Categories
BERITA UTAMA

Skala pencarian remaja Ireland dikecilkan

NILAI, 10 OGOS: Skala pencarian remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, dikecilkan dari 6 kilometer (km) radius kepada 4 km radius dari lokasi kejadian, kata Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop.

Beliau berkata ini kerana polis percaya remaja itu tidak akan pergi jauh dari chalet yang diinap keluarganya.

Bagaimanapun katanya setakat ini belum ada petunjuk positif terhadap usaha pencarian Nora Anne, yang hari ini memasuki hari ketujuh selepas dia dilapor hilang pagi Ahad, dan turut menegaskan polis akan berusaha sedaya upaya untuk menjejakinya.

“Anggota SAR (mencari dan menyelamat) akan membuat penelitian yang lebih terperinci di kawasan pencarian yang memfokuskan kawasan curam, celah-celah semak dan batu serta kawasan penginapan keluarga mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Pantai, Seremban, hari ini.

Mohamad berkata siasatan yang dijalankan polis meliputi pelbagai sudut, termasuk mengambil keterangan daripada pemandu teksi yang membawa keluarga Nora Anne ke resort berkenaan selain menjalankan siasatan terhadap penduduk yang mempunyai rekod jenayah lampau.

Setakat ini polis tidak mempunyai sebarang bukti bagi mengaitkan kejadian itu dengan kes penculikan, katanya.

Ditanya mengenai tempoh operasi itu akan dijalankan, beliau berkata setakat ini pihaknya tidak menetapkan sebarang tempoh dan menegaskan ia bergantung kepada keadaan dan petunjuk yang diperolehi kelak.

Sementara itu, Mohamad berkata anggota yang terlibat dalam operasi diberi perlepasan untuk menunaikan solat Aidiladha esok.

Operasi SAR hari ini melibatkan 317 anggota berbanding 261 anggota semalam.

Selain pelbagai unit Polis Draja Malaysia (PDRM), agensi lain yang turut terlibat ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Perhutanan negeri.

Ahad lepas, Nora Anne yang mengalami masalah pembelajaran itu, dilapor hilang selepas tiba bersama ibu bapanya di Malaysia pada Sabtu, untuk percutian dua minggu di sebuah resort di Pantai, Seremban.

Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapannya oleh keluarganya pada pukul 8 pagi.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Kehilangan Nora Anne masih jadi tanda tanya

NILAI, 9 OGOS: Selepas 120 jam berlalu, nasib remaja perempuan warga Ireland Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang ketika menginap di resort The Dusun, Pantai, di sini, Ahad lepas, masih menjadi tanda tanya.

Memasuki hari keenam operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja itu hari ini, pasukan operasi pencarian dijangka berdepan sedikit cabaran susulan perubahan faktor cuaca yang hujan dalam sehari dua ini.

Pemerhatian Bernama mendapati kawasan lokasi kejadian dan pencarian mangsa pada pagi ini mendung dan diselubungi kabus yang agak tebal.

Pergerakan kenderaan yang masuk ke kawasan ini dari arah Pekan Pantai turut berdepan beberapa halangan kecil akibat pokok tumbang, namun telah dialihkan oleh penduduk tempatan.

Seawal 7 pagi lagi, petugas media tempatan dan antarabangsa sudah pun berkampung di kawasan ini bagi mengikuti perkembangan lanjut operasi itu.

Sementara itu, aset keselamatan yang membawa anggota operasi dilihat bergerak masuk ke kawasan kejadian sejak awal pagi.

Sehingga semalam, kekuatan anggota keselamatan yang terlibat seramai 252 orang membabitkan pelbagai agensi keselamatan seperti polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih, PGA Batalion 3 unit Senoi Praaq, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Perhutanan negeri.

Nora Anne, yang mengalami masalah pembelajaran, tiba bersama keluarganya dari London pada Sabtu untuk percutian dua minggu di sebuah resort di sini.

Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapan oleh keluarganya pada 8 pagi Ahad.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Remaja Ireland hilang: Operasi SAR memasuki hari ketiga

NILAI, 6 OGOS: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang kini memasuki hari ketiga, diteruskan pagi ini dengan kekuatan seramai 159 orang anggota dari pelbagai agensi keselamatan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, operasi SAR hari ini, bagi mengesan mangsa yang dilaporkan hilang di The Dusun, Pantai, dekat sini, sejak Ahad lalu, bermula pukul 7.30 pagi tadi.

“Agensi keselamatan yang terlibat antaranya polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih, PGA Batalion 3 unit Senoi Praak, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Perhutanan negeri, Sapura, serta penduduk tempatan termasuk orang orang asli,” katanya di sini, hari ini.

Satu sidang media akan diadakan pukul 4.30 petang ini, di Balai Polis Pantai berhubung perkembangan semasa operasi SAR.

Ahad lalu, media melaporkan remaja berkenaan disedari hilang daripada bilik penginapannya di sebuah resort di sini oleh keluarganya pada 8 pagi.

Keluarga mangsa juga memaklumkan bahawa remaja perempuan itu mengalami masalah pembelajaran.

Semalam, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop menafikan kes itu sebagai kes penculikan seperti dilaporkan media asing.

Katanya tiada sebarang unsur jenayah dikesan, justeru kes itu masih diklasifikasikan sebagai orang hilang. – BERNAMA