Categories
NASIONAL

DBKL tutup 16 premis rumah urut

KUALA LUMPUR 10 NOV: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup 16 daripada 22 premis rumah urut, di sekitar ibu kota selepas didapati beroperasi tanpa lesen.

Pengarah Penguat kuasa DBKL, Azman Mahmood berkata, pihaknya memeriksa 22 premis rumah urut dan menyita barang perniagaan mereka seperti kerusi lipat, khemah, dan ‘decoder rakaman litar tertutup (CCTV).

“Daripada jumlah itu, 16 premis diarah tutup.

“Operasi ini dilakukan 22 pegawai dan anggota DBKL bermula jam 8 malam hingga 2 pagi tadi,” katanya selepas mengetuai operasi khas terbabit malam tadi, lapor BERNAMA

Beliau berkata, DBKL akan terus bergiat aktif membanteras premis rumah urut yang beroperasi tanpa lesen dan akan mengambil tindakan tegas terhadap premis yang ingkar.

Categories
SELANGOR

Jawatankuasa Khas Pantau Pembaharuan Lesen Rumah Urut di Klang

KLANG 29 OGOS : Semua lesen premis rumah urut, Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan serta Pusat Refleksologi yang mahu diperbaharui tidak akan dilakukan serta merta seperti amalan biasa.

Sebaliknya, ia akan melalui proses permohonan semula dan akan dibawa untuk dibincangkan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Pemantauan Rumah Urut dan Jawatankuasa Kawalan Perniagaan.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Pemantauan Rumah Urut, Azmizam Zaman Huri berkata prosedur itu dilakukan berikutan untuk memudahkan pemantauan aktiviti oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Katanya, tindakan itu juga bagi membanteras kewujudan rumah urut haram yang sering diperkatakan pelbagai pihak sebelum ini.

“Dalam mesyuarat baru-baru ini, kita putuskan agar lesen premis itu tidak akan diperbaharui serta merta.

“Mereka perlu melalui beberapa prosedur termasuklah lawatan pihak kami ke premis itu sebelum bersetuju untuk memperbaharui lesen mereka,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Bulanan Majlis Perbandaran Klang (MPK), di sini.

Beliau berkata pihak yang terlibat perlu mengikuti garis panduan baru yang akan dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri.

Aznizam turut menegaskan semua lesen bagi rumah urut dan pusat hiburan di negeri itu dikeluarkan semasa pentadbiran Umno-BN sebelum ini bukan dari Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Untuk rekod, setakat ini sebanyak 52 premis rumah urut dan 16 buah Pusat Refleksologi yang berlesen di sekitar Klang.

Sementara itu, beliau yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri berkata MPK akan mengadakan operasi secara besar-besaran bagi tempoh dua bulan ini sebagai usaha membanteras kegiatan itu.

Katanya, operasi itu termasuklah menurunkan papan tanda gergasi yang menjadi penyumbang kepada kehadiran pelanggan di premis terlibat terutama sekitar Bukit Tinggi dan beberapa lokasi lain kelak.

Tambahnya, beberapa premis sudah dikenalpasti dan akan digempur habis-habisan dalam masa terdekat melalui kerjasama semua jabatan yang terlibat.