Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit cecah paras 4.18 jejaki harga minyak kukuh

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Harga minyak mentah yang stabil terus mengukuhkan ringgit berbanding dolar AS yang lemah akibat penyusutan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS).

Pada 6 petang, unit tempatan diniagakan lebih tinggi kepada 4.1880/1930 daripada 4.1900/1950 ketika ditutup Rabu.

Setakat ini, minyak mentah Brent kekal melebihi US$45 setong walaupun merosot 0.35 peratus kepada US$45.27 setong.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes menjangkakan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum tidak akan meningkatkan kuota pengeluaran minyak untuk sementara waktu.

“Mungkin tidak sehingga November 2020 yang menjadi petanda baik kepada harga minyak.

“Saya turut melihat penyusutan harga dolar AS menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) negara itu pada September,” katanya kepada Bernama.

Beliau berpendapat, pengumuman mengenai keputusan suku kedua Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2020 yang dijadualkan esok tidak memberi impak kepada prestasi ringgit hari ini.

“KDNK melibatkan angka besar, namun tidak terlalu signifikan akibat pandemik Covid-19 memandangkan kita tahu ia akan menjadi buruk susulan usaha-usaha yang diambil untuk membendung koronavirus.

“Bagi saya, ia semua berkaitan rundingan perdagangan AS-China (pada 15 Ogos) dan meskipun risikonya telah dikurangkan berikutan pendirian AS yang kurang lantang mengenai perdagangan, sesiapapun tidak merasa yakin selagi adanya Presiden AS, Donald Trump di Rumah Putih,” katanya.

Menurutnya, sebaik sahaja kedua-dua negara mengharungi rintangan perdagangan ini, ringgit akan lebih kukuh.

“Saya berpandangan, minggu depan akan menjadi minggu yang positif bagi ringgit,” kata Innes.

Pada penutup, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama, kecuali berbanding yen.

Ia merosot berbanding pound Britain kepada 5.4783/4865 daripada 5.4675/4745 pada Rabu, merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0523/0570 daripada 3.0506/0547 dan turun berbanding euro kepada 4.9552/9628 daripada 4.9300/9375.

Unit tempatan meningkat kepada 3.9184/9242 berbanding yen Jepun daripada 3.9232/9290 semalam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka rendah 4.2000/2050 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Ringgit meneruskan aliran penurunan berbanding dolar AS pada Selasa berikutan pelabur berhati-hati mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua dan pertikaian yang berterusan antara Amerika Syarikat (AS) dan China menjelang rundingan perdagangan mereka pada 15 Ogos ini.

Pada 9.31 pagi, unit tempatan berada pada 4.2000/2050 berbanding dolar AS, daripada 4.1930/1980 semasa ditutup pada Isnin.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata unit tempatan dijangka susut menjelang rundingan perdagangan AS-China pada minggu ini.

“Bagaimanapun, pada amnya, ringgit merosot berbanding dolar AS selepas laporan pekerjaan AS yang lebih baik daripada jangkaan pada Jumaat lepas, yang menyaksikan permintaan terhadap dolar AS meningkat secara menyeluruh,” katanya.

Bank Negara Malaysia akan mengeluarkan data suku kedua pada Jumaat.

Secara keseluruhannya, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali euro.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0577/0615 daripada 3.0515/0558, berbanding yen Jepun kepada 3.9585/9636 daripada 3.9553/9608 dan berbanding pound kepada 5.4915/4985 daripada 5.4752/4822.

Bagaimanapun, ringgit naik berbanding euro kepada 4.9266/9329 daripada 4.9301/9377 pada Isnin.

-BERNAMA