SHAH ALAM 25 APRil : Calon DUN Batu Tiga, Rodziah Ismail (PKR) kesal masih terdapat lagi kepincangan dalam pengurusan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kali ini berkenaan daftar pengundi pos.
Ujarnya, daftar terbaru yang diperolehi daripada SPR tidak disertakan maklumat lengkap mengenai para pengundi pos itu.
“Saya terima senarai 12 lagi pengundi pos daripada luar negara untuk DUN ini, tetapi tidak lengkap tentang di mana mereka tinggal, bagaimana untuk dihubungi dan sebagainya.
“Ini sedikit sebanyak membantutkan usaha calon untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan mereka (pengundi pos), terutamanya tentang fokus dan manifesto yang diketengahkan untuk PRU (Pilihan Raya Umum) kali ini,” jelasnya.
Sebelum ini, DUN Batu Tiga mencatatkan seramai 32 orang pengundi pos dan dengan tambahan 12 lagi pengundi yang baru dikemaskini, ia menjadikan jumlah keseluruhan adalah berjumlah 40 orang kesemuanya.
Mengulas mengenai senarai daftar pemilih di DUN yang ditandinginya, Rodziah yang juga penyandang penggal lepas berkata setakat ini tiada masalah berhubung hal tersebut.
“Setakat ini kawasan saya tidak mempunyai perkara berbangkit, memang terdapat pengundi tidak dikenali tetapi ia adalah dalam jumlah yang kecil dan tidak mencurigakan.
“Saya turut berterima kasih kepada kemajuan teknologi dan laman sosial hari ini yang banyak membantu saya untuk lebih mengenali pengundi saya serta mendekatkan mereka dengan saya,” beritahu Exco Wanita ini.
Terdapat seramai 45, 005 pengundi berdaftar di DUN Batu Tiga yang bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Rodziah Ismail (PKR), Datuk Ahmad Nawawi M. Zin (BN) dan Mohd Uzi Che Husin (Bebas).