Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Rombakan kabinet bukan tugas mudah

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata rombakan Kabinet bukanlah tugas yang mudah kerana ia mengambil masa dan perlu diterima oleh semua parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Rombakan bukanlah satu tugas yang mudah kerana ia perlu diterima bukan sahaja saya, tetapi juga (empat) parti dalam gabungan ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Integriti Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) 2020 di sini hari ini.

Menjawab soalan pemberita mengenai pelantikan Menteri Pendidikan yang baharu bagi menggantikan Dr Maszlee Malik, yang meletakkan jawatan awal bulan ini, Dr Mahathir berkata beliau belum lagi membuat keputusan berhubung perkara itu.

“Saya belum memutuskan apa-apa,” kata Perdana Menteri, yang dilantik bagi memangku jawatan Menteri Pendidikan, yang dipersetujui oleh Kabinet semasa satu mesyuarat pada 8 Januari.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada perbincangan hal rombakan Kabinet

PUTRAJAYA, 22 OGOS: Soal mengenai rombakan Kabinet tidak dibangkitkan pada mesyuarat Kabinet semalam, menurut dua menteri yang menghadiri mesyuarat itu.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, tiada perbincangan mengenai rombakan Kabinet disentuh dalam mesyuarat mingguan Kabinet semalam.

“Tidak… di peringkat ini tidak ada,” kata Zuraida.

Menurut Lim pula, mesyuarat Kabinet dan pertemuan pemimpin komponen Pakatan Harapan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam hanya membincangkan soal berkaitan urusan kerajaan.

“Tidak ada kaitan dengan apa yang disebut (soalan wartawan),” kata Lim yang menjawab soalan mengenai isu rombakan Kabinet.

Zuraida dan Lim ditemui media selepas menghadiri mesyuarat kumpulan Fokus Belanjawan 2020 di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di sini hari ini.

Beberapa laporan berita hari ini melaporkan mengenai rombakan Kabinet yang dijangka berlaku pada bila-bila masa dan beberapa nama pemimpin disebut-sebut akan menerajui beberapa kementerian dan portfolio baharu.

Lim turut ditanya jika terdapat sesi pertemuan antara Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang diura-urakan akan dimasukkan ke dalam barisan Kabinet baharu.

Lim berkata: “Saya tidak tahu, tapi yang saya jumpa semalam dengan Perdana Menteri tidak ada sebut langsung mengenai apa yang disebut (pemberita mengenai Mustapa), bukan sahaja semalam tapi sebelum ini tidak pernah dibangkitkan.”

Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP, menafikan bahawa parti DAP ada menghantar senarai ahli menteri Kabinet untuk dipilih Dr Mahathir.

“Tidak pernah sama sekali kerana Kabinet sudah ada, Kabinet yang ada kekal daripada pihak DAP, jadi senarai yang ada kekal seperti yang sudah ada dan pihak DAP dan saya tidak hantar apa-apa senarai nama,” katanya.

Menurut Lim, perkara berkaitan rombakan Kabinet adalah di bawah kuasa Perdana Menteri.

“Tun (Dr Mahathir) telah menjawab perkara ini berkali-kali, saya rasa rujuklah apa yang disebut oleh beliau.. saya bukan Perdana Menteri,” katanya.

– BERNAMA