Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Saringan komuniti diteruskan ikut keperluan, keadaan semasa

AMPANG, 6 MAC: Kerajaan Negeri akan meneruskan saringan bersasar Covid-19 meskipun suntikan vaksin sudah berjalan.

Dato’ Menteri Besar berkata bagaimanapun penganjuran program komuniti itu bergantung kepada keperluan serta keadaan semasa.

“Kita akan lihat kes serta tumpu kepada kawasan panas. Ini (program) bagi mengelakkan adanya perebakan wabak dan usaha mengekang penularan wabak dalam komuniti diteruskan kerana ia bahaya,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika ditemui.

Terdahulu beliau merasmikan Pusat Khidmat (Penyelaras) Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya.

Pada 20 Januari, Kerajaan Selangor menerusi Pakej Kita Selangor memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh negeri untuk membendung penularan wabak.

Antara lokasi dianjurkan di Dewan Seksyen 19, Seksyen 7 dan Seksyen 25, Shah Alam; Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Klang; Dewan Komuniti PJS 6, Petaling Jaya dan Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam.

Program itu dijangka memanfaatkan 50,000 rakyat dengan tumpuan kepada golongan sasar seperti warga emas terutama di pusat penjagaan dan hemodialisis seluruh negeri termasuk kumpulan berpendapatan rendah (B40) serta mahasiswa anak Selangor.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Saringan percuma Covid-19 di sekitar Subang, Seri Kembangan Sabtu ini

SHAH ALAM, 4 MAC: Penduduk di sekitar Subang dan Seri Kembangan diseru untuk menjalani Ujian Saringan Covid-19 percuma pada Sabtu ini.

Dato’ Menteri Besar berkata kedua-dua program bermula 9 pagi hingga 4 petang akan diadakan di Dewan Resak (MBSA) dan Pusat Khidmat Ahli Majlis, Subang Perdana di sini serta Dewan Serbaguna MPSJ Seri Kembangan.

“Penduduk sekitar bandar raya ini di Taman Subang Perdana, Taman Pinggiran Subang, Taman Nusa Subang dan Taman Subang Idaman serta komuniti di Taman Bukit Serdang (Seksyen 8), Taman Serdang Jaya dan Seri Kembangan digalakkan hadir,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter hari ini.

Bagi tujuan pendaftaran, orang ramai boleh memuat turun aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan menggunakan fungsi Saringan atau melalui: screening.selangkah.my

Semalam, Amirudin berkata seramai 4,352 individu terlibat dalam program saringan komuniti bersasar anjuran Kerajaan Negeri setakat Februari lalu bagi mengekang penularan Covid-19.

Ujian secara percuma itu turut membabitkan 894 warga emas dari 32 pusat jagaan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sasar peroleh 1,000 sampel RTK-Ag hasil dua saringan komuniti

PUCHONG, 28 FEB: Sekurang-kurangnya 1,000 sampel ujian kit pantas antigen (RTK-Ag) dijangka diambil untuk dianalisis menerusi Saringan Komuniti Covid-19 di Taman Puchong Indah dan Taman Dato’ Harun Petaling Jaya hari ini.

Pengurus Operasi Pasukan Khas Selangor Covid-19 (STFO) berkata sasaran itu berdasarkan sambutan menggalakkan penduduk sekitar Puchong dan Petaling Jaya yang hadir seawal jam 8 pagi bagi mendapatkan saringan percuma.

“Hebahan semasa dibuat wakil rakyat, pejabat tanah dan daerah termasuk media mendorong kehadiran masyarakat. Kita anggarkan 500 peserta disaring dari setiap lokasi namun orang ramai digalak datang awal kerana kita mahu saring seramai mungkin.

“Mereka perlu sedar Kerajaan Negeri laksana inisiatif di kawasan tersebut bermakna ia berisiko tinggi dengan jangkitan Covid-19,” kata Dr Ahmad Munawwar Helmi ketika ditemui di Dewan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Taman Puchong Indah di sini hari ini.

Pengurus Operasi Pasukan Khas Selangor Covid-19 (STFO), Dr Ahmad Munawwar Helmi. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sementara itu, beliau berkata lokasi saringan dipilih berikutan Petaling antara daerah mencatat angka jangkitan tertinggi melalui analisis teknologi kepintaran buatan (AI) Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Saringan bersasar percuma di Taman Puchong Indah menyasarkan penduduk berhampiran Kampung Sri Langkas, Taman Dahlia, Taman Puchong Perdana, Puchong Permata 2 dan Kampung Seri Andalas.

Manakala, program di Dewan Serbaguna MBPJ untuk komuniti sekitar Taman Dato’ Harun, Taman Medan Baru, PJS3, PJS4, Kampung Medan dan Taman Maju Jaya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta untuk melaksanakan saringan bersasar percuma bagi membendung perebakan wabak dijangka memanfaatkan 50,000 rakyat.

Mereka yang hadir diminta mendaftar di http://screening.selangkah.my bagi melancarkan proses.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Saringan percuma Covid-19 di Taman Puchong Indah hari ini

PUCHONG, 28 FEB: Program Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri berlangsung hari ini di Dewan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Taman Puchong Indah di sini.

Saringan bersasar secara percuma menumpukan penduduk berhampiran Kampung Sri Langkas, Taman Dahlia, Taman Puchong Perdana, Puchong Permata 2 dan Kampung Seri Andalas.

Seramai 35 petugas kesihatan Klinik Selcare dan Pejabat Kesihatan Daerah Klang lengkap mengenakan sut perlindungan diri memulakan proses saringan pada jam 9 pagi hingga 4 petang.

Kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) digunakan untuk mengesan jangkitan Covid-19 dalam tempoh kurang 30 minit selain mereka yang hadir perlu mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan menyukat suhu badan.

Lokasi saringan dikawal ketat anggota penguat kuasa MPSJ, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (Apam).

Selain Dewan MPSJ, program saringan hari ini dijalankan serentak di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Taman Dato’ Harun Petaling Jaya.

Semalam, saringan diadakan di Dewan Serbaguna Pendamar Indah 2, Pelabuhan Klang dan Dewan Kenanga, Seksyen 28, Shah Alam.

Sebelum ini, program sama dilaksana di Dewan Seksyen 19 dan Seksyen 7 Shah Alam; Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Klang; Dewan Komuniti PJS 6, Petaling Jaya; Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam.

Menerusi Pakej Kita Selangor, Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan RM6 juta untuk menjayakan ujian saringan bersasar percuma bagi membendung penularan wabak.

Program itu dijangka memanfaatkan 50,000 rakyat dengan tumpuan kepada golongan sasar seperti warga emas terutama di pusat penjagaan dan hemodialisis seluruh negeri termasuk kumpulan berpendapatan rendah (B40) serta mahasiswa anak Selangor.

Categories
AGENDA AGENSI BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

PU Hafiz antara lebih 200 individu sertai Saringan Komuniti percuma

KLANG, 27 FEB: Seorang bekas peserta program realiti Pencetus Ummah (PU) antara 228 individu yang menyertai program Saringan Komuniti Covid-19 semalam.

Muhamad Hafiz Muhammad Haneefa, 40, hadir menjalani saringan bersasar percuma di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Klang (MPK) Pendamar Indah 2 di sini bersama isteri dan dua anak lelakinya.

 

Beliau yang lebih dikenali sebagai PU Hafiz berkata kesempatan itu diambil bagi memastikan dirinya dan keluarga bebas daripada jangkitan berkenaan selain atas tuntutan kerja dalam menjayakan rakaman program terbitan sebuah stesen televisyen tidak lama lagi.

Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa, 40, atau PU Hafiz. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Ini kali ketiga saya jalani saringan, dua ujian sebelum ini dibuat di klinik swasta dan perlu bayar tetapi kali ini percuma.

“Memandangkan anak saya pun akan kembali ke sekolah dan asrama, jadi ujian ini penting untuk kesihatan mereka,” katanya kepada SelangorKini selepas melakukan saringan semalam.

Juara musim pertama program realiti berunsurkan islamik itu berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memberi kemudahan tersebut dan mengajak orang ramai menyertainya di lokasi terpilih dalam usaha melandaikan keluk wabak.

Shahnazri Ariffin, 49. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sementara itu, Shahnazri Ariffin berkata dia dan isteri serta empat anak menjalani saringan selepas mendapat maklumat menerusi hebahan Jabatan Penerangan Malaysia daerah Klang.

“Langkah waspada diambil memandangkan banyak kes positif di tempat kerja dan bersyukur apabila saringan dibuat percuma membolehkan saya membawa keluarga kerana majikan menyediakan ujian sama untuk saya seorang,” kata juruteknik berusia 49 tahun itu.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

1,000 dijangka jalani Saringan Komuniti di Pendamar Indah

PELABUHAN KLANG, 27 FEB: Seramai 1,000 individu dijangka menjalani Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Klang (MPK) Pendamar Indah 2 di sini hari ini.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang berkata cuti hujung minggu memberi peluang kepada penduduk memanfaatkan program saringan bersasar percuma anjuran Kerajaan Negeri bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.

“Memandangkan program diadakan pada Sabtu, diharap sasaran ini boleh dicapai berbanding saringan di Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya dijalankan pada hari bekerja.

“Orang ramai khususnya di sekitar Pelabuhan Klang dinasihatkan hadir menjalaninya sebagai usaha mengekang penularan Covid-19,” kata Azmizam Zaman Huri di sini hari ini.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Proses saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) dikendalikan 35 petugas kesihatan Klinik Selcare selain dibantu Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imaret).

Lokasi saringan dikawal rapi anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK), polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (Apam) bagi memastikan penduduk hadir mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Sementara itu, Azmizam mengingatkan penduduk supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan wabak itu sangat berbahaya dan sekiranya semua bekerjasama hasrat Selangor menyasar sifar kes mampu dicapai.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta untuk melaksanakan ujian saringan bersasar percuma bagi membendung perebakan wabak yang dijangka memanfaatkan 50,000 rakyat.

Program hari ini dijalankan serentak di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam Seksyen 28, Shah Alam. Mereka yang hadir diminta mendaftar di http://screening.selangkah.my bagi melancarkan proses.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Saringan Komuniti percuma di Pendamar Indah hari ini

PELABUHAN KLANG, 27 FEB: Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri diteruskan di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Klang (MPK) Pendamar Indah 2 di sini pagi ini.

Penduduk sekitar Taman Pendamar Indah, Bandar Botanik dan Bandar Puteri mula beratur pada kira-kira jam 10 pagi untuk menjalani saringan percuma menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag).

Mereka yang hadir mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan menyukat suhu badan.

Saringan dikendalikan 35 petugas kesihatan Klinik Selcare selain dibantu Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imaret).

Lokasi saringan turut dikawal ketat anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK), polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (Apam).

Menerusi Pakej Kita Selangor, Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan RM6 juta untuk melaksanakan ujian saringan bersasar percuma bagi membendung penularan wabak.

Program itu dijangka memanfaatkan 50,000 rakyat dengan tumpuan kepada golongan sasar seperti warga emas terutama di pusat penjagaan dan hemodialisis seluruh negeri.

Tidak ketinggalan ialah kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan mahasiswa anak Selangor.

Sebelum ini, program sama dilaksana di Dewan Seksyen 19, Seksyen 7 dan Seksyen 25, Shah Alam; Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Klang; Dewan Komuniti PJS 6, Petaling Jaya dan Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Saringan Komuniti percuma di Shah Alam, Pelabuhan Klang esok

SHAH ALAM, 26 FEB: Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar diteruskan esok di Seksyen 28, Shah Alam dan Taman Pendamar Indah, Pelabuhan Klang, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata saringan percuma dari jam 9 pagi hingga 4 petang itu dijalankan serentak di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam Seksyen 28 dan Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Klang Pendamar Indah 2.

“Untuk di Shah Alam, kita galakkan penduduk sekitar Taman Alam Megah, Seksyen 27 dan Seksyen 28 hadir manakala warga Taman Pendamar Indah, Bandar Puteri dan Bandar Botanik ke saringan di Pelabuhan Klang.

“Pendaftaran boleh dibuat melalui http://screening.selangkah.my atau aplikasi SELangkah bagi memastikan proses ujian berjalan lancar,” kata Amirudin di Facebook hari ini.

Amirudin sebelum ini memaklumkan saringan akan diteruskan lebih banyak dengan jangkaan melibatkan 50,000 serta mengutamakan kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah.

Pada 20 Januari, Kerajaan Selangor memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh negeri untuk membendung penularan wabak.

Sebelum ini, program sama dilaksana di Dewan Seksyen 19, Seksyen 7 dan Seksyen 25, Shah Alam; Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Klang; Dewan Komuniti PJS 6, Petaling Jaya dan Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Saringan percuma Covid-19 di Sabak Bernam fokus pekerja industri

SABAK BERNAM, 25 FEB: Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar diteruskan hari ini di Stadium Sungai Besar dengan tumpuan kepada pekerja industri sekitar Sabak Bernam.

Program secara percuma mulai jam 8 pagi hingga 5 petang turut menggabungkan sistem Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) bagi mengawal penularan wabak.

Pengurus Operasi Klinik Selcare Mohd Noor Md Nasir menyasarkan kehadiran seramai 1,500 peserta dengan 400 orang mendaftar setakat tengah hari.

“Saringan kali ini kita tumpu kepada sektor industri bagi mengelakkan penularan wabak dalam kalangan pekerja, malah mereka juga boleh membawa ahli keluarga,” katanya menambah terdapat 170 syarikat perindustrian beroperasi di daerah itu.

Beliau menjelaskan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) turut menyediakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) bagi pekerja asing yang mencarum pada saringan kali ini.

Mohd Noor berkata semua keputusan saringan akan dimaklumkan melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dalam tempoh 24 jam.

Pada 20 Januari, Kerajaan Selangor memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh negeri untuk membendung penularan wabak.

Sebelum ini, program sama dilaksana di Dewan Seksyen 19, Seksyen 7 dan Seksyen 25, Shah Alam, Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Klang serta Dewan Komuniti PJS 6, Petaling Jaya.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Saringan bersasar percuma di Sabak Bernam esok

SHAH ALAM, 24 FEB: Program saringan bersasar percuma bagi mengekang penularan Covid-19 akan berlangsung di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam esok.

Insiatif Kerajaan Negeri bermula jam 8 pagi hingga 5 petang menyasar penduduk dan ahli keluarga pekerja sekitar daerah itu yang melakukan saringan industri.

Orang ramai yang berminat boleh mendaftar di http://screening.selangkah.my untuk memastikan proses ujian berjalan lancar.

Pada 20 Januari, Kerajaan Selangor memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh negeri untuk membendung penularan wabak.

Kaedah tersebut yang pertama di negara ini sebahagian usaha mengesan lebih banyak kes terutama golongan berisiko tinggi.

Program sama dilaksana di Dewan Seksyen 19 di sini pada 17 Februari, Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Klang pada 18 Februari, Seksyen 7, Shah Alam (20 Februari) dan Dewan Komuniti PJS 6, Petaling Jaya (21 Februari).

Sebelum ini, program berkenaan turut dilaksanakan di Seksyen 25, Shah Alam dengan hampir 2,000 individu disaring pada 7 dan 8 Januari.

 

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Orang ramai sambut baik, minta Saringan Komuniti diteruskan

SHAH ALAM, 20 FEB: Orang ramai berharap Kerajaan Negeri menjalankan Saringan Komuniti secara percuma dari semasa ke semasa bagi mengekang perebakan Covid-19.

Sahnizam Safiee, 35, berkata sehubungan itu dia mengambil peluang membawa keluarganya menjalani saringan susulan kebanyakan kes melibatkan mereka yang tiada gejala.

Sahnizam Safiee, 35, bercakap kepada media selepas melakukan Saringan Komuniti di Dewan Melati, Shah Alam pada 20 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Hari ini saya bersama isteri dan tiga anak menjalani saringan kerana harga saringan di hospital atau klinik mencecah ratusan ringgit,” katanya ketika ditemui pada program Saringan Komuniti di Dewan Melati MBSA Seksyen 9 di sini.

Suri rumah, Razana Idris, 40, berkata orang ramai perlu manfaatkan peluang kerana bukan semua Kerajaan Negeri mampu menawarkan saringan Covid-19 secara percuma.

“Saya turut menyertai program dengan membawa tiga anak berumur tiga, lima dan 18 tahun jalani saringan yang meringankan beban rakyat ini,” katanya.

Rozana Idris, 40, ketika ditemui media selepas melakukan Saringan Komuniti di Dewan Melati, Shah Alam pada 20 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pandangan sama dikongsi pegawai kerajaan Muhamad Yatim Nor Mohd, 58, yang menggesa masyarakat memberi sokongan dengan menghadiri saringan bersasar itu susulan jumlah individu di Selangor dijangkiti wabak adalah tinggi.

Warga emas Miskinah Abdullah, 71, berkata saringan percuma itu memberi manfaat kepada golongan berisiko tinggi seperti dirinya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Saringan Komuniti bersiri dilaksanakan di beberapa lokasi seluruh negeri bagi menurunkan kadar jangkitan Covid-19.

Kerajaan Selangor melaksanakan saringan Covid-19 berskala besar di beberapa kawasan panas mulai 11 April tahun lepas bagi membendung perebakan selain turut memperkenal saringan secara pandu lalu.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19: Saringan RTK-Ag sedia diperluas kepada sektor lain

SHAH ALAM, 8 JAN: Saringan Covid-19 menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) sedia diperluaskan kepada sektor korporat termasuk pekerja asing dalam industri pembinaan dan pembuatan di Selangor.

Pengurus Klinik Selcare Sdn Bhd berkata saringan bersasar wajar dipergiat berikutan banyak kes baharu dikesan dalam kalangan warga asing sehingga menular ke kawasan komuniti.

“Perkara ini akan dibincangkan bersama Kerajaan Negeri. Jika inisiatif ini diterima untuk jalankan saringan ke sektor berkaitan, kita boleh bantu sebagai panel.

“Kita sasar golongan tersebut memandangkan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang masih lemah. Maka petugas kesihatan Klinik Selcare akan pergi ke setiap kilang untuk buat saringan,” kata Mohd Noor Md Nasir.

Beliau berkata demikian kepada media ketika program Saringan Komuniti Covid-19 percuma anjuran Kerajaan Negeri di perkarangan Dewan Azalea, Seksyen 25 di sini semalam.

Mohd Noor menambah klinik anak syarikat Kerajaan Negeri, Selgate Healthcare Sdn Bhd itu mungkin akan mengenakan caj minimum kepada syarikat berkaitan sekiranya cadangan tersebut dipersetujui.

“Namun, segala keputusan bergantung pada Kerajaan Negeri. Kita hanya mencadangkan malah saringan kepada pekerja sektor berkenaan pernah dibuat tetapi secara berbayar,” katanya.