Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi, saham sarung tangan naik semula

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini sekali gus meneruskan kenaikan bagi hari keempat berturut-turut apabila pembuat sarung tangan utama, termasuk Top Glove, mencatat peningkatan semula manakala Hartalega terus didagangkan dengan lebih kukuh.

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.16 mata kepada 1,534.44 daripada 1,531.28 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks itu dibuka 9.86 mata lebih tinggi pada 1,541.14.

Keseluruhan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 343 berbanding 121, sementara 283 kaunter tidak berubah, 1,307 kaunter tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 567.07 juta saham bernilai RM317.6 juta.

Malacca Securities berkata laporan prestasi kewangan Top Glove dijangka dapat memberikan petunjuk baharu untuk kenaikan seterusnya.

Pengilang sarung tangan getah terbesar dunia itu dijadualkan mengumumkan prestasi kewangan tahun kewangan 2020 hari ini.

“Kami juga cenderung kepada sektor perladangan dengan harga minyak sawit mentah naik melebihi RM2,900 satu tan, sementara itu sektor pembinaan akan kekal dalam fasa pemulihan,” menurutnya dalam nota penyelidikan.

Selain itu, kenaikan ketara harga minyak mentah susulan penyusutan paras inventori Amerika Syarikat yang tidak dijangkakan serta penutupan sementara pengeluaran luar pesisir AS ekoran Taufan Sally mungkin mendorong minat dagangan terhadap sektor tenaga.

Firma pembrokeran itu juga menjangkakan sentimen positif kekal dalam jangka terdekat memandangkan pelabur kembali memburu saham yang mengalami penyusutan harga namun mengingatkan bahawa kenaikan besar mungkin tidak menentu.

“Momentum positif terus didorong oleh data ekonomi di seluruh dunia yang lebih kukuh berbanding jangkaan,” menurutnya.

Sementara itu, pasaran saham Amerika Syarikat ditutup dengan prestasi bercampur-campur setelah merekodkan paras tertinggi harian, dengan Dow Jones naik 0.1 peratus, sementara S&P 500 dan Nasdaq masing-masing merosot 0.5 peratus dan 1.3 peratus susulan kelemahan yang dicatatkan saham teknologi.

Ini berlaku walaupun pengumuman dasar monetari memihak kepada kadar faedah rendah oleh Rizab Persekutuan (Fed) yang menunjukkan bahawa kadar semalaman dapat dikekalkan hampir kepada sifar selama bertahun-tahun untuk mencapai sasaran inflasi sebanyak 2.0 peratus.

Fed juga menyemak turun unjuran pertumbuhan ekonominya pada 2021 dan 2022 masing-masing kepada 4.0 peratus dan 3.0 peratus.

Di pasaran tempatan, saham berwajaran tinggi Hartalega melonjak 82 sen kepada RM14.92, Top Glove naik 22 sen kepada RM8.65, TNB menambah enam sen kepada RM11.06 dan Dialog menokok tiga sen kepada RM3.79.

Kaunter perbankan pula mengalami penurunan, dengan Maybank turun 10 sen kepada RM7.40, Public Bank susut 28 sen kepada RM16.42 dan CIMB kurang satu sen kepada RM3.22.

Saham untung termasuk Kossan, yang meningkat 36 sen kepada RM12.06, Supermax naik 14 sen kepada RM8.51 dan Rubberex menokok 12 sen kepada RM5.46.

Kalangan saham aktif, Ekovest naik lima sen kepada 63 sen, Technodex meningkat tiga sen kepada 19 sen, sementara Bina Puri dan KNM masing-masing menambah satu sen kepada 11 sen dan 22 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 38.66 mata kepada 11,017.86 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 97.89 mata kepada 13,043.28.

FBM 70 menokok 94.90 mata kepada 14,177.79, Indeks FBMT 100 naik 34.83 mata kepada 10,826.67 dan FBM ACE menambah 110.64 mata kepada 11,489.13.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 87.26 mata kepada 12,739.14, Indeks Perladangan meningkat 7.03 mata kepada 7,121.27 serta Indeks Barangan dan Perkhidmatan Industri naik 0.38 mata kepada 137.95.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Ringgit mengekalkan aliran meningkat untuk dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini selepas meraih manfaat daripada dolar AS yang lemah memandangkan lebih ramai pelabur beralih menumpukan kepada mata wang negara pesat membangun, termasuk unit tempatan.

Pada pukul 9.15 pagi, ringgit berada pada 4.2480/2510 berbanding dolar AS daripada 4.2500/2560 ketika ditutup semalam.

Peniaga berkata pelabur menjadi berhati-hati terhadap mata wang negara maju itu menjelang keputusan dasar monetari oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat minggu ini.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0807/0840 daripada 3.0790/0838 ketika ditutup semalam dan turun berbanding yen Jepun kepada 4.0388/0428 daripada 4.0372/0441.

Mata wang tempatan susut berbanding pound Britain kepada 5.4905/4948 daripada 5.4702/4796 semalam namun tinggi berbanding euro kepada 4.9791/9830 daripada 4.9840/9927.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit dibuka tinggi 4.3300/3400 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 30 APRIL: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini selepas didorong kenaikan harga minyak mentah global, di tengah-tengah pengumuman awal pagi oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) bagi mengekalkan kadar faedah tidak berubah.

Pada 9 pagi, unit tempatan meningkat kepada 4.3300/3400 berbanding dolar AS daripada 4.3450/3500 ketika ditutup semalam.

Penanda aras antarabangsa, minyak mentah Brent naik 4.61 peratus kepada US$23.56 setong ketika peniaga tenaga berspekulasi bahawa permintaan minyak mentah akan terus meningkat susulan paras pengeluaran global dikurangkan selepas kapasiti penyimpanan semakin berkurangan.

Penganalisis Kanan Pasaran Oanda, Edward Moya berkata Fed akan mengekalkan kadar faedah tidak berubah sehingga mereka yakin ekonomi AS akan pulih semula.

Beliau berkata Fed juga akan mendapatkan pakar kesihatan dalam menentukan unjuran, oleh itu bank pusat tersebut tidak dapat memberi sebarang ketetapan hari ini.

Dolar AS meneruskan penurunan selepas Fed mengatakan sekiranya sokongan lanjutan diperlukan, bank pusat AS itu akan mempertingkat langkah rangsangan ekonomi, katanya.

“Pelbagai rangsangan oleh Fed bagi menangani pandemik Covid-19 ini berkemungkinan menjadikan dolar AS lebih lemah,” katanya.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, AxiCorp, Stephen Innes berkata lengkungan rata jangkitan Covid-19 di Malaysia, kenaikan harga minyak mentah serta komitmen Jawatankuasa Terbuka Fed yang melaksanakan dasar monetari bagi Fed untuk mengewangkan hutang, merupakan petunjuk baik bagi Malaysia.

“Sentimen risiko global semakin meningkat dan semua faktor ini seharusnya memberi dorongan kepada ringgit,” katanya.

Pada pembukaan, unit tempatan diniagakan tinggi berbanding mata wang utama.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0653/0739 daripada 3.0720/0757 ketika ditutup pada Rabu, dan tinggi berbanding yen kepada 4.0551/0652 daripada 4.0790/0849.

Mata wang tempatan juga meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3870/4003 daripada 5.3948/3023 dan stabil berbanding euro kepada 4.7019/7132 daripada 4.7165/7228 semalam.

-BERNAMA