Categories
AGENSI SELANGOR

Tiga syarikat dipilih sertai program pembangunan usahawan

SUBANG JAYA, 28 JAN: Tiga syarikat di Selangor diterajui belia dipilih sebagai pemenang program SAY ASPIRE edisi ketiga anjuran Selangor Youth Community (SAY) yang diadakan di Sunway Resort Hotel & Spa semalam.

Syarikat tersebut ialah Airaz Technologies Sdn Bhd (produk pakaian sukan muslim), Avantcom International Sdn Bhd (produk penjagaan kulit bayi) dan Inonity Sdn Bhd (perkhidmatan laman web e-dagang-StoreUp).

Ketua pegawai eksekutif SAY berkata pemenang mendapat tajaan penerbangan ke negara yang dipilih untuk tujuan promosi dan rundingan perniagaan, akses kepada pasukan perolehan serta bimbingan khas.

“Kita beri pendedahan dan bimbingan khusus kepada usahawan untuk strategi eksport. Kebanyakan usahawan ini mencapai hasil pendapatan jutaan dan berpotensi ke pasaran antarabangsa tetapi tidak tahu bagaimana.

“Mereka memerlukan bantuan dan mentor yang berpengalaman luas dalam pasaran antarabangsa. Tawaran ke luar negara juga diberikan untuk tujuan pengkomersilan dan berjumpa pembeli,”kata Nurul Azwa Rodzi.

Nurul Azwa berkata tujuh syarikat lain yang terpilih dalam sesi pembentangan SAY ASPIRE tidak dipinggirkan sebaliknya dibantu supaya mendapat peluang yang sama.

“Mereka ini masih dibantu dengan dirujuk kepada agensi berkaitan yang berminat membantu seperti daripada segi kewangan dan meningkatkan kemahiran pengeluaran, cuma tidak mendapat bimbingan khusus,”katanya.

SAY ASPIRE merupakan program pembangunan usahawan untuk belia yang berpotensi mengembangkan produk dan perkhidmatan ke pasaran global melalui kursus bimbingan dan latihan strategi eksport.

Program tersebut merupakan kali ketiga sejak dianjurkan pada 2018 menerusi agensi Selangor Youth Community (SAY) yang diasaskan Raja Muda Selangor.

Ia adalah program keusahawanan selama enam bulan merangkumi latihan kewangan, strategi pemasaran serta perancangan strategik untuk menembusi pasaran luar negara.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Program pembangunan usahawan bantu belia terokai pasaran antarabangsa

SUBANG JAYA, 28 JAN: Program pembangunan usahawan untuk belia, `SAY ASPIRE’ disifatkan sebagai permulaan kepada usahawan tempatan menerokai pasaran global.

Justeru Pengarah Urusan Airaz Technologies Sdn Bhd, pengeluar produk pakaian sukan muslim berkata program seumpama ‘SAY ASPIRE’ perlu dipergiat supaya dapat membimbing usahawan.

“Hari ini kita dapat lihat 10 syarikat berpotensi dikembangkan, namun tiada peluang dan akses untuk menembusi pasaran global. Dengan adanya program ini, ia memudahkan usahawan yang mempunyai idea untuk meningkatkan taraf ekonomi.

Pengarah Urusan Airaz Technologies, Azrul Izzam Kamarul Zaman bercakap kepada media selepas memenangi Program SAY Aspire picth finale di Sunway Resort Hotel, Subang Jaya pada 27 Januari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Saya sasarkan produk pakaian sukan ini menembusi pasaran Amerika Syarikat, Perancis dan Emiriah Arab Bersatu kerana ketiga-tiga negara ini merupakan pintu utama kepada pasaran muslim di seluruh dunia,”kata Azrul Izzam Kamarul Zaman.

Terdahulu, dalam ‘SAY ASPIRE- Pitching Session’, Airaz Technologies Sdn Bhd dinobatkan sebagai pemenang utama, sementara pengeluar produk penjagaan kulit bayi, Avantcom International Sdn Bhd tempat kedua manakala Inonity Sdn Bhd, perkhidmatan laman web e-dagang-StoreUp tempat ketiga.

Semua pemenang memenangi tajaan penerbangan ke negara yang dipilih untuk tujuan promosi dan rundingan perniagaan, akses kepada pasukan perolehan.

Pemenang juga mendapat bimbingan khas secara individu untuk membantu usahawan mematerialisasikan impian eksport, peluang imbuhan dan pelaburan perniagaan, rangkaian kolaborasi bersama agensi yang trofi dan sijil serta penginapan di St Regis, Langkawi kepada pemenang tempat pertama.

DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan trofi dan Pas cura perjalan ke pasaran antarabangsa kepada pemenang Program SAY Aspire picth finale di Sunway Resort Hotel, Subang Jaya pada 27 Januari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

SAY ASPIRE merupakan program pembangunan usahawan untuk belia yang berpotensi mengembangkan produk dan perkhidmatan ke pasaran global melalui kursus bimbingan serta latihan strategi eksport.

Program tersebut merupakan kali ketiga sejak dianjurkan pada 2018 menerusi agensi Selangor Youth Community (SAY) yang diasaskan Raja Muda Selangor.

Ia adalah program keusahawanan selama enam bulan merangkumi latihan kewangan, strategi pemasaran serta perancangan strategik untuk menembusi pasaran luar negara.

Categories
AGENDA NASIONAL

Raja Muda berkenan jadi juri program usahawan belia `SAY ASPIRE’

SUBANG JAYA, 27 JAN: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor mencemar duli menghadiri program pembangunan usahawan untuk belia `SAY ASPIRE’ di Sunway Resort Hotel & Spa hari ini.

Tengku Amir Shah turut berkenan menjadi salah seorang panel dalam ‘SAY ASPIRE- Pitching Session’ melibatkan 10 syarikat diterajui belia  serta beroperasi di negeri ini.

Titah Tengku Amir Shah dalam penutupan program, semua syarikat terlibat dalam sesi pembentangan kali ini berpotensi untuk maju dalam bidang perniagaan.

“Beta ucapkan tahniah dan mendoakan semua maju jaya pada masa hadapan,”titah baginda.

SAY ASPIRE merupakan program pembangunan usahawan untuk belia yang berpotensi mengembangkan produk dan perkhidmatan ke pasaran global melalui kursus bimbingan serta latihan strategi eksport.

Program tersebut merupakan kali ketiga sejak dianjurkan pada 2018 menerusi agensi Selangor Youth Community (SAY) yang diasaskan Raja Muda Selangor.

Ia adalah program keusahawanan selama enam bulan merangkumi latihan kewangan, strategi pemasaran serta perancangan strategik untuk menembusi pasaran luar negara.

Categories
AGENSI SELANGOR

NIQA Hijab Wash, Palm Fiber tambat hati RMS

SUBANG JAYA, 25 OGOS: NIQA ‘Hijab Wash’ dipilih antara lima syarikat yang berjaya mengikuti program ‘SAY ASPIRE’ tahun ini.

Pencuci yang dikhususkan untuk mencuci segala jenis tudung tanpa perlu menyental dan merosakkan fabrik itu menambat hati juri, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah pada sesi pembentangan idea perniagaan program berkenaan.

Pengasasnya, Farila Kasim dan Fazlia Akma nyata teruja serta gembira apabila dipilih sebagai juara selepas sesi ‘pitching’ berkenaan.

“Kami sangat gembira dan terkejut selepas diumumkan terpilih mengikuti program ini.

“Pada mulanya kami langsung tidak menyangka akan ke peringkat lima teratas, namun ini adalah rezeki yang tidak disangka,” katanya yang kali pertama menyertai pertandingan itu.

Dua tahun bertapak di Malaysia, mereka menyasarkan produk itu ke pasaran luar negara seperti Singapura, Brunei dan Indonesia pada tahun ini.

Sementara itu, produk minuman fiber berasaskan batang sawit, berjaya menduduki tempat kedua untuk menyertai program berkenaan.

Pengarah Urusan Palm Fiber, Mohd Suhaidi Jaa’par bersyukur kerana dipilih juri dalam usaha meningkatkan perniagaan dan menembusi pasaran antarabangsa.

“Kita sasarkan produk ini akan ke China. Bagi saya, landasan disediakan Selangor Youth Community (SAY) ini sangat bagus untuk usahawan menyertainya.

“Ia bukan sahaja dapat meningkatkan tahap keyakinan pengusaha atau peniaga, tetapi membawa produk tempatan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Produk yang bermula sejak 2014 itu tercetus di Jepun apabila beliau diberitahu seorang rakan bahawa bahan terbuang itu boleh diproses untuk dijadikan makanan berkhasiat.

Pada mulanya, beliau tidak percaya, namun terdapat beberapa kajian dilakukan di negara matahari terbit itu, sekali gus menjentik idea untuk menjalankan kaji selidik di Malaysia.

Palm Fiber memasarkan produk minuman fiber berasaskan sawit, EG Fiber yang mampu membantu sistem pencernaan dan syarikat berkenaan juga adalah penerima geran program Sirim -Fraunhofer.

Tiga syarikat lain yang dipilih adalah Potonguler, ILUVQURAN dan Citarasa Milennium.

SAY ASPIRE program cetusan idea Raja Muda Selangor yang dianjurkan bagi membantu usahawan negeri ini meningkatkan perniagaan dan menembusi pasaran antarabangsa.

Categories
BERITA UTAMA

Lima lagi usahawan terpilih sertai ‘SAY ASPIRE’

SUBANG JAYA, 25 OGOS: Lima lagi syarikat di Selangor dipilih untuk mengikuti program ‘SAY ASPIRE’ tahun ini, bagi memajukan perniagaan dan membawa produk atau perkhidmatan mereka ke pasaran luar.

Ketua Pegawai Operasi Selangor Youth Community (SAY), Dr Mohd Zulikhwan Ayub berkata, sebanyak 154 syarikat menyertai sesi uji ‘pitching’ atau pembentangan perniagaan tahun ini.

Katanya, lima syarikat yang bertuah kali ini adalah NIQA, Palm Fiber, Potonguler, ILUVQURAN dan Citarasa Milennium selepas membentangkan idea perniagaan mereka di hadapan tujuh orang juri.

“Program yang memasuki tahun kedua penganjurannya adalah cetusan idea Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

“Tahun ini, kita berjaya menarik lebih ramai usahawan yang mahu menyertai program ini dengan peningkata lima hingga 10 peratus, malah syarikat yang menyertainya juga lebih besar berbanding taun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi pembentangan idea perniagaan di Hotel Sunway Resort & Spa, di sini.

Pada masa sama, Dr Mohd Zulikhwan berkata, pihaknya gembira dengan usaha dan idea kreatif serta berinovasi yang dibawakan oleh usahawan kali ini.

“Saya berharap usahawan yang dipilih dapat memenuhi pasaran yang kita sasarkan pada kali ini, iaitu Bahrain dan China,” katanya.

SAY ASPIRE dianjurkan bagi membantu usahawan negeri ini meningkatkan perniagaan dan menembusi pasaran antarabangsa.

Ia adalah program keusahawanan selama enam bulan merangkumi latihan kewangan, strategi pemasaran serta perancangan strategik untuk menembusi pasaran luar negara.

Terdahulu, Raja Muda Selangor berkenan mencemar duli menjadi juri pada sesi pembentangan idea perniagaan itu.