Categories
AGENDA NASIONAL

Bimbang koronavirus 2019, ringgit diramal rendah minggu depan

KUALA LUMPUR, 1 FEB: Ringgit dijangka menguji paras psikologi 4.10 minggu depan, dengan momentum aliran yang rendah memandangkan koronavirus 2019 terus menjadi kebimbangan global.

Penganalisis Pasaran FXTM, Han Tan berkata sepanjang minggu yang singkat ini susulan cuti umum sempena Tahun Baharu Cina, pelabur terpaksa berdepan dengan laporan mengenai penularan wabak koronavirus, sekali gus mencetuskan sentimen risiko.

“Memandangkan penghindaran risiko meluputkan peningkatan ringgit setakat ini bagi 2019 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), pelabur akan memerlukan petunjuk jelas yang mengatakan penularan wabak itu akan stabil sebelum aset risiko boleh mencatatkan peningkatan semula,” katanya kepada Bernama.

Nilai ringgit susut 1.93 peratus dalam tempoh tiga bulan lepas disebabkan beberapa kebimbangan global, termasuk ketegangan perdagangan AS-China, ketegangan geopolitik AS-Iran, yang terbaru wabak koronavirus 2019.

Tan berkata perlu dibimbangi wabak itu memberi ancaman pengurangan aktiviti pembuatan global yang berpanjangan disebabkan permintaan dijangka merosot, yang boleh mempengaruhi prospek 2020 bagi ekonomi seluruh dunia.

Pada Jumaat pagi, Pertubuhan Kesihatan Dunia mengisytiharkan kecemasan kesihatan awam berikutan kebimbangan dunia terhadap virus tersebut, dengan pasaran menyaksikan saham global mengambil petunjuk daripadanya.

Bagi minggu akan datang, Tan berkata selagi penghindaran risiko masih wujud, ia mungkin mendorong ringgit kekal berada pada atas paras 4.10 berbanding dolar AS.

“Bagaimanapun, kelemahan ringgit boleh dikurangkan sekiranya terdapat kejutan positif dalam data ekonomi domestik minggu depan, termasuk data perdagangan luaran dan angka pengeluaran perindustrian Disember.

“Sekiranya sentimen enggan mengambil risiko kian luput, sokongan segera ringgit berbanding dolar AS sewajarnya ke arah sekitar 4.05,” katanya.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan lemah berbanding dolar Singapura kepada 2.9988/3.0032 daripada 2.9954/9980 minggu lepas dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.7581/7628 daripada 3.7323/7345.

Ringgit susut berbanding euro kepada 4.5167/5227 berbanding 4.4791/2821 pada Jumaat minggu lepas dan turun berbanding pound British kepada 5.3723/3792 daripada 5.3221/3263.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ringgit dibuka rendah

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Ringgit rendah berbanding dolar US semasa urus niaga dibuka hari ini berikutan kurang permintaan terhadap mata wang tempatan dalam sentimen pasaran berhati-hati, kata seorang peniaga.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan disebut harga pada 4.1920/1950 berbanding dolar US daripada 4.1890/1920 semasa ditutup pada Selasa.

Peniaga itu berkata, berita terkini mengenai Brexit telah meningkatkan minat terhadap dolar berikutan keyakinan semakin pudar terhadap perjanjian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang telah mendorong pelabur untuk membeli dolar US.

“Kami menjangkakan permintaan pelabur terhadap dolar US akan meningkat berikutan keputusan Presiden AS Donald Trump untuk menangguhkan kenaikan harga tarif akan datang terhadap import dari China, dengan itu akan menyebabkan ringgit lebih rendah dalam jangka pendek,” katanya.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0547/0589 daripada 3.0559/0585 dan naik berbanding yen kepada 3.8568/8607 daripada 3.8680/8714.

Bagaimanapun, mata wang tempatan menyusut berbanding pound Britain kepada 5.3427/3474 daripada 5.2962/2020 dan turun berbanding euro kepada 4.6229/6271 daripada 4.6129/6175.

-BERNAMA

Categories
Ringgit

Ringgit terus catat aliran rendah pada pembukaan

KUALA LUMPUR, 5 OGOS : Ringgit terus mencatatkan aliran rendah pada sesi pembukaan pada Isnin sejak minggu lepas dengan pelabur menjangka dagangan pertukaran asing berhati-hati berikutan kebimbangan mengenai perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang meningkat.

Pada 9.05 pagi, ringgit berada pada 4.1560/1590 daripada 4.1550/1600 semasa ditutup pada Jumaat.

Rakan Pengurusan VM Markets Pte Ltd Stephen Innes berkata kebimbangan mengenai perang perdagangan akan dapat dilihat melalui harga pasaran mata wang minggu ini.

“Risiko perang perdagangan dijangka menyebabkan prestasi renminbi lemah dan seterusnya boleh menyebabkan ringgit rendah,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau yakin kerajaan China akan mengambil langkah untuk melindungi mata wang, dan mengehadkan penurunan ringgit pada awal minggu ini.

“Antara perkara penting bagi Malaysia ialah, sejauh mana tekanan perang perdagangan yang meningkat ke atas harga minyak? dan saya fikir peniaga akan mengambil langkah yang amat berhati-hati minggu ini,” katanya.

Secara keseluruhannya, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0182/0214 daripada 3.0168/0215 pada Jumaat dan rendah berbanding yen kepada 3.9071/9103 daripada 3.8864/8922.

Berbanding pound, unit tempatan berkurangan kepada 5.0579/0632 daripada 5.0379/0457 dan turun berbanding euro kepada 4.6223.6273 daripada 4.6104/6176 pada Jumaat lepas.

-BERNAMA