Categories
NASIONAL SELANGOR

Dr Daroyah Alwi : Peluang PR Cerah Di Sementa

Daroyah Alwi Palimen Kapar 01

KLANG, 20 APRIL : Calon PKR, Dr Daroyah Alwi, bagi DUN Sementa berasa yakin peluang memenangi kawasan itu adalah cerah dalam pilihan raya kali ini berasaskan sokongan rakyat yang condong kepada Pakatan Rakyat(PR) kini.

Bendahari Majlis Pimpinan Wanita PKR Pusat itu lebih berkeyakinan apabila dilantik sebagai Penyelaras DUN bagi kawasan itu sejak awal tahun ini.

Jelasnya, PR dengan parti gabungan, PKR, PAS dan DAP berjaya membuktikan perpaduan dan kerjasama erat dalam membantu dirinya dan calon lain yang bertanding kali ini.

“Bila dilantik sebagai Pemyelaras DUN Sementa pada awal tahun ini dapatlah saya bertemu dengan masyarakat di kawasan itu secara lebih dekat dan memahami kehendak mereka.

“Dengan cara itu saya tahu apa diperlukan rakyat di kawasan ini. Dengan program dijalankan Kerajaan Negeri selama ini maka kita mempunyai harapan di DUN ini,” katanya kepada TVSelangor selepas selesai majlis penamaan calon di sini hari ini.

Dr Daroyah berkata, pemilihannya adalah di bawah kuota calon Wanita PKR yang diperuntukan sebanyak 30 peratus.

Beliau juga menganggap penyertaan seorang calon bebas di DUN tersebut sebagai biasa dalam pilihan raya.

“Ia adalah satu persaingan yang sihat dalam pilihan raya.

“Bagi saya, kita sudah bersedia dan yakin mempunyai peluang cerah menang untuk menebus maruah kita di kawasan itu,” katanya.

Dr Daroyah akan menghadapi saingan tiga penjuru iaitu dari calon Umno-BN, Mohd Ghazali Mohd Amin dan calon bebas, S Thoraisingam.