Categories
NASIONAL SELANGOR

Tempoh Seminggu Untuk Chua Soi Lek Minta Maaf

 

KUALA LUMPUR, 24 OKT – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memberikan tempoh seminggu kepada Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan penghinaan terhadap hudud.

Desakan ini dinyatakan oleh Setiausaha DPMM, Khairul Faizi Ahmad Kamil ketika menyampaikan memorandum bantahan tersebut di Wisma MCA di sini hari ini.

Tegasnya, sekiranya Soi Lek gagal berbuat demikian, DPPM akan menggerakan satu himpunan besar ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang Di Pertuan Agong.

Jelasnya, kenyataan biadap ini hanya untuk menarik kembali sokongan kaum Cina kepada MCA-BN yang semakin goyah dengan kebangkitan rakyat.

“Kenyataan Chua Soi Lek serta pemimpin MCA yang lain sebagai keterlaluan dan melampau.

“Perkara ini menyentuh sensitiviti umat Islam dan tidak boleh diterima sama sekali dan mengundang kemarahan seluruh umat Islam di negara ini,” katanya.

Memorandum bantahan ini diserahkan oleh Khairul Faizi sambil diiringi oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS, Ustaz Idris Ahmad dan Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin kepada Pegawai Pemuda MCA, Leonnard Tan Soon Huat pada jam 3.15 petang.

Hadir sama, NGO Jingga 13 yang turut menyerahkan memorandum berasingan melalui setiausahanya Dk Vicky dengan desakan sama seperti yang dikemukakan DPPM.

Hampir 150 orang penyokong hadir berkumpul di luar perkarangan Wisma MCA, Jalan Ampang sambil melaungkan Takbir dan membawa sepanduk ‘Soi Lek Wajib Minta Maaf’ dan ‘Jangan Hina Islam’.

Shamsul dalam ucapan ringkas menyatakan, kebiadapan Soi Lek ini ‘diwarisi’ dari Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

“Perkara ini (penghinaan hudud) sudah lama berada di dalam Umno.

“Mahathir semasa menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri menyatakan perkara mengenai janggut. Tiada pisau cukur Gillette. Sekarang giliran Chua Soi Lek,” tegasnya.

Datuk Seri Chua Soi Lek pada 18 Oktober mendakwa hudud akan menjejaskan mata pencarian seramai 1.2 juta rakyat Malaysia.

Seterusnya, beliau membawa isu berkenaan ke perhimpunan agung MCA pada Ahad lalu dengan dakwaan bahawa, lapan daripada 11 negara yang melaksanakan hudud dianggap sebagai antara negara paling korup, tidak stabil dan tidak selamat.

Hadir sama membantah pada petang ini ialah artis wanita popular Abby Abadi, Adam Ahmad, Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad dan Ketua Penerangan Pemuda PAS, Ridhuan Mohd Nor.

Categories
NASIONAL

PAS Dakwa ‘Orang Najib’ Terlibat Sindiket Daftar Warga Asing

SHAH ALAM, 4 APRIL : PAS hari ini mendedahkan terdapat ‘pasukan khas’ dalam pengambilan rakyat asing untuk menjadi pengundi.

Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar mendakwa beliau mempunyai bukti untuk menunjukkan bahawa kerajaan menubuhkan pasukan petugas yang bertanggungjawab memberi taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya umum akan datang.

Kenyataan itu dipetik oleh organ rasmi PAS, Harakahdaily menamakan seorang pembantu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pegawai-pegawai kanan Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Nama-nama mereka tidak disiarkan sementara menunggu pengesahan.

Beliau berkata kerajaan Umno-BN tidak boleh berdepan dengan politik terdesak. Oleh itu membawa warga asing untuk mengundi Umno-BN.

Sehubungan itu, Mahfuz mendesak kerajaan membentuk Suruhanjaya Diraja bagi menjawab segala dakwaan yang timbul supaya boleh memanggil mereka yang terlibat.

Bagaimanapun, Mahfuz enggan mendedahkan bagaimana beliau mendapat maklumat tersebut.

“Ini adalah maklumat yang diperolehi dari dalam,” jawab Mahfuz.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Ridhuan Mohd Nor berkata dakwaan itu amat serius kerana melibatkan integriti serta kedaulatan negara.

Tahun lepas, aktivis PAS telah mengesan bas yang membawa warga asing di sebuah resort di Sungai Merab, yang dikatakan sebahagian penipuan MyKad.

Bagaimanapun, polis mendakwa bahawa warga asing berada di sana untuk kursus keusahawanan.