Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Belanjawan 2021: Fokus pulih ekonomi, peluang kerja – pakar

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Belanjawan 2021 yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada 6 November ini dijangka lebih menjurus kepada pelan pemulihan ekonomi secara keseluruhan selepas menerima kesan negatif daripada pandemik Covid-19.

Ketua Jabatan Penasihat dan Penyelidik Exim Bank, Zabedah Giw berkata kestabilan ekonomi menjadi keutamaan bagi semua pihak dalam memacu hala tuju masa depan pembangunan negara ke arah kemampanan.

“Ia perlu mengambil kira program pembangunan masa hadapan untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih mantap, lebih berlandaskan teknologi dan yang dapat mengurangkan risiko atau memberi impak kepada pendapatan sekiranya keadaan seperti ini (Covid-19) terjadi lagi.

“Pada masa sama, kemampanan aktiviti ekonomi juga mengambil kira inisiatif kerajaan sebelum ini, yang telah mewujudkan (program) ekonomi digital dan Industry4ward (Industri 4.0),” katanya semasa menjadi tetamu menerusi Skype bagi program Ruang Bicara yang disiarkan Bernama TV pada Jumaat.

Ruang Bicara yang dihoskan Sherkawi Jirim itu membincangkan tajuk ‘Bajet 202 Dalam Situasi Politik dan Ekonomi Semasa’.

Zabedah berkata komuniti perniagaan dan ekonomi itu sendiri juga perlu mempunyai model ekonomi yang jelas apabila menerima guna teknologi dalam rantaian bekalan perniagaan mereka seperti penggunaan kecerdasan buatan.

“Aspirasi ekonomi itu sendiri perlu menjurus ke arah kecemerlangan dengan ia perlu disokong menerusi penerusan dasar pendidikan sedia ada.

“Inovasi boleh berlaku secara lebih meluas dengan aplikasi teknologi, dan juga mengambil kira kualiti lepasan pengajian tinggi sekarang dan masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata Malaysia juga mengamalkan ekonomi perdagangan, yang perlu disokong dengan kapasiti pembuatan dan pengeluaran yang mencukupi dan inovatif untuk melonjakkan Malaysia ke tahap kematangan perindustrian.

“Penekanan sebelum ini bagi penggunaan Industry4ward dan pendigitalan memberi peluang untuk menerima guna contohnya pembuatan bernilai tambah tinggi ke tahap yang lebih tinggi.

“Di sini saya nampak ia lebih menjurus kepada pencapaian perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menaik taraf perniagaan mereka. Ia penting kerana PKS adalah lapisan perniagaan yang boleh diukur untuk menjadi juara global daripada juara tempatan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA EKONOMI NASIONAL

Industri MICE penting rancakkan ekonomi, tarik pelabur

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Industri mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) berperanan penting dalam menarik tumpuan pelabur, sekali gus membawa pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara.

Bagaimanapun, sejak pandemik Covid-19 melanda dunia, industri ini terpaksa menghentikan sementara aktivitinya mulai awal tahun ini dan mengakibatkan pendapatan pelbagai pihak terutama penganjur acara serta penggiat perhotelan dan pelancongan terjejas.

Ahli Majlis Tertinggi Malaysia Persatuan Penganjur dan Pembekal Persidangan dan Pameran (MACEOS), Jaggarao Simancha berkata meskipun kerajaan memberi kelonggaran apabila membenarkan penganjuran persidangan dengan had kehadiran sebanyak 250 orang namun pihaknya berharap keadaan akan bertambah baik selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 31 Ogos ini.

“Industri ini merupakan industri pertama yang ditutup akibat Covid-19, dan serta-merta pelbagai pameran dan persidangan yang telah dirancang sejak tahun lepas terpaksa dibatalkan sehingga satu tarikh akan datang.

“Ini meletakkan pemain industri dalam keadaan tenat selepas terpaksa menanggung kerugian,” katanya semasa menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara yang disiarkan saluran Bernama TV malam tadi.

Program yang dihoskan Sherkawi Jirim kali ini membincangkan topik ‘Industri Pameran Pemangkin Ekonomi Negara’.

Jaggarao berkata sehingga kini pihak penganjur acara MICE masih dalam situasi tunggu dan lihat sebelum melakukan perancangan selepas PKPP ditamatkan.

“Kami berharap pihak kerajaan dapat menimbangkan kelonggaran untuk memberikan laluan hijau (green lane) kepada negara yang telah berjaya mengawal penularan Covid-19 seperti Taiwan, Jepun, Korea Selatan, Thailand, Vietnam dan Singapura untuk datang ke Malaysia.

“Industri ini (penganjuran MICE) lebih teratur berbanding dengan pasar malam contohnya, kerana setiap pusat konvensyen mempunyai sistem yang lengkap dan mampu mematuhi prosedur operasi standard yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata selain menarik tumpuan pelabur asing ke dalam negara, industri MICE juga memainkan peranan penting untuk menarik ketibaan pelancong ke dalam negara sekali gus merancakkan pelbagai sektor khususnya pelancongan.

Sebagai contoh, Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) yang menarik perhatian peserta industri serta pelancong dari serata dunia telah melonjakkan sektor perlancongan di pulau bebas cukai itu selain melakar nama Langkawi di persada antarabangsa, katanya.

LIMA bagi edisi 2019 juga telah menyaksikan lebih RM4 bilion janji niaga dan kontrak ditandatangani.

“Maka, penting untuk penganjuran pameran serta persidangan berjalan seperti biasa selepas berakhirnya COVID-19 ini untuk merancakkan semula ekonomi negara,” katanya.

-BERNAMA