Categories
AGENDA SUKANKINI

Sathianathan harap Liga-M 2021 berlangsung, laksana SOP ketat

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Di sebalik ketidaktentuan dan ancaman pandemik Covid-19, Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) B. Sathianathan berharap saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 tidak berdepan nasib sama seperti musim lepas.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu mengakui bukan sahaja barisan pemain dan pegawai pasukan akan terkesan, malah perjalanan liga yang terganggu turut menjejaskan semua pihak terbabit sekali gus berkemungkinan besar ‘membunuh’ keseluruhan industri bola sepak tempatan.

“Saya fikir sekiranya kita menunggu sehingga Covid-19 reda, ramai pemain industri bola sepak akan gulung tikar. Jadi kita mesti berfikir di luar kotak, bola sepak bukan sukan dimainkan suka-suka, bola sepak adalah sebuah industri,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sathianathan, 62, berpendapat dengan pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) ketat dan lebih komprehensif saingan Liga-M tidak mustahil berjalan dalam keadaan terkawal selain mampu membendung penularan wabak itu dalam kalangan pemain serta pegawai pasukan.

Menurut beliau, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) atau kerajaan boleh mengguna pakai pendekatan kebanyakan negara di Eropah yang membenarkan saingan liga berjalan dengan pematuhan SOP ketat.

“Kita tidak boleh batalkan saingan liga, kita mesti menganggap bola sepak sebagai industri dan kemukakan SOP terbaik bagi memastikan perjalanan liga boleh diteruskan. Kita juga boleh melihat dan mengaplikasikan cara liga-liga di Eropah menguruskan perjalanan liga dalam tempoh mencabar ini.

“Dengan SOP itu, kita tunjukkan kepada kerajaan bahawa kita mampu mengambil tanggungjawab ini dengan cekap seterusnya setiap pasukan perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan segala SOP dipatuhi,” katanya.

Beliau berkata saingan Liga-M sudah pasti menjadi elemen hiburan buat peminat bola sepak tempatan seterusnya mampu melepaskan lelah seharian dan mengatasi tekanan hidup yang mungkin dihadapi kesan daripada Covid-19.

Namun, beliau beranggapan sekiranya tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan, sepak mula saingan Liga-M 2021 yang dijadual pada 28 Februari perlu diteliti semula memandangkan pasukan bakal menghadapi kesuntukan masa mempersiapkan pasukan.

“Jika minggu ini kerajaan membenarkan sesi latihan berpasukan diadakan, mungkin pada 28 Februari kita tidak menghadapi masalah untuk memulakan liga tetapi jika PKP dilanjutkan dan pasukan masih tidak dibenarkan berlatih, ia mustahil untuk bermula pada tarikh itu,” katanya.

Beliau berkata persiapan paling ideal memerlukan sekurang-kurangnya tujuh minggu bagi mengurangkan risiko kecederaan meskipun kini pemain giat menjalani latihan secara dalam talian.

Impak Covid-19 menyaksikan saingan Liga Super dan Liga Premier 2020 bermula pada Mac terpaksa ditangguh hingga penghujung Ogos manakala beberapa pertandingan utama Liga-M antaranya Piala FA dan Piala Malaysia dibatalkan.

Namun, MFL pada Jumaat lepas mengesahkan saingan Liga-M 2021 tidak akan dibatalkan dengan badan pentadbir Liga-M itu kini sedang membincangkan serta mengkaji mekanisme pelaksanaan saingan itu dalam PKP.

MFL turut dijangka mengeluarkan kenyataan media berhubung kalendar liga tempatan musim 2021 pada minggu ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala Malaysia: Mutu pengadilan jadi tumpuan, elak kontroversi

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Barisan pegawai perlawanan tempatan sekali lagi bakal menjadi tumpuan apabila mereka perlu melaksanakan tanggungjawab mengadili saingan Piala Malaysia 2020 yang dijangka bermula awal November depan, dengan penuh berkesan dan mengelak daripada membuat keputusan yang mengundang kontroversi.

Mutu pengadilan berkualiti secara konsisten menjadi tuntutan dan harapan utama setiap pemain, jurulatih dan pihak pengurusan pasukan terutama melibatkan perlawanan berprofil tinggi dalam sesuatu kejohanan utama.

Malah, peminat yang masih setia memberikan sokongan kepada aksi bola sepak tempatan turut mengharapkan setiap perlawanan bebas daripada dicemari insiden membabitkan keputusan pengadil yang meragukan.

Mengambil contoh saingan Liga Super dan Liga Premier musim ini, kesalahan serta kecuaian dalam membuat keputusan melibatkan beberapa aksi berprofil tinggi menyaksikan mutu pengadilan tempatan masih di tahap membimbangkan.

“Dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) ada (pengadil) memang teruk tetapi ramai yang bagus. Ada mempunyai standard sangat tinggi, ada pula perlu diawasi,” kata jurulatih berpengalaman dan bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan B Sathianathan.

Sepanjang lebih sedekad membimbing pasukan beraksi di Liga-M, bekas pengendali Selangor, Felda United, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kelantan itu mendakwa hanya beberapa pegawai perlawanan sahaja yang mampu melaksanakan tugas dengan baik sepanjang perlawanan.

Beliau turut mempersoalkan mengapa sehingga kini barisan pengadil muda berpotensi tidak diketengahkan secara serius selain pengadil yang mendapat panggilan mengadili aksi antarabangsa, diberi peluang dalam kancah saingan tempatan.

“Ada beberapa pengadil saya puji terutama yang muda, ada sudah pun bertugas dalam saingan Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia, jadi takkan mereka tidak boleh diberikan tugas mengadili aksi tempatan.

Beberapa pengadil muda ini mereka dibentuk sejak enam tahun lepas menerusi program mengenal pasti bakat anjuran Jabatan Pengadil FAM dan dalam kumpulan pengadil yang terpilih, tiga daripadanya sekarang memang ada standard tinggi,” kata Sathianathan.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengadil FAM baru-baru ini menggantung tugas empat pengadil serta empat lagi diberikan amaran keras berikutan prestasi tidak konsisten mengadili saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Sathianathan berkata langkah itu yang bertujuan memberi pengajaran kepada barisan pengadil supaya tidak mengulangi kesilapan sama, bukan alternatif terbaik memandangkan tindakan itu sebelum ini turut gagal dalam memperbaiki kelemahan pengadil.

Sebaliknya, beliau beranggapan pihak pengurusan pasukan perlu memainkan peranan dalam membantu FAM mengatasi isu mutu pengadilan.

Beliau berkata pasukan yang terpalit dengan kontroversi melibatkan keputusan pengadil perlu tampil lebih profesional dengan membuat bantahan rasmi kepada FAM dan bukannya menerusi pihak media semata-mata.

FAM bakal menampilkan 10 muka baharu pegawai perlawanan tempatan pada saingan Piala Malaysia musim ini, yang bermula 6 November dengan kesemuanya bakal menggalas tugas sebagai penolong pengadil.

-BERNAMA