Categories
PBT SELANGOR

MDKL bawa enam kes ke mahkamah

SHAH ALAM, 26 JUL: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) membawa enam kes untuk tindakan undang-undang susulan kegagalan mengikut peraturan dan garis panduan pembinaan bangunan serta tidak mematuhi undang-undang jalan raya.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, pihaknya kesal apabila masih terdapat mereka yang tidak bertanggungjawab mengabaikan aspek keselamatan membina bangunan tanpa kebenaran MDKL demi meraih keuntungan.

“Enam kes telah dibawa ke mahkamah Telok Datok untuk dibicarakan. Dua daripadanya difailkan dapat dibicarakan manakala baki empat kes tidak dapat dibicarakan kerana mereka tidak menghadiri hari perbicaraan.

“Selain itu, satu kes membabitkan undang-undang jalan raya juga telah didakwa di mahkamah baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan.

Bagi kes pertama, Lay Chee Chuan telah didakwa di mahkamah di bawah kesalahan Undang-Undang Kecil 3(1) (a), Undang-Undang Kecil Penternakan Burung Walit dan dijatuhi denda sebanyak RM900.00.

Manakala kes kedua pula, Majita Elanovan didakwa di atas kesalahan Perenggan 51(1) Perintah Pengangkutan Jalan dijatuhi denda sebanyak RM100 oleh mahkamah.

Bagaimanapun, beliau tidak hadir kerana masalah kesihatan dan diwakili bapanya.

Mohamad Zain berkata, beberapa individu lain yang melakukan kesalahan telah hadir ke Pejabat Undang-Undang MDKL untuk menjelaskan denda masing-masing.

“Toh Tuan Chai yang tidak hadir ke mahkamah baru-baru ini telah hadir ke Pejabat Undang-Undang MDKL menjelaskan denda beserta tunggakan kompaun berjumlah RM1,700.

“Beliau telah melakukan kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil 3 (1) (a), Undang-Undang Kecil Penternakan Burung Walit dan telah membayar denda RM900 beserta tunggakan kompaun RM800.

“Selain itu, mereka yang didapati telah melakukan kesalahan juga telah menghadirkan diri ke Pejabat Undang-Undang MDKL serta telah menjelaskan bayaran denda dikenakan di atas kesalahan dilakukan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, MDKL bersama Pejabat Daerah Tanah (PDT) Kuala Langat dan Polis DiRaja telah menyerbu sebuah kawasan yang dibangunkan tanpa kebenaran di Bukit Jugra.

Operasi bersepadu yang turut melibatkan Jabatan Perancangan Pembangunan, Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Kejuruteraan dan Jabatan Penguatkuasa MDKL menyaksikan Jabatan Perancangan Pembangunan mengambil tindakan di bawah Seksyen 18(1) Akta 172 dengan sabitan di bawah Seksyen 26(1) Akta 172.

“Tindakan turut diambil di bawah Seksyen 94, Permohonan Perintah Ex Parte iaitu permohonan perintah mahkamah tanpa sabitan dan Seksyen 70(13) (c) Akta 133 untuk binaan. MDKL kini sedang dalam siasatan dan akan terus menjalankan pendakwaan di mahkamah,” katanya.

Categories
SELANGOR

Kerajaan sambut baik pelabur asing ke Kuala Langat

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

KUALA LANGAT, 19 APR: Kerajaan menyambut baik kemasukan lebih banyak pelabur asing ke Kuala Langat bagi mengukuhkan ekonomi dan kestabilan politik di negara ini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, ia berikutan Kuala Langat adalah kawasan strategik yang menjadi tarikan pelabur asing kerana berdekatan dengan Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Selatan.

Katanya, menerusi pelaburan itu ia mampu menambah peluang pekerjaan khususnya kepada penduduk tempatan.

“Oleh itu, sektor industri kilang sudah pasti akan mencapai kecemerlangan ekonomi negara dalam jangka masa panjang.

“Justeru, industri kilang baharu perlu mengikut standard operasi prosedur yang ketat, penjagaan alam sekitar dan mengikut syarat ditetapkan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan ke kilang Leoch Accupower Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Sementara itu, Xavier merangkap Ahli Parlimen Kuala Langat berkata, pihak berkuasa perlu meneliti kawasan bersesuaian dan cadangan untuk dijadikan tempat industri.

Katanya, beliau menasihatkan pihak yang ingin memulakan industri kilang perlu mengikut peraturan dan garis panduan ditetapkan agensi kerajaan.

“Saya mohon pihak Majlis Daerah Kuala Langat bekerjasama dengan pejabat tanah untuk memastikan kilang yang bakal dibangunkan mendapat kelulusan daripada mereka sebelum ia dibina.

“Pada masa sama, bagi menangani isu sisa plastik di kawasan ini, saya menyeru kepada pihak berkuasa memberi lebih perhatian dan penguatkuasaan lebih ketat untuk memberhentikan kemasukan bahan berkaitan di negara ini,” katanya.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)

Categories
PBT SELANGOR

11121 nombor bertuah ‘abang’ scrambler

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

BANTING, 14 APR: Retromania Grand Gathering 2019 (RGG’19) membawa tuah kepada Zuhairi Zulkifli, 26, selepas memenangi hadiah utama cabutan bertuah iaitu sebuah motosikal berkuasa besar jenis scrambler dan topi keledar ‘custom made’.

Ahli kelab motosikal Kadir Retro itu berkata, kemenangan terbabit adalah hadiah paling bermakna buat dirinya dan amat bersyukur atas cabutan bertuah dimenanginya.

“ini adalah kemenangan kali pertama dan saya tidak menjangka akan memenangi hadiah utama cabutan bertuah.

“Datang dengan sebuah motosikal tetapi dengan kemenangan ini saya membawa pulang dua motosikal dan topi keledar,” katanya sambil ketawa.

Pada masa sama, beliau menyifatkan kemenangan itu adalah rezeki yang tidak diduga sejak berkecimpung dalam dunia permotoran.

“Saya bersyukur pada Allah kerana di antara ribuan pengunjung hadir dan saya yang terpilih,” katanya.

Zuhairi yang berasal dari Klang sudah menyertai hampir lima kali dalam acara RGG dan beliau menyatakan Majlis Daerah Kuala Langat sudah membuat acara terbaik serta tersusun pada kali ini berbanding tahun sebelumnya.

Terdahulu, acara RGG’19 mendapat sambutan hangat dalam kalangan pengunjung dari seluruh pelusuk negara termasuk negara luar seperti Thailand, Jepun, Brunei, Singapura dan United Kingdom.

Categories
PBT SELANGOR

Aksi Faizal gamatkan Retromania Grand Gathering

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

BANTING, 14 APR: Pembukaan pentas Retromania Grand Gathrering 2019 (RGG’19) penuh gamat dengan aksi gimik pelakon terkenal, Faizal Hussien yang membawa watak Azroy ketika memasuki perkarangan pentas.

Turut hadir, pelakon lain dalam filem Gila-Gila Remaja seperti Farouk (Kamarool Yusoff), Kuzi dan Ravi menceriakan lagi suasana karnival berkenaan dengan melakonkan beberapa babak dalam filem tersebut.

Lagu berjudul Memburu Impian nyanyian Kaza yang didendangkan Faizal bersama barisan artis dalam lakonan berkenaan disertai ribuan pengunjung sambil turut menyanyikan lagu berkenaan.

Faizal berkata, ini adalah satu kepuasan padanya dan acara itu menarik kerana menghimpunkan banyak motosikal retro yang diketahui sukar mencari alat gantinya serta keterujaan dilahirkan peserta harus dihargai.

“Saya amat terkejut kerana banyak golongan muda mengumpulkan motosikal retro.

“Acara kali ini memang paling hebat dalam semua acara saya hadir dan ini adalah himpunan motorsikal retro terbesar di Malaysia,” katanya.

Faizal menyifatkan RGG’19 satu pencapaian menakjubkan kerana ia bukan mudah untuk mengumpulkan motosikal berkuasa tinggi jenis scrambler pada zaman 70’an sehingga kini.

Terdahulu, RGG’19 telah memecahkan rekod buat kali ketiga Malaysia Book of Record (MBOR) dengan mengumpulkan sebanyak 343 motosikal berkuasa besar jenis scrambler.

RGG dianjurkan Majlis Daerah Kuala Langat sejak 2014 dan progran tahun ini disempurnakan perasmiannya oleh EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Dato’ Seri Abdul Rashid Asari.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

Categories
SELANGOR

MDKL komited kembalikan kegemilangan Pesta Morib

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 2 APR: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) berusaha menghidupkan kembali Pesta Morib demi mengembalikan kegemilangan pesta yang sinonim dalam kalangan pengunjung.

Yang Dipertuanya, Mohd Zain A Hamid berkata, inisiatif itu selaras dengan hasrat menjadikan daerah itu sebagai Tahun Melawat Kuala Langat menjelang 2021.

Katanya, impak penganjuran pesta berkenaan akan dinilai selepas acara terbabit diadakan bermula September tahun ini selama empat hari.

“Kalau berjaya dan mendapat sambutan ramai, kita bercadang menjadikannya sebagai acara tahunan kerana kita memerlukan masa yang panjang untuk membuat persiapan ke arah itu.

“Kita merasakan ini antara inisiatif Pesta Morib perlu diaktifkan kembali memandangkan suatu ketika dahulu ramai orang hanya mengenali Morib sahaja,” katanya kepada SelangorKini.

Sebagai langkah menarik lebih ramai pengunjung, Mohd Zain berkata, pihaknya sudah merancang beberapa program menarik bagi menghangatkan kemeriahan pesta itu nanti.

“Kita akan menyajikan beberapa acara misalnya Morib Fun Run, pertunjukan wau, pertandingan gusti lengan, Battle of The Band dan pelbagai lagi.

“Ada lagi perancangan program akan disusun bukan hanya diadakan di Pantai Morib, tetapi akan menggunakan seluruh pantai di daerah Kuala Langat seperti Pantai Cunang dan Kelanang.

“Kita mahu pecahkan supaya program ini memberi impak, namun masih mengekalkan penggunaan Pesta Morib,” katanya.

Categories
SELANGOR

Skuad PANTAS dan bomba bergabung bersih banjir lumpur

OLEH AFIX REDZUAN

JENJAROM, 3 OKT: Skuad Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) Majlis Daerah Kuala Langat bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat bekerjasama membersihkan jalanraya kesan banjir lumpur di Bandar Saujana Putra, semalam.

Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat awam dan segera menggerakkan anggota Skuad PANTAS ke Jalan SP 9/32, Bandar Saujana Putra.

“Setelah banjir surut, jalanraya dipenuhi lumpur akibat daripada hujan lebat yang berterusan selain daripada runtuhan dinding penahan lereng berdekatan taman perumahan.

“Runtuhan tersebut juga menyebabkan air hujan mengalir memasuki kawasan taman perumahan dengan membawa sekali lumpur kesan daripada tanah lereng bukit,” katanya dalam kenyataan.

Operasi bermula sekitar jam 10.00 malam dan berakhir enam jam kemudian itu membabitkan kekuatan tujuh anggota PANTAS dengan dua pacuan empat roda (4×4), sebuah kenderaan pelbagai guna dan sebuah jentolak digunakan dalam operasi tersebut.

Selain itu, bagi memastikan operasi berjalan dengan lancar, operasi turut dibantu tujuh anggota Balai Bomba Telok Panglima Garang serta lima kakitangan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Kesihatan Persekitaran (JPSPKP) MDKL bergabung membersihkan jalan tersebut.

“Di peringkat awal, PANTAS dan JPSPKP menjalankan kerja-kerja membuang lumpur dibantu sebuah jentolak MDKL.

“Setelah selesai, anggota-anggota Bomba pula melakukan penyiraman ke atas jalanraya bagi memastikan jalan tersebut bebas daripada lumpur yang boleh membahayakan pengguna jalanraya di kawasan tersebut,” katanya.

Mohamad Zain berharap agar penduduk di daerah itu sentiasa berhati-hati dalam keadaan cuaca dan hujan lebat yang tidak menentu.

Beliau juga berharap orang awam menyalurkan maklumat segera sekiranya berlaku bencana alam seperti pokok tumbang akibat hujan lebat, angin kencang dan banjir.

Categories
SELANGOR

MDKL harap Ahli Majlis beri khidmat terbaik

OLEH HAFIZAN TAIB

BANTING, 1 OGOS: Setiap Ahli Majlis dilantik diharap dapat menyumbang komitmen bersama Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat seiring misi dan visinya.

Yang Dipertuannya, Mohamad Zain A Hamid berkata, setiap ahli majlis perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan mengenai peranan MDKL bagi meneruskan dasar kerajaan dalam mensejahterakan penduduk.

“Ini kerana Ahli Majlis adalah individu paling hampir dengan rakyat dan pengantara antara MDKL dengan penduduk setempat.

“Setiap daripada mereka perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai dasar, peraturan dan undang-undang MDKL dan ia akan memudahkan urusan apabila ahli majlis bertemu dan mendengar mengenai permasalahan penduduk,” katanya di sini, hari ini.

Majlis pelantikan Ahli Majlis membabitkan 24 individu dengan 12 daripadanya adalah muka baharu manakala satu kekosongan yang tinggal akan diputuskan Kerajaan Negeri selepas ini.

Upacara pelantikan itu dketuai Mohamad Zain dengan lafaz pengakuan menerima jawatan Ahli Majlis diikuti Orang Besar Daerah Kuala Langat, Tengku Dato’ Mohamed Al Haj Tengku Harun.

Tempoh perkhidmatan bagi semua Ahli Majlis MDKL itu berkuat kuasa mulai 1 Julai hingga 31 Disember 2020 nanti.

Di samping itu, Mohamad Zain berkata, MDKL juga mahu setiap ahli majlis mampu menjadi satu pasukan kuat bagi memastikan hasrat menjadikan MDKL bertaraf Majlis Perbandaran dalam masa terdekat.

Katanya, semua jabatan, bahagian dan unit di MDKL turut digerakkan untuk bekerja keras kearah itu.

“Semua perkara ini memerlukan kerjasama jitu daripada setiap warga kerja serta kombinasi muka lama dan baharu ahli majlis agar dapat memperkukuhkan pentadbiran MDKL.

“Ia seterusnya merealisasikan hasrat menjadikan Kuala Langat sebuah perbandaran maju, dinamik, lestari dan terbilang,” katanya.

Categories
SELANGOR

Ahli Majlis Dinilai melalui Laporan Prestasi Ahli Majlis

SHAH ALAM 23 NOV : Setiap ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri Selangor akan dinilai melalui Laporan Prestasi Ahli Majlis yang turut merangkumi prestasi pengurusan perbelanjaan yang diperuntukkan kepada mereka,  kata, Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu.

Ronnie menjawab soalan lisan  Adun Paya Jaras, Datuk Muhammad Bushro Mat Johor berkenaan bagaimana Ahli-Ahli Majlis ini dinilai.

“Memang terdapat ahli majlis yang menunjukkan prestasi kurang memuaskan, tidak baik dan sebagainya.

“Mereka yang tidak kompeten ini akan diberi amaran dan jika masih tidak menepati kriteria kita, maka mereka akan diganti dengan orang baru,” jelas beliau.

Ronnie berkata, seseorang Ahli Majlis perlu berkebolehan dalam merancang penggunaan peruntukan yang diterima untuk tujuan sosial, program-program pembangunan dan kerja-kerja pembaikan kecil.

“Mereka juga perlu bijak menganggarkan jumlah perbelanjaan bulanan dan tidak menggunakan peruntukan di saat-saat akhir,” tegasnya.

Bagaimanapun, penilaian prestasi ahli majlis adalah berbeza berdasarkan sistem yang ditentukan setiap PBT.

Sebagai contoh, beliau memberitahu Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menilai ahli majlis berdasarkan kriteria pengurusan program kemasyarakatan, pengurusan kewangan JKP dan pengurusan kerja-kerja segera.

Manakala bagi Majlis Daerah Kuala Langat pula dinilai berdasarkan kehadiran atau penglibatan orang ramai ke program yang dianjurkan.

Categories
SELANGOR

LZS Didik Asnaf Cintakan Alam Sekitar

BANTING, 5 NOV : Bagi memupuk semangat cintakan alam sekitar di kalangan generasi muda, seramai 60 pelajar asnaf yang mendiami asrama pendidikan Baitul Hasanah, Lembaga Zakat Selangor (LZS) dipilih untuk menyertai program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berteraskan alam sekitar di Pantai Kelanang, di sini hari ini.

Program perkhemahan yang berlangsung selama dua hari dengan bertemakan ‘Kami Prihatin, Hijau Untuk Semua’ itu mendedahkan para pelajar mengenai isu-isu alam sekitar, khususnya kesedaran mengenai penjagaan alam sekitar.

Bagi tujuan itu, sebanyak 200 anak pokok bakau disumbangkan LZS untuk ditanam di Pantai Kelanang bagi menggalakkan aktiviti pemuliharaan ekosistem hutan bakau.

Program itu mendapat kerjasama daripada Yayasan Anak Warisan Alam (Yawa), Majlis Daerah Kuala Langat, Jabatan Perhutanan, MASKargo dan Ali Bikers All Riders (ABAR).

Antara aktiviti lain yang dianjurkan termasuk program gotong-royong mengecat serta pembersihan Surau Hajjah Fatimah, Kampung Kelanang.

Selain itu, pihak LZS turut menyampaikan sumbangan peralatan ibadah bagi memenuhi keperluan kariah surau berkenaan.

Majlis perasmian penutup disempurnakan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa dan dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.

Categories
SELANGOR

Vandalisme Papan Iklan Di Kuala Langat Terkawal

KUALA LANGAT 10 OGOS : Masalah vandalisme papan iklan di sekitar daerah Kuala Langat masih terkawal selepas Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) menjalankan beberapa program kesedaran berhubung kesalahan itu.

Pemangku Yang Dipertua MDKL, Muhammad Hafiz Shaari berkata MDKL kini sentiasa memantau dan menjalankan program kesedaran itu supaya mengingatkan orang ramai agar menjaga harta benda awam.

Bagaimanapun, katanya, masih terdapat gejala vandalisme yang membabitkan papan iklan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat.

“Gambar mereka masih lagi diconteng oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kejadian seperti ini sudah beberapa kali sepanjang tahun ini,” katanya ketika dihubungi.

Hafiz menambah, perilaku vandalisme itu merugikan harta benda awam serta mencacatkan persekitaran.

“Mereka harus faham, penukaran papan tanda ini akan menelan kos yang banyak dan ini akan merugikan Kerajaan Negeri dan MDKL,” katanya.

Sebelum ini, beberapa gambar pemimpin Pakatan termasuk Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dipaparkan pada papan iklan telah disimbah cat dan diconteng oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Tinjauan Selangorkini mendapati rata-rata papan iklan yang diconteng digantikan dengan papan iklan baru manakala papan iklan yang sedia ada kebanyakkannya masih berada dalam keadaan yang baik.