Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Petronas sumbang RM1.2 trilion sejak 1976 bangunkan negara

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Petroliam Nasional Bhd (Petronas), dalam memenuhi permintaan pihak berkepentingan menyumbang hampir RM1.2 trilion sejak tahun 1976 kepada pembangunan negara, terutama ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata sumbangan itu termasuk kepada kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, kutipan cukai, pembayaran royalti minyak dan kadar pemberian itu mungkin akan meningkat dalam jangka masa panjang.

Syarikat minyak negara ini turut memperuntukkan sebahagian sumbangan kepada Kumpulan Wang Amanah Negara.

Selain daripada sumbangan berbentuk kewangan, Petronas juga menyokong aspirasi dan pembangunan negara menerusi antaranya pemberian biasiswa kepada pelajar yang layak.

“Tidak ramai yang menyedari, bahkan sebelum Covid-19 dan kemudiannya tercetusnya cabaran berikutan pandemik ini, kami tidak pernah menghentikan program biasiswa serta komitmen kami dalam menyokong pertumbuhan koridor utara dan timur negara dengan bekerjasama bersama-sama pihak berkuasa masing-masing untuk melahirkan usahawan.

“Kami terus menyokong dengan memeterai perjanjian bersama Agrobank untuk membantu usahawan tani B40. Kami tidak menghentikannya,” kata beliau kepada Bernama dan Berita Harian dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.

Tengku Muhammad Taufik berkata syarikat minyak negara ini juga komited dengan peruntukan tahunannya sebanyak RM100 juta kepada Yayasan Petronas.

“Walaupun ada kemampuan untuk berbelanja sehingga RM100 juta setahun dengan kelulusan pihak lembaga Petronas, mungkin disebabkan cabaran yang dihadapi tahun lepas, pemberian bantuan tidak mencapai RM100 juta setahun. Kami akan membuat penzahiran khusus dan tidak akan berhenti,” ujar beliau.

Pada awal November, Yayasan Petronas telah mengagihkan peralatan perubatan dan peralatan perlindungan diri (PPE) bernilai RM2.5 juta ke hospital-hospital seluruh Sabah untuk menyokong usaha petugas barisan hadapan perubatan dalam mengurangkan kes Covid-19 di negeri itu.

Selain itu, peralatan perubatan, PPE, pembersih tangan, pembasmi kuman dan pelitup muka serta bekalan makanan bernilai RM5.2 juta telah diedarkan kepada masyarakat dalam operasi domestik dan antarabangsa termasuk Azerbaijan, Brazil, Brunei, Kanada, Gabon, India, Indonesia, Iraq, Mexico, Myanmar, Suriname dan Sudan Selatan setakat 30 Sept, 2020.

Jumlah sumbangan kumpulan ini terhadap usaha dan inisiatif Covid-19 hampir mencecah RM44 juta.

Berikutan cabaran getir yang tercetus daripada pandemik Covid-19, lembaga Petronas turut meluluskan dividen tambahan RM10 bilion kepada pemegang sahamnya pada akhir November 2020, tambahan kepada RM24 bilion, menjadikan jumlah pembayaran dividen kepada RM34 bilion.

Paling penting, syarikat minyak ini juga sentiasa menyokong inisiatif oleh pekerjanya, tegas beliau.

“Kami mempunyai sejumlah program keusahawanan sosial. Antaranya, kami berusaha mempromosikan pembekal produk tempatan dan Petronas Dagangan (menerusi stesen minyak Petronas) sama-sama menyokong dengan menempatkan produk tempatan ini di rak stesen minyak sejak suku ketiga tahun lepas dan berterusan sehingga kini,” kata Tengku Muhammad Taufik.

– BERNAMA