Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit terus ditutup rendah 4.3480/3530 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Ringgit meneruskan penurunan berbanding dolar AS, mencecah paras terendahnya sejak Mei 2017 apabila harga minyak terus jatuh dan penularan Covid-19 terus menjejaskan pasaran global.

Pada 6 petang, mata wang tempatan susut ke paras 4.3480/3530 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.3030/3080 pada Isnin.

Seorang penganalisis berkata ringgit dijangka meneruskan penurunannya kerana Malaysia menerima kesan langsung daripada pandemik Covid-19 yang semakin memburuk.

“Pasaran minyak turut menerima kesan apabila penanda aras minyak mentah Brent mencecah paras di bawah US$35 setong, menyebabkan impak ekonomi yang besar ke atas negara-negara yang bergantung kepada hasil minyak seperti Malaysia,” katanya.

Setakat 6 petang, minyak mentah Brent turun 11.37 peratus semalaman kepada US$31.41 setong.

Beliau berkata negara-negara di seluruh dunia telah mengambil pelbagai langkah untuk mengurangkan kesan ekonomi akibat daripada Covid-19, yang dijangkakan lebih buruk daripada Krisis Kewangan 1997, termasuk mengumumkan rangsangan ekonomi dan pakej bantuan untuk rakyat serta perniagaan.

Rizab Persekutuan AS pada Ahad dilaporkan mengumumkan pengurangan kadar faedah kecemasan 100 mata asas kepada antara sifar dan 0.25 peratus bagi mengurangkan impak ke atas ekonomi Amerika Syarikat.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit didagangkan lebih rendah.

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0482/0528 daripada paras penutup 3.0260/0312 pada Isnin dan merosot berbanding yen Jepun kepada 4.0792/0850 daripada 4.0613/0672.

Ringgit berkurangan berbanding pound British kepada 5.2911/1985 daripada 5.2711/2876 dan jatuh berbanding euro kepada 4.8228/8297 daripada 4.8155/8228.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit dibuka 4.0800/0840 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Ringgit dibuka rendah hari ini berikutan kebimbangan mengenai penularan wabak koronavirus menyebabkan pelabur mengelak daripada aset yang mempunyai risiko termasuk ringgit, kata peniaga.

Pada jam 9.20 pagi, ringgit berada pada 4.0800/0840 berbanding dolar AS daripada 4.0590/0650 pada Jumaat.

Katanya pelabur cenderung kepada mata wang selamat tradisional seperti yen Jepun dan franc Switzerland.

Ringgit turut diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Mata wang tempatan susut kepada 3.0049/0189 berbanding dolar Singapura daripada 3.0024/0080 pada Jumaat dan merosot berbanding yen Jepun kepada 3.7448/7495 daripada 3.7038/7103 minggu lepas.

Mata wang tempatan rendah berbanding euro kepada 4.4966/5026 daripada 4.4787/4869 pada Jumaat dan susut berbanding pound Britain kepada 5.3301/3357 daripada 5.3140/3235 sebelum ini.

-BERNAMA