Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga bomba kena renjatan elektrik padam rumah atas air terbakar

KOTA KINABALU, 16 MEI: Kira-Kira 15 rumah atas air musnah dalam kebakaran di Kampung Meruntum, Lok Kawi semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah Mohd Ali Ismail berkata kejadian dipercayai bermula pada 5.30 petang dan pihaknya menerima laporan kira-kira 10 minit selepas itu sebelum api berjaya dikawal pada 8.01 malam ini.

Beliau berkata tiga anggota bomba mengalami kecederaan selepas terkena renjatan elektrik ketika menjalankan operasi memadam kebakaran itu.

“Ketiga-tiga anggota itu mengalami kecederaan tidak serius dan sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I serta Hospital Queen Elizabeth II untuk rawatan lanjut, mereka berada dalam keadaan stabil.

“Setakat ini, kita tengok 15 buah rumah terlibat tetapi kita akan buat pemeriksaan lagi tengok kerosakan semua, selepas ini kita akan memadam sisa-sisa yang terbakar sebelum menyiasat punca kebakaran itu,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Mohd Ali berkata seramai 25 anggota dan lima jentera dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran daripada Balai Bomba Kota Kinabalu, Penampang dan Lintas dengan dibantu pasukan bomba Angkatan Tentera Malaysia dari Kem Lok Kawi yang terletak berhampiran kawasan kejadian.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Budak lelaki maut terkena renjatan elektrik di padang bola

JOHOR BAHRU, 30 OGOS: Seorang kanak-kanak lelaki berumur sembilan tahun maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika berada di padang bola di Jalan Impian Emas, 14, Taman Impian Emas petang semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Mohd Taib Ahmad berkata dalam kejadian pada kira-kira 2.45 petang itu, Musyrif Hakimi Musaffendy dipercayai tidak memakai kasut ketika berada di padang tersebut dan kawasan di mana mangsa berdiri ketika itu basah berikutan hujan.

“Pihak polis menerima panggilan telefon pada kira-kira 3 petang dengan dimaklumkan bahawa terdapat seorang kanak-kanak lelaki terkena renjatan elektrik.

“Difahamkan ketika kejadian, mangsa sempat mengadu kepada seorang rakannya bahawa dia berasa panas dan kemudiannya rebah,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebelum itu, terdapat aktiviti bulan kemerdekaan dan kibaran Jalur Gemilang anjuran sebuah agensi kerajaan di padang bola tersebut yang bermula dari 8.30 pagi hingga 4 petang.

Katanya jenazah mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

-BERNAMA