Categories
SELANGOR

Lebih 700 meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Dato’ SUK

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 6 JULAI: Lebih 700 meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, di Kediaman Rasmi Seri Indera, di sini, hari ini.

Majlis yang bermula seawal jam 2.30 hingga 6 petang itu turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat antaranya Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Amirudin sempat meluangkan masa lebih setengah jam bagi memeriahkan majlis dengan ketibaannya disambut Mohd Amin.

Selain itu, majlis turut dihadiri Exco dan kepimpinan dari seluruh agensi serta rakan korporat anak syarikat Kerajaan Negeri.

Antara tarikan utama majlis itu adalah hidangan durian selain pelbagai menu unik antaranya makanan Korea seperti topokki; makanan Vietnam, miengkam dan goicuon.

Makanan tradisi Aidilfitri turut dihidangkan antaranya lemang, ketupat, kuah kacang dan mi sup.

 

Categories
SELANGOR

Rumah Terbuka Aidilfitri Selangor berlangsung meriah


OLEH NORHAYATI UMOR

HULU KELANG, 9 JULAI: Sambutan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat Selangor disambut meriah dengan dihadiri masyarakat pelbagai bangsa di Padang AU2, di sini hari ini.

Berdasarkan maklumat diterima daripada Tourism Selangor, dianggarkan 50,000 pengunjung hadir memeriahkan suasana.

CP2A2235-800x533Menariknya, majlis bermula pada jam 10 pagi dan berakhir jam 3 petang itu menyediakan 43 gerai makanan membabitkan 25 peserta program skim mikrokredit Hijrah Selangor.

Pengunjung yang hadir turut berpeluang merasai keenakan sajian, antaranya sate, laksa, soto, rendang daging, lemang, ketupat palas dan ayam golek.

Pada awal pagi, lebih 100 kanak-kanak berbaris menerima duit raya disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali selain mengambil peluang bergambar bersama pemimpin tertinggi negeri itu.

FB_IMG_1468046121048Segak berbaju melayu hijau, Mohamed Azmin sebelum itu menyapa rakan media yang hadir.

Sambutan kali ini penuh bermakna buat Kerajaan Negeri dan rakyat Selangor apabila DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli menghadiri majlis rumah terbuka.

Baginda diiringi YTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Hadir sama, Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh selain Exco Negeri antaranya, Dr Daroyah Alwi, Dato’ Iskandar Samad, Nik Nazmi Nik Ahmad, Zaidy Talib dan Dato’ Teng Chang Khim.

Turut memeriahkan suasana, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ditemani Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar dan jemputan dari kedutaan antarabangsa.

-AA-