Categories
NASIONAL

Himpunan Hijau Apr 28 Siap Sedia Hadapi Semua Sekatan

SHAH ALAM, 12 APR: Penganjur perhimpunan membantah loji nadir bumi Lynas, bersiap sedia menghadapi sebarang sekatan yang bakal berlaku pada himpunan yang bakal berlangsung 28 April ini.

Anggota jawatankuasa pemandu Himpunan Hijau, Clement Chin berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada pihak polis tentang perhimpunan tersebut dan perancangan mereka untuk berarak dari KLCC ke Dataran Merdeka.

“Semuanya ok dan setakat ini tidak ada sebarang masalah. Kita sudah maklumkan melalui berita. Semua beres, kita jalan sahaja,” katanya.

Clement, yang juga anggota jawatankuasa Save Malaysia Stop Lynas, (SMSL)  berkata terpulang kepada pihak polis tentang tindakan yang bakal diambil terhadap peserta perhimpunan itu.

Beliau menjangkakan kehadiran ribuan penyokong memandangkan pelbagai individu dan NGO sudah menyatakan sokongan untuk turut sama pada hari berkenaan dan mengadakan ‘Tsunami Hijau’ pada hari tersebut.

Himpunan Hijau dijangka akan berarak dari KLCC ke Dataran Merdeka di mana mereka akan bersama dengan penyokong Himpunan Bersih 3.0, ‘Duduk dan Bantah’.

Himpunan Hijau tersebut merupakan yang ketiga selepas Kuantan pada 9 Oktober tahun lepas dan 26 Feb.

Himpunan Hijau 2.0, pada 26 Feb yang diadakan di Padang Majlis Perbandaran Kuantan berjaya menarik kehadiran 15,000 orang.

Kempen Save Malaysia Stop Lynas, (SMSL) adalah untuk membantah operasi loji Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng, Kuantan, yang bakal mencemari persekitaran dengan sisa radioaktif.

Categories
NASIONAL

Gerakan Anti-Lynas Tidak Akan Tunduk Kepada Ancaman Undang-Undang

KUALA LUMPUR, 10 APR : Gerakan penentang loji nadir bumi Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) tidak akan tunduk kepada ugutan daripada syarikat Lynas Corp untuk menyaman mereka sekiranya mereka tidak memohon maaf.

Sebaliknya, mereka akan teruskan kempen mereka untuk menghentikan loji itu yang dibina di Gebeng, Pahang, kata Ahli Jawatankuasa Save Malaysia Stop Lynas (SMSL), Steve Hang.

Beliau mengulas tindakan Lynas Corp, pengendali LAMP, yang menghantar surat setebal 15 halaman kepada 47 NGO yang terlibat di dalam gerakan SMSL pada 31 Mac.

Antara enam tuntutan Lynas Corp adalah agar SMSL menghentikan kritikan mereka terhadap LAMP dan memohon maaf terhadap syarikat itu melalui laman web SMSL dan iklan surat khabar.

“Kami ingin memaklumkan kepada media dan semua rakyat Malaysia yang prihatin terhadap isu Lynas ini, bahawa kami tidak akan

sesekali tunduk kepada taktik ugutan apa-apa perbadanan gergasi besar seperti Lynas,” Steve berkata dalam satu sidang media di sini hari ini.

Surat tuntutan maaf dari Lynas itu di hantar melalui peguam Jeff Wong, Poon & Leong Associates and Solicitors.
“Surat itu cuba untuk mempertahankan perkara-perkara yang dibangkitkan dalam kenyataan bersama kami dalam bentuk surat kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Surat terbuka kepada Perdana Menteri yang dikeluarkan SMSL itu dihebahkan kepada akhbar-akhbar tempatan pada Mac 22.

Steve berkata ancaman dari Lynas itu akan memperkukuhkan lagi semangat mereka untuk terus melindungi negara dan kepentingan awam.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa perhimpunan anti-Lynas akan di adakan di Bukit Merah, Johor pada 28 April depan bagi memberikan peluang kepada aktivis di negeri itu yang tidak dapat ke Kuala Lumpur.

SMSL akan mengadakan sebuah perhimpunan besar-besaran di KLCC pada tarikh yang sama dan ia akan bergabung dengan perhimpunan Bersih 2.0 di Dataran Merdeka.