Categories
AGENDA NASIONAL

8.6 juta saman trafik dibayar sepanjang tempoh tawaran diskaun

DUNGUN, 1 JAN: Sebanyak 8.6 juta saman trafik diselesaikan sepanjang tempoh pelaksanaan tawaran diskaun 80 peratus saman trafik sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia bermula 9 Dis hingga semalam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata ia menunjukkan tawaran diskaun saman yang dilaksanakan itu menerima sambutan tinggi daripada masyarakat memandangkan jumlah keseluruhan saman yang diselesaikan sepanjang 2021 adalah sebanyak 12.2 juta saman.

“Ini menggambarkan orang ramai betul-betul mengambil peluang tawaran diskaun tersebut untuk menyelesaikan saman tertunggak mereka,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Banjir di Kampung Jongok Batu hari ini.

Ditanya sama ada tempoh tawaran diskaun tersebut akan dilanjutkan, Acryl Sani berkata pihaknya tidak bercadang berbuat demikan memandangkan kaunter pembayaran trafik di seluruh negara dilihat lengang mulai penghujung bulan lepas.

Dalam perkembangan lain, Acryl Sani berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku Pengerusi Jawatankuasa Tindak Balas Operasi Bencana berpuas hati dengan peranan yang dimainkan semua agensi berkaitan dalam pengendalian situasi banjir di seluruh negara dan kesemuanya mengikuti Arahan No 20 Majlis Keselamatan Negara (MKN 20), termasuk di peringkat negeri.

“Berdasarkan arahan ini semua agensi akan terlibat. Maknanya semua agensi terlibat melalui konsep ‘gotong-royong’. Di peringkat kontinjen pun telah diadakan Mesyuarat Jawatankuasa Tindak Balas Operasi Bencana yang ketua polis negeri telah memanggil semua agensi berkaitan untuk berbincang dan memperincikan peranan mereka.

“Setakat ini, saya berpuas hati dan maklum balas yang saya terima daripada ketua-ketua polis negeri didapati persiapan dan persediaan telah dibuat. Kita sama-sama berdoa supaya apa yang telah dirancang berjalan dengan lancar,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 50 mangsa korban banjir dicatatkan setakat hari ini manakala dua lagi mangsa iaitu di Telemong dan Bentong, Pahang masih hilang sejak bencana itu melanda di beberapa negeri bulan lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

2.3 juta saman trafik dibayar, jumlah kutipan RM109 juta

SHAH ALAM, 12 DIS: Sejumlah RM109 juta berjaya dikutip pihak polis dalam tempoh empat hari pelaksanaan pengurangan saman trafik yang bermula Khamis lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata jumlah itu membabitkan 2.3 juta saman trafik, lapor Berita Harian.

Acryl Sani berkata pihaknya juga sedia maklum mengenai kesesakan di kaunter bayaran saman serta kesesakan pembayaran secara dalam talian pada waktu puncak.

“Sehubungan itu saya sudah meminta Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) untuk melihat keperluan bagi menambah kaunter bayaran saman di setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

“Ini adalah bagi memudahkan orang ramai mengambil kesempatan menjelaskan saman mereka di kaunter yang disediakan tanpa perlu bersesak-sesak,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Tempoh diskaun saman trafik dilanjut hingga 31 Disember

SHAH ALAM, 12 DIS: Tempoh diskaun untuk bayaran saman trafik yang dijadual berakhir tengah malam ini dilanjutkan hingga 31 Disember.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata pelanjutan itu memberi peluang kepada orang ramai menjelaskan saman mereka, lapor Berita Harian.

“Disebabkan sambutan yang menggalakkan sama ada di kaunter bayaran saman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan kontinjen di seluruh negara, maka kita memutuskan untuk melanjutkan tempoh kompaun bayaran saman.

“Setakat ini sebanyak 2.3 juta saman sudah diselesaikan oleh orang ramai,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur.

Pada 8 Disember lalu polis menawarkan pengurangan saman terpilih sehingga 80 peratus dengan had minimum RM30 bermula 9 Disember hingga 12 Disember.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kaunter semakan, bayaran saman trafik dibuka mulai esok

KUALA LUMPUR, 14 JUN: Mulai esok semua kaunter semakan, pembayaran saman serta pembekalan dokumen berkaitan kemalangan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di seluruh negara akan dibuka kepada orang ramai.

Menurut JSPT Bukit Aman, kaunter akan dibuka pada Isnin hingga Khamis bermula dari pukul 9.00 pagi hingga 2.00 petang bagi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan).

Pada hari Jumaat, kaunter akan dibuka dari pukul 9.00 pagi hingga 12 tengah hari melibatkan kesemua kontinjen berkenaan.

“Bagi IPK Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu kaunter hanya beroperasi pada hari Ahad hingga Khamis dari 9.00 pagi hingga 2.00 petang,” menurut kenyataan itu.

JSPT meminta orang ramai untuk mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) normal baharu ketika berurusan di kaunter selain mengamalkan penjagaan kesihatan kendiri.

“Saringan suhu badan akan dilaksanakan dan orang ramai diminta memakai pelitup separuh muka ketika berurusan di kaunter,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA