Categories
NASIONAL SELANGOR

300,000 Rakyat Keturunan India Masih Tidak Ada KP

PETALING JAYA, 25 APR : Walaupun bertungkus lumus mengulang-kaji matapelajaran, namun segala impian Reshima Batumanathan untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kecundang hanya kerana dia tidak memiliki kad pengenalan (KP).

Reshima, yang berasal dari Gombak, Kuala Lumpur dan menuntut di SMK Chong Hua, dihalang daripada mengambil SPM kerana tidak memiliki KP.

Beliau tidak diikhtiraf sebagai warga negara Malaysia walaupun kedua ibubapanya mempunyai KP.

Begitu juga dengan Vasantha Laksimi Gengalingam, 27, yang tidak diberi KP walaupun dia mempunyai bukti yang dia lahir di Malaysia.

Perkara yang sama berlaku kepada MP Kapar S.Manikavasagam di mana mendiang ibunya juga yang gagal didaftarkan sebagai rakyat Malaysia walaupun telah menetap di negara ini lebih 60 tahun.

“Malangnya kes yang melibatkan ibu saya sehingga dia meninggal tahun lepas masih belum selesai.

“Sebelum ini, saya dan ibu turun naik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana ibu pemegang kad pengenalan merah. Kalau ini berlaku kepada saya, apa lagi terhadap rakyat,” ujarnya.

Ketiga-tiga kes ini dipaparkan di dalam satu sidang media PKR bagi menunjukkan bagaimana masalah kewarganegaraan di kalangan komuniti India Malaysia masih tidak selesai hingga hari ini.

Naib Presiden PKR, N. Surendran berkata di anggarkan 300 ribu individu dari komuniti India sehingga kini dinafikan hak kerakyatan mereka.

?Ini krisis besar. Kerajaan pada tahun lepas tampil dengan jalan penyelesaian dengan mengwujudkan kempen ?My Daftar?.

“Tetapi hasil kajian dan analisis yang kamidijalankan, kami terkejut apabila anggaran sekurang-kurangnya jumlah 300 ribu kaum India masih belum berjaya didaftarkan dan mereka hanya memiliki kad pengenalan merah,” ujarnya.

Sebaliknya, kerajaan pusat melahirkan rasa bangga apabila kempen itu berjaya menyelesaikan enam ribu kes.

?Pencapaian tersebut tidak seharusnya dibanggakan malah rekod itu jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan skala kes yang belum diselesaikan.?

Surendran menambah, sikap kerajaan yang meremehkan urusan ini seolah-olah mereka mendiskriminasi kaum India yang lahir di negara ini.

 

ends