Categories
PBT SELANGOR

11121 nombor bertuah ‘abang’ scrambler

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

BANTING, 14 APR: Retromania Grand Gathering 2019 (RGG’19) membawa tuah kepada Zuhairi Zulkifli, 26, selepas memenangi hadiah utama cabutan bertuah iaitu sebuah motosikal berkuasa besar jenis scrambler dan topi keledar ‘custom made’.

Ahli kelab motosikal Kadir Retro itu berkata, kemenangan terbabit adalah hadiah paling bermakna buat dirinya dan amat bersyukur atas cabutan bertuah dimenanginya.

“ini adalah kemenangan kali pertama dan saya tidak menjangka akan memenangi hadiah utama cabutan bertuah.

“Datang dengan sebuah motosikal tetapi dengan kemenangan ini saya membawa pulang dua motosikal dan topi keledar,” katanya sambil ketawa.

Pada masa sama, beliau menyifatkan kemenangan itu adalah rezeki yang tidak diduga sejak berkecimpung dalam dunia permotoran.

“Saya bersyukur pada Allah kerana di antara ribuan pengunjung hadir dan saya yang terpilih,” katanya.

Zuhairi yang berasal dari Klang sudah menyertai hampir lima kali dalam acara RGG dan beliau menyatakan Majlis Daerah Kuala Langat sudah membuat acara terbaik serta tersusun pada kali ini berbanding tahun sebelumnya.

Terdahulu, acara RGG’19 mendapat sambutan hangat dalam kalangan pengunjung dari seluruh pelusuk negara termasuk negara luar seperti Thailand, Jepun, Brunei, Singapura dan United Kingdom.

Categories
SELANGOR

Jelajah Semenanjung Malaysia promosi tema Gila-Gila Remaja RGG19

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PORT DICKSON, 25 MAC: Gila-Gila Remaja yang pernah menyinari industri filem tempatan sekitar 1985 kembali diangkat sebagai tema penganjuran Jelajah Semenanjung Malaysia anjuran Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), bermula hari ini hingga 29 Mac ini.

Siri pertama jelajah edisi 2019 itu adalah inisiatif pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit bagi mempromosikan ‘Retromania Grand Gathering 2019’ (RGG19) yang bakal berlangsung secara besar-besaran, pada 13 dan 14 April ini di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat.

Yang Dipertuanya, Mohd Zain A Hamid berkata, jelajah kali ini menghimpunkan seramai 30 penunggang motosikal berkuasa tinggi daripada pelbagai model.

“Ini adalah program baharu di samping kita turut menghimpunkan motosikal retro atau klasik yang lebih spesifik kepada motosikal berkuasa tinggi digunakan dalam filem berkenaan.

“Kita akan menjelajah ke seluruh pelusuk negeri di Semenanjung bagi menyerahkan bahan promosi RGG2019, sekali gus menarik lebih ramai pengunjung ke program dianjurkan MDKL.

“Pada masa sama, kita berharap semua pemilik dan peminat motosikal retro dapat hadir bagi menjayakan acara terbesar itu nanti,” katanya yang turut menyertai konvoi dalam menlengkapkan misi jelajah lima hari itu.

Pelepasan peserta konvoi itu disempurnakan Timbalan Yang Dipertua MDKL, Mohd Yasin Alwi di perkarangan Dewan Jugra, Banting, pada kira-kira jam 8.30 pagi.

Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Negeri Sembilan menjadi destinasi pertama bagi penyerahan bahan kempen RGG19.

Bahan kempen berbentuk sijil dan banner itu diserahkan kepada Setiausaha MPPD, Azmi Abdul Manap.

Sementara itu, Azmi ketika ditemui berkata, pihaknya komited dalam membantu mempergiatkan promosi terhadap kempen promosi RGG19 yang bakal mencatat sejarah baharu buat MDKL.

Mengakui kerjasama erat antara PBT amat penting dalam menjayakan sesuatu acara, Azmi berkata, PBT memainkan peranan penting dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat melalui perkongsian pandangan dan pendapat.

“Terima kasih kepada MDKL kerana sudi mengadakan rombongan ke sini dan saya optimis program ini amat bermakna kerana MPPD turut dipilih untuk membantu promosi acara ini.

“Begitu juga MDKL akan bersama MPPD untuk mempromosikan program yang dianjurkan di Port Dickson pada masa akan datang,” katanya.

Selain Negeri Sembilan, RGG19 akan diteruskan promosi ke Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Perak, Kedah dan Pulau Pinang.