Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

RiDE bantu dapat lesen, cipta peluang kerja

SHAH ALAM, 21 JULAI: Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) bukan hanya membantu peserta mendapat lesen, malah membuka peluang pekerjaan dengan kerjasama syarikat e-panggilan.

Menyasar 3,000 belia miskin bandar, Dato’ Menteri Besar berkata setiap peserta diberi latihan khusus melalui peruntukan RM2 juta oleh Kerajaan Negeri.

“Sebanyak RM1.5 juta diperuntuk bagi pengambilan lesen dengan subsidi RM350 hingga RM380 seorang manakala baki untuk sesi latihan.

“Khidmat e-panggilan menjadi aliran ketika Perintah Kawalan Pergerakan dan kita percaya usaha ini membantu mereka ke arah itu,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media selepas merasmikan program RiDE di Foyer Bangunan SUK hari ini.

Beliau berkata permohonan dibuka mulai 1 Ogos ini dan berharap program tersebut meluaskan sektor ekonomi sampingan sekali gus menyediakan lebih banyak peluang kerja.

Program RiDE menerima peruntukan awal RM1 juta dalam Belanjawan 2020 dan ditambah kepada RM2 juta melalui pakej rangsangan pemulihan ekonomi fasa ketiga pada 13 Julai lalu.

 

Categories
SELANGOR

Peruntukan RiDE ditambah, keseluruhan RM2 juta

SHAH ALAM, 13 JULAI: Peruntukan inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) ditambah RM1 juta lagi menjadikan jumlah keseluruhan RM2 juta.

Dato’ Menteri Besar berkata ia memberi manfaat kepada 3,000 penerima berumur 17 hingga 30 tahun di Selangor bagi subsidi lesen memandu percuma B2.

“Menyedari penglibatan generasi muda yang tinggi, Kerajaan Negeri menambah peruntukan RM1 juta lagi bagi program RiDE menjadi RM2 juta,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan pakej rangsangan ekonomi fasa ketiga di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Pelan pemulihan itu menekankan tiga tonggak utama iaitu jaminan bekalan makanan, kemampanan ekonomi dan pembangunan keupayaan bagi menangani dampak Covid-19.

Jumlah keseluruhan nilai ekonomi bagi pakej tersebut ialah RM55.85 bilion.

Pendaftaran program RiDE dijadual buka pada 1 Ogos 2020.

Belanjawan Selangor 2020 memperuntukkan RM1 juta bagi inisiatif tersebut yang memberi manfaat kepada 3,000 belia miskin bandar mencari pekerjaan melalui aplikasi penghantaran.

Categories
EXCO SELANGOR

2,500 penerima RiDE jalani kursus mulai April

SHAH ALAM, 12 MAC: Seramai 2,500 penerima inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) akan menjalani kursus secara berperingkat dengan syarikat e-panggilan April ini, kata EXCO pembangunan generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata Majlis Sukan Negeri sedang menjalankan proses pemilihan bagi memastikan subsidi RM350 untuk mengambil lesen motosikal diterima golongan sasar.

“Keutamaan akan diberikan kepada golongan muda yang baru habis belajar atau mereka yang ingin melakukan kerja sampingan untuk menambah pendapatan.

“Penerima akan menjalani kursus sehari dengan beberapa syarikat e-panggilan yang bersetuju untuk bekerjasama,” katanya kepada SelangorKini di sini hari ini.

Belanjawan Selangor 2020 memperuntuk RM1 juta bagi inisiatif tersebut yang memberi manfaat kepada 3,000 belia miskin bandar mencari pekerjaan melalui aplikasi penghantaran.

Categories
EXCO SELANGOR

Permohonan subsidi lesen motosikal mulai 1 Mac

SHAH ALAM: Tempoh permohonan subsidi RM350 untuk mengambil lesen motosikal kepada golongan belia akan dibuka mulai 1 Mac ini, kata EXCO pembangunan generasi muda dan sukan.

Mohd Khairuddin Othman berkata, borang permohonan akan diedarkan ke setiap pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala pemilihan akan dibuat Bahagian Pembangunan Generasi Muda Majlis Sukan Negeri Selangor.

“Selain itu kita juga merancang adakan beberapa program untuk dapatkan peserta bagi program ini. Kita sedang atur kawasan mana program akan diadakan.

“Keutamaan akan diberikan kepada anak muda dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan atau miskin bandar,” katanya kepada SelangorKini.

Belanjawan Selangor 2020 memperuntukkan RM1 juta bagi Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE). Ia dijangka memberi manfaat kepada hampir 3,000 anak muda terutama golongan miskin bandar.