Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Cadang individu lengkap dua dos dibenar melancong, bantu penggiat

SHAH ALAM, 29 JUN: Semua penggiat pelancongan wajar diberi keutamaan menerima vaksin Covid-19 bagi memastikan sektor tersebut kembali beroperasi dengan segera serta selamat.

UntukĀ  menghidupkan semula industri, presiden Persatuan Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Selangor (Saftta) turut mencadangkan individu lengkap menerima dua dos diberi kelonggaran melancong dalam negeri.

Dr Fathir Badri Alhadad berkata langkah tersebut diharap membantu penggiat pelancongan merancakkan perniagaan yang tidak beroperasi sepenuhnya sejak dua tahun lalu.

“Kerajaan Negeri aktif menjalankan program suntikan vaksin dengan menumpukan pekerja kilang dan kita berharap inisiatif ini diperluaskan bagi memastikan lebih ramai penggiat pelancongan terima manfaat,” katanya kepada SelangorKini.

Saranan sama diberikan Naib Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Selangor, Mohd Nazri Ahmad yang berkata penggiat pelancongan merupakan pekerja industri barisan hadapan yang sentiasa berurusan dengan orang ramai.

“Apabila semua penggiat pelancongan divaksin, ia meningkatkan keyakinan rakyat mengunjungi hotel atau tempat percutian sekiranya kebenaran melancong dipercepatkan selaras dengan jumlah rakyat yang divaksin,” katanya.

Pada 25 Jun, EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata sejumlah 2,000 dos vaksin Covid-19 diperuntukkan kepada 1,000 penggiat sektor pelancongan di negeri ini.

Pengusaha pelancongan negeri ini juga ditawar bantuan sehingga RM20,000 bagi meneruskan operasi perniagaan selepas terjejas teruk akibat Covid-19.