawal di jalan-jalan dan bukan 16,037 anggota polis sahaja,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Semalam Pengasas Arab Malaysia, Hussain Ahmad Najadi ditembak mati di sebuah tempat letak kereta di Jalan Raja Chulan oleh seorang lelaki, ketika beliau dan isteri dipercayai berjalan keluar dari tokong Cina Kuan Yin.

Sabtu lalu pula, pengerusi NGO anti-jenayah Malaysian Crime Watch Task Force (MyWATCH) Sri Sanjeevan Ramakrishnan cedera parah selepas ditembak oleh seorang pembonceng motosikal di Jempol, Negeri Sembilan.

Categories
NASIONAL

Keadaan Sri Sanjeevan Stabil Tetapi Kritikal

Sri Sanjeevan Mywatch 01

SHAH ALAM 30 JULAI : Keadaan aktivis anti-jenayah Sri Sanjeevan Ramakrishnan, 29, yang ditembak Sabtu lalu, dilaporkan kini lebih stabil tetapi masih kritikal.

Dalam kenyataan media pada 11.20 malam semalam, bapanya, Ramakrishnan Perianan berkata anaknya yang juga Pengerusi MyWatch sedang menerima rawatan di Hospital Serdang selepas dipindahkan dari Hospital Tunku Jaafar, Negeri Sembilan petang semalam.

Selain itu, bapanya juga mahu mana-mana pihak tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai anaknya itu tanpa merujuk kepada beliau atau kakak mangsa, R Maygala.

“Dalam tempoh beberapa jam yang lalu, saya mendapati adanya kenyataan-kenyataan berhubung keadaan anak saya yang dikeluarkan oleh beberapa pihak dan individu tertentu kepada pihak media.

“Walaubagaimanapun, ada di antara kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan tersebut didapati tidak tepat dan mengelirukan.

“Saya dan keluarga masih dalam keadaan sedih dan terperanjat dengan apa yang berlaku kepada anak saya dan kenyataan-kenyataan tidak tepat yang dikeluarkan ini membuatkan kami sekeluarga bertambah bimbang dan kurang tenang,” jelas kenyataan itu.

Sabtu lalu, dalam kejadian 4.30 petang, mangsa cedera di perut akibat ditembak seorang pembonceng motosikal ketika mangsa yang memandu kereta jenis BMW menurunkan cermin keretanya di persimpangan berdekatan Taman Awana Indah, Jempol, Negeri Sembilan.

Beberapa jam sebelum ditembak, Sanjeevan menulis di Twitternya bahawa seorang anggota polis  mengancam untuk memberi senjata kepada anggota sebuah sindiket untuk menembak rumahnya.

Ahli Parlimen Pandan yang juga Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli pula mendakwa aktivis anti-jenayah itu juga merancang untuk mendedahkan satu memo didakwa mengaitkan anggota polis dengan sindiket dadah.

Rafizi mendakwa mangsa memperolehi satu memo dalaman polis, yang menyenaraikan pengawai polis yang dikenakan siasatan dalam atas (dakwaan) terlibat dalam sindiket dadah.

Rafizi mendakwa demikian bagi mengulas mengenai pertemuannya selama 20 minit dengan Sanjeevan sehari sebelum kejadian tembakan itu.

Categories
NASIONAL

Suhakam Minta Polis Patuhi Akta Kaedah-Kaedah Lokap

memorandum SUHAKAM

KUALA LUMPUR, 20 JUN : Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan memastikan pihak polis mematuhi dan menguatkuasakan Akta Kaedah-kaedah Lokap dan Kod Prosedur Jenayah.

Pematuhan kepada akta ini bagi memastikan kes kematian dalam tahanan lokap yang disebabkan oleh kecuaian polis dapat dikurangkan.

Ini kerana menurut Pesuruhjaya Suhakam, James Nayagam, pihaknya tidak mampu menangani kes kematian dalam tahanan polis yang dikatakan terlalu ramai dan makin kritikal.

Beliau difahamkan setakat ini, sebanyak 222 kes kematian dalam lokap dilaporkan sejak tahun 2000, dengan kes terbaru membabitkan seorang jurutera, P Karuna Nithi yang disahkan meninggal dunia di Balai Polis Tampin, Negeri Sembilan.

“Kami tidak mampu untuk mendengar lebih banyak kes kematian dalam tahanan yang dilaporkan saban hari.

“Negara ini mempunyai undang-undang dan Akta Kaedah Lokap yang harus dipatuhi polis, antaranya memastikan tahanan berada dalam keadaan selamat, memastikan kamera litar tertutup (CCTV) berfungsi untuk memantau keadaan tahanan.

“Memaklumkan kepada keluarga tahanan sekiranya berlaku sesuatu dengan kadar segera selain mematuhi jangka masa soal siasat, hak dan keselamatan orang dalam tahanan.

“Undang-undang sudah ada, polis hanya perlu ikut sahaja. Apa yang boleh saya jamin ialah pihak Suhakam akan menggesa supaya akta ini dikuatkuasakan untuk mengelak perkara sama berulang lagi,” katanya semasa menerima memorandum daripada keluarga mendiang Karuna di ibu pejabat Suhakam, di sini pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan PKR, S Manikavasagam yang mewakili keluarga mendiang menggesa supaya Suhakam menubuhkan satu badan siasatan bebas untuk menyiasat punca sebenar kematian Karuna.

Tegasnya, pihaknya sudah menghantar memorandum kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tempoh hari atas tujuan sama (menyiasat kematian Karuna), namun tiada respon diberikan sehingga hari ini.

“Sudah banyak kali kes sebegini dilaporkan, tetapi malangnya polis tidak pernah ambil sebarang tindakan.

“Polis ambil jalan mudah dengan mengatakan tahanan diserang sakit jantung. Adakah ini adil untuk keluarga mendiang sedangkan laporan perubatan sudah sahkan mendiang dicederakan,” tegasnya.

Memorandum itu antara lainnya mempersoalkan tindakan polis yang tidak memindahkan mendiang ke penjara Sungai Udang setelah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah, sebaliknya membiarkan Karuna di Balai Polis Tampin.

Keluarga mendiang turut mempersoalkan mengapa tiada rakaman CCTV dilakukan pada hari kejadian sehingga menimbulkan syak wasangka bahawa polis cuba menyembunyikan bukti.

Selain itu, memorandum tersebut turut mempertikaikan mengapa keluarga mendiang masih tidak diberikan sebarang penjelasan tentang perkara sebenar yang berlaku sehingga mengakibatkan kematian Karuna.

Karuna,42, disahkan meninggal dunia pada 1 Jun lalu di ibu pejabat polis daerah Tampin, sehari sebelum keluarganya sempat mengumpul wang untuk mengikat jaminnya.

Sehari selepas itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh dilaporkan berkata tiada unsur jenayah dalam kes kematian Karuna yang ditahan pada 27 Mei selepas didakwa menyerang isterinya dan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun pada 14 Jun lalu, dalam laporan bedah siasat ke atas mangsa menunjukkan mendiang mengalami 49 kecederaan.

Sebahagian besar kecederaan disebabkan oleh objek tumpul pada dada dan kaki, demikian menurut laporan yang disediakan oleh Perunding Forensik Hospital Tuanku Jaafar, Dr Sharifah Safoorah Syed Alwee Al’Aidrus.

Categories
NASIONAL

Batu dan Cat Tidak Halang Perjuangan Membela Rakyat

 

SHAH ALAM 29 SEPT : Lontaran batu dan cat tidak menghalang PKR meneruskan untuk berjumpa rakyat dalam program Jelajah Merdeka Rakyat yang cuba digugat oleh samseng Umno-BN.

Menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata parti akan tetap menggerakkan program ini sebagai salah satu kaedah menyuntik kesedaran rakyat.

Katanya, terdapat dua faktor utama yang membantu program ini berjalan dengan jayanya. Yang pertama kerjasama ahli parti atau mobilisasi rakyat dijalankan semaksimum dan faktor keselamatan merupakan dua petua kejayaan program tersebut.

“Kedua-dua petua itu merupakan faktor penting bagi menjayakan program itu secara berterusan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-13 diadakan.

“Walaupun setakat ini ia tidak mengecewakan tetapi kita mahu momentum itu diteruskan.

“Begitu juga dari segi keselamatan, kita tidak akan diserang jika pemimpin kita ramai, jadi kita kena tingkatkan kawalan keselamatan. Kita perlu memastikan pemimpin kita selamat dan program kita berjaya,” katanya dalam program Rapat Pemimpin Nasional PKR 2012 di sini hari ini.

Jelasnya, disebabkan sambutan luar biasa dari rakyat, PKR menerima reaksi yang keras dari pihak Umno-BN.

Setakat ini, Jelajah Merdeka Rakyat sudah berjaya di sembilan negeri antaranya Pahang, Kelantan, Perlis, Pulau Pinang, Johor, Negeri Sembilan dan Kedah.

“Dalam sembilan negeri yang sudah kita jelajah, hanya Negeri Sembilan sahaja kita tidak diserang,” katanya.