Categories
SELANGOR

Tiada berita unsur fitnah, akhbar tetap edar di masjid

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 28 FEB : Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk menghentikan pengedaran akhbar mingguan terbitannya di beberapa buah masjid seluruh negeri berikutan kandungan berita yang dipaparkan tidak mengandungi unsur fitnah.

Exco Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi, berkata akhbar itu hanya menyiarkan berita biasa sebagai bahan bacaan bagi membolehkan rakyat di negeri ini mendapat maklumat mengenai program yang dilaksanakan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor.

Sallehen MukhyiKatanya akhbar yang mendapat kelulusan penerbitan itu akan dipantau kandungannya dari masa ke masa untuk memastikan ia tidak mengandungi sebarang perkara yang boleh menimbulkan salah faham atau berbaur hasutan.

“Pengedaran akhbar di masjid-masjid di seluruh negeri adalah bagi membolehkan rakyat mendapat maklumat memandangkan institusi masjid sentiasa dikunjungi umat Islam.

“Sebab itu kita letak akhbar ini di luar masjid, apabila jemaah ingin pulang ke rumah, mereka boleh mengambil akhbar ini untuk dibaca selepas menunaikan solat,” katanya kepada Sinar Harian.

Sallehen berkata demikian bagi mengulas kenyataan Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi yang menyatakan adalah tidak sesuai apabila akhbar politik itu menjadi ‘propaganda’ kerajaan negeri di masjid yang menjadi tempat umat Islam beribadah dan merapatkan silaturrahim.

Beliau mendakwa tumpuan jemaah pastinya lebih tertarik dengan bahan berupa teks berbanding mendengar isi khutbah Jumaat yang disampaikan oleh khatib.

Mengulas lanjut, Sallehen berkata akhbar itu menjadi medium saluran maklumat kerajaan negeri kepada rakyat memandangkan mereka tidak menerima liputan yang adil daripada akhbar arus perdana lain.

“Kita tiada satu platform yang dapat menyampaikan berita secara terus kepada rakyat dan dengan adanya media ini kita harap rakyat dapat mengetahui segala perancangan yang akan dilaksanakan kerajaan negeri,” katanya.

EZY

 

Categories
SELANGOR

Exco: Ambil inisiatif tanam pokok demi pemuliharaan sumber hijau

Oleh: Norhayati Umor

SHAH ALAM 24 FEB : Kerajaan Negeri menyarankan kepada jabatan kerajaan dan swasta mengambil inisiatif menanam pokok atau memperindahkan kawasan pejabat dan agensi masing-masing selaras dengan usaha pemuliharaan sumber hijau di negeri ini.

Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi, berkata penyelenggaraan dan penjagaan pokok yang ditanam itu perlu dititik beratkan supaya ia dapat terus tumbuh subur dan memberi kesan kepada alam sekitar.

sallehin batik speech 01Beliau berkata demikian dalam perasmian Sempena Sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia 2014 di Kampung Datuk Hormat, Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, baru-baru ini.

Sallehen berkata sehingga kini, daerah Sabak Bernam berupaya mengekalkan sejumlah 46.33 peratus kawasan pertanian meliputi 47.132 hektar manakala 40.18 peratus terdiri daripada kawasan hutan iaitu sebanyak 40,863 hektar dengan kompenan utamanya padi dan hutan simpan Sungai Karang.

“Ini merupakan pencapaian yang patut kita kekalkan kerana komitmen kita yang tinggi ditunjukkan dalam aspek pemeliharaan, pengurusan dan pembangunan sumber hijau daerah, negeri dan negara.

“Ketika ini, keperluan dan kehendak masyarakat terhadap tanah hutan dan sumber alam sekitar menjadi semakin tinggi.

“Sejajar itu, konsep pengurusan hutan di negeri ini diperluaskan dengan mengambil kira fungsi perlindungan hutan dan pengeluaran bukan kayu,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, bagi merealisasikan hasrat itu, komitmen yang bersungguh-sungguh dari semua pihak dalam menguruskan khazanah hutan lembap perlu dipertingkatkan.

Dalam program itu, 300 sukarelawan hadir yang terdiri daripada penduduk tempatan, kakitangan kerajaan dan orang awam hadir.

Sebanyak 1,500 pokok juga ditanam dipesisir sungai untuk memulakan proses pemuliharaan hutan bakau.

Jawatankuasa bertindak hakisan tanah persisir Sungai Bernam turut dilancarkan bagi memantau proses pemuliharaan kawasan terbabit.

Hadir sama di program itu, Pengarah Global Environmental Centre, Faizal Parish ; Pegawai Daerah dan Tanah Sabak Bernam, Samsuddin Mon dan Pengerusi Jawatankuasa bertindak hakisan itu, Mohd Azlan Mohd Sani.

EZY

 

 

Categories
SELANGOR

Exco: Kerajaan Negeri bantu SKI Ar-Raihan Bandar Teknologi Kajang

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM 15 JAN : Kerajaan Negeri akan membantu Sekolah Kafa Integrasi Ar-Raihan, Bandar Teknologi, Kajang yang mengalami masalah ketiadaan bangunan dan menumpang surau berhampiran serta sebahagiannya dibina menggunakan kanopi.

Exco Hal Ehwal Agama, Sallehen Mukhyi, berkata beliau akan mengadakan lawatan ke sekolah itu dalam tempoh terdekat bagi meninjau masalah sebenar yang dihadapi sekolah itu dan membuat tindakan susulan.

Sallehen MukhyiSallehen berkata, pihaknya akan mengenal pasti kawasan tanah berhampiran yang sesuai serta statusnya bagi pembinaan bangunan sekolah itu.

“Difahamkan sekolah itu dibina atas usaha masyarakat setempat. Kita akan memantau dan melihat jika perlu kita akan membantu supaya mereka boleh mendapat bangunan yang baru,” katanya kepada Selangor Kini.

Sekolah di bawah kelolaaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu dengan jumlah pelajar melebihi 900 orang menghadapi masalah ketiadaan bangunan.

Malah sekumpulan pelajarnya terpaksa mengikuti kelas dengan hanya bersila di lantai akibat ketiadaan kerusi dan meja.

“Kalau kawasan yang ada itu tidak sesuai kita akan cuba cari tempat baru. Kita akan tengok kalau tanah Kerajaan Negeri ada di situ maka saya akan minta diluluskan dan bina terus melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri.

“Tetapi isunya mereka kekurangan dana. Kita akan lihat isu ini sama ada mereka ada dana tetapi tidak cukup ataupun sebaliknya, kalau kurang, kita boleh berbincang dengan masyarakat di situ untuk bantuan,” katanya.

Berhubung pelan bangunan yang dikatakan perlu disediakan bagi pembinaan itu, Sallehen berkata, pelan terbabit perlu dibina berdasarkan keluasan saiz, bentuk tanah serta faktor lain yang bersesuaian dengan kehendak pembinaan bangunan sesebuah sekolah selain kapasiti pelajarnya.

Kita tidak boleh nak selaraskan semua sekolah mesti mengikut satu pelan binaan yang sama. Sebenarnya Kerajaan Negeri sudah ada pelan yang standard untuk diguna pakai bergantung kepada bentuk dan keadaan tanah.

“Kalau kawasan tanah itu mengizinkan kita buat dua tiga tingkat, kita akan buat. Kalau tidak, kita akan lihat berhubung soal keselamatan dan sebagainya,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Rancang bina Maahad Integrasi Tahfiz Sains & Teknologi seluruh daerah

Oleh: Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 21 DIS: Kerajaan Selangor berusaha untuk mewujudkan Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi di seluruh daerah untuk melahirkan rakyat berbudi luhur dan mempunyai asas kefahaman Al-Quran yang mantap.

Exco Hal Ehwal Islam, Sallehen Mukhyi, katanya usaha itu akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke-10 dan akan diteruskan dalam Rancangan Malaysia ke-11 agar permintaan terhadap pendidikan agama dapat dipenuhi.

Sallehen Mukhyi“Kita akan sentiasa meneliti tahap keupuasan hati dan kecemerlangan agar segala pencapaian yang ditetapkan terhadap kualiti pelajar dapat dicapai,” kata Sallehen.

Katanya permintaan terhadap pendidikan agama khususnya Maahad Tahfiz semakin tinggi ekoran kesedaran semakin tinggi kepada kepentingan pendidikan agama.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Graduasi Qurra Pelajar MITST Negeri Selangor 2013 di Dewan Jubli Perak,di sini.

Sallehen berkata, para pelajar perlu berusaha mengekalkan hafalan Al-Quran sebaik mungkin serta menerapkan dalam kehidupan.

Turut hadir dalam majlis itu Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Seramai 172 pelajar yang menghafal 30 juz Al-Quran menerima Sijil yang disampaikan Sallehen dari Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi Jugra dan Maahad Tahfiz Sains Dan Teknologi Klang.

EZY

 

Categories
SELANGOR

Kes tembak penguatkuasa JAIP tidak lemahkan semangat JAIS

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 11 NOV : Kejadian pembunuhan pegawai tinggi Jabatan Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) semalam tidak akan melunturkan semangat Kerajaan Selangor untuk menjalankan kerja-kerja penguatkuasaan undang-undang di negeri itu.

Sallehen MukhyiExco Hal Ehwal Islam, Sallehen Mukhyi, berkata penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sentiasa bersedia untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan dalam menjalankan tugas walaupun sedar kejadian jenayah seperti bunuh dan tembak semakin berleluasa.

Menurut Sallehen, cabaran seperti itu sebenarnya yang memberi kekuatan dan semangat untuk JAIS mempergiatkan lagi kerja-kerja penguatkuasaan terhadap sebarang aktiviti atau pergerakan yang berpotensi menggugat akidah umat Islam di negeri ini.

“Kejadian itu tidak akan mengganggu kita kerana kita juga yakin bahawa tugasan kita ini adalah berlandaskan peruntukan enakmen agama Islam yang ditetapkan mengikut undang-undang.

“Pegawai-pegawai JAIS juga sedar bahawa tugasan yang kita kerjakan ini bukan sahaja untuk mengejar habuan dunia tetapi yang lebih penting ialah untuk mendapat habuan akhirat,” katanya yang dihubungi Selangor Kini.

Semalam, Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa JAIP, Mohd Raffli Ab Malik ditembak mati di rumahnya selepas terkena tiga das tembakan.

Pihak penyiasat percaya kejadian itu mempunyai motif kerana ia berlaku dalam masa yang singkat iaitu kurang dari satu minit.

Mengulas kejadian itu, Sallehen menggesa agar pihak bertanggungjawab dapat menggiatkan lagi penguatkuasaan undang-undang mencegah dan membanteras jenayah.

“Kita faham soal hidup dan mati ini memang kerja Allah, tetapi kita juga perlu berusaha untuk membantu agar kejadian seumpama ini dapat dielakkan,” kata Sallehen.

EZY