Categories
AGENSI SELANGOR

Penghuni Rumah Puteri Arafiah siapkan 400 PPE untuk petugas hadapan

SHAH ALAM, 28 MEI: Penghuni Rumah Puteri Arafiah (RPA) berjaya menyiapkan 400 set kelengkapan peralatan perlindungan diri (PPE) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Ramadan lalu.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis), Datin Seri Masdiana Muhamad berkata PPE terbabit disumbangkan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus mengawal penularan Covid-19.

“Susulan arahan kerajaan tidak membenarkan rentas negeri, penghuni RPA tidak dapat pulang menyambut raya bersama keluarga. Jadi peluang ini dimanfaatkan untuk tujuan itu selain menyiapkan projek biskut raya,” katanya ketika sesi temu bual dalam talian di program Cendol Aidilfitri anjuran Institut Darul Ehsan hari ini.

RPA adalah pusat penjagaan dan perlindungan remaja puteri bawah 21 tahun anjuran Pekawanis yang ditubuhkan sejak Jun 2011 bagi membimbing serta memberi perlindungan kepada remaja bermasalah menerusi penekanan elemen pembangunan modal insan juga rohani.

Sementara itu, isteri Dato’ Menteri Besar memaklumkan Pekawanis akan menjalankan program membantu ibu tunggal secara dalam talian yang sudah dirancang dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Categories
SELANGOR

Rumah Puteri Arafiah terima RM20,000 sumbangan MBI

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 24 JUL: Pemerbadanan Menteri Besar (Menteri Besar Incorporated-MBI) hari ini menyampaikan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada rumah perlindungan remaja perempuan, Rumah Puteri Arafiah.

Ketua Pegawai Operasinya, Soffan Affendi Aminudin berkata, ia merupakan sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyemarak program berteraskan pembangunan rohani dan modal insan dalam kalangan masyarakat khususnya remaja.

“MBI juga berharap dengan sumbangan ini, RPA dapat melaksanakan lebih banyak aktiviti dan program untuk manfaat penghuni pada masa akan datang.

IMG_20170724_132803“Dari semasa ke semasa, kami akan terus memberikan perhatian dan tumpuan kepada usaha murni seumpama ini untuk sama-sama melahirkan generasi anak muda harapan agama, bangsa dan negara,” katanya kepada Selangor Kini.

Terdahulu, DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menerima ‘mock cheque’ disampaikan Soffan pada Majlis Tautan Kasil Eidul Fitr RPA, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Soffan mengajak masyarakat menzahirkan kepedulian dan kasih sayang terhadap remaja yang sedang ‘diuji’.

“Janganlah kita meminggirkan mereka, sebaliknya marilah bersama memimpin tangan mereka dan bersama memperbaiki diri.

“Sama-samalah jua kita berdoa agar pelatih di RPA diberikan kekuatan dan ketabahan sepanjang di RPA, seterusnya kembali ke pangkuan masyarakat satu masa nanti sebagai insan lebih berkeyakinan,” katanya. IMG_20170724_132620 IMG_20170724_132705 IMG_20170724_132752 IMG_20170724_133124