SHAH ALAM, 9 JULAI : Selangor terus mendahului negeri lain dalam Sukan Malaysia (Sukma) ke 15 di Kuantan apabila mendominasi pungutan pingat secara keseluruhan sehingga semalam.
Selangor mengumpul 10 pingat emas, lapan perak dan 10 gangsa dengan tambahan tiga pingat emas terbaru menerusi acara Akuatik Terjun dan Renang.
Ketua Unit Korporat Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), Rohaya Yahya berkata, kontinjen Selangor berbangga dengan kejayaan ini dan berharap banyak lagi kejayaan akan memihak kepada mereka selepas ini.
Menurutnya, Akuatik Renang menyumbang dua emas menerusi Caroline Chan Zi Xin bagi acara 50 meter Kuak Lentang dan Lim Ching Hwang (200 meter Gaya Bebas) manakala Akuatik Terjun meraih satu emas yang disumbangkan Chew Yi Wei (tiga meter Papan Anjal).
Tambahnya, Selangor turut menambah dua perak dan lima gangsa menerusi beberapa acara dipertandingkan dalam sukan seperti Akuatik Renang dan Terjun serta Gimnastik.
Berikutan kedudukan itu, Selangor terus mengukuhkan cengkaman untuk muncul juara keseruhan Sukma kali ini.
Ketika ini, pasukan di tangga kedua ialah Sarawak dengan tujuh emas, tiga perak dan tujuh gangsa serta ketiga Pulau Pinang (enam emas dan empat gangsa).
Sukma ke 15 Pahang yang berlangsung dari 7 hingga 16 Julai menawarkan 377 pingat emas, 377 perak, 453 gangsa. Ia berlangsung di tiga daerah iaitu Pekan, Temerloh dan Kuantan dengan penyertaan 5,828 atlet dan pegawai dari 15 kontinjen termasuk Brunei.