Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS santuni asnaf mangsa kebakaran, usahakan rumah sewa baharu

SHAH ALAM, 5 DIS: Seorang mangsa kebakaran di Sungai Buloh yang juga asnaf berdaftar menerima bantuan segera daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Agensi berkata rumah sewa wanita terbabit yang dibiayai pihaknya terlibat dalam kebakaran membabitkan dua kediaman.

Katanya, LZS juga akan menyalurkan bantuan seterusnya selepas data dilengkapkan dan mangsa akan diusahakan untuk mendapat rumah sewa baharu.

“Ini antara sedikit usaha LZS untuk membantu mereka yang memerlukan dan sentiasa menjadi antara agensi pertama yang tiba menghulurkan bantuan.

“Terima kasih pembayar zakat yang sentiasa menyokong kami,” tulisnya di Facebook.

Sesi ziarah mangsa kebakaran diketuai Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop bersama ketua operasi agihan Daerah Petaling, ketua penolong amil kariah dan ketua kampung.

Categories
SELANGOR

Tiga sekeluarga maut terperangkap dalam kebakaran rumah

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 14 JUN : Tiga sekeluarga dilaporkan maut dalam sebuah insiden kebakaran dekat Kampung Lindungan, di sini, tengah malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi Selangor dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 2.47 pagi sebelum bergegas menghantar jentera dari BBP Petaling Jaya dan BBP Subang ke lokasi kejadian.

“Kebakaran itu membabitkan sebuah rumah teres tiga tingkat. Siasatan awal mendapati kebakaran bermula dari tingkat bawah kediaman itu.

“Terdapat tiga mangsa berbangsa India iaitu dua lelaki dan satu wanita terperangkap, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” kata kenyataan itu.