Categories
AGENDA EKONOMI

Pemegang indeks utama catat kenaikan pada tengah hari

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Pemegang indeks utama mencatatkan peningkatan, mendorong FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kepada julat positif pada tengah hari ini.

Pada rehat tengah hari, indeks utama meningkat 4.85 mata kepada 1,505.73 selepas dibuka rendah 11.55 mata kepada 1,489.33.

Indeks naik berikutan prestasi yang menggalakkan daripada saham berkualiti dan bernilai tinggi. Maybank naik lima sen kepada RM8.33, Tenaga Nasional meningkat 20 sen kepada RM12.50, Public Bank dan Petronas Chemicals, masing-masing menambah enam sen kepada RM17.58 dan RM6.46, manakala CIMB Group menokok 10 sen kepada RM4.91.

Saham ini menyumbang 4.45 mata kepada CI.

Seorang penganalisis berkata ini berikutan aktiviti belian saham pada harga rendah yang sederhana oleh pelabur runcit selepas merosot pada Isnin.

“Permintaan dalam pasaran ekuiti tempatan terus menggalakkan dan di sebalik situasi politik semasa, pasaran Malaysia kekal berdaya tahan disokong oleh asas ekonomi kita yang kukuh dan kepelbagaian portfolio ekonomi,” katanya.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 448 berbanding 320, dengan 358 kaunter kekal tidak berubah, 875 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.

Indeks FBM Emas Shariah naik 9.23 mata kepada 11,436.43 manakala FBM 70 berkurangan 93.55 mata kepada 13,446.52.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.18 mata kepada 143.28, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 48.75 mata kepada 14,448.61 dan Indeks Perladangan menambah 15.86 mata kepada 6,955.41.

-BERNAMA