Categories
NASIONAL

Teresa: Tolak Isu PKFZ, Scorpene Menunjukkan Parlimen Bias

SHAH ALAM, 13 JUN : Keputusan Parlimen menolak usul membahaskan isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan Scorpene dianggap bias oleh Exco Teresa Kok dan tidak boleh diterima kerana kedua-duanya melibatkan kepentingan awam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seputeh, menganggap tindakan itu tidak wajar kerana ia melibatkan kepentingan awam serta cuba melindungi pihak berkepentingan yang terlibat dalam kes berkenaan.

“Saya kecewa apabila menerima dua pucuk surat penolakan daripada Setiausaha Parlimen ketika permulaan sidang Dewan Rakyat semalam. Penolakan ini berdasarkan Perintah Parlimen Tetap 23(1)(h) dan 23(1)(g) di mana soalan berkaitan PLKFZ dan Scorpene yang saya kemukakan dikatakan tidak dibenarkan dibahas di parlimen.

“Bagi saya alasan ini tidak boleh diterima disebabkan soalan-soalan saya melibatkan kepentingan awam kerana kedua-dua isu ini mempunyai kaitan dengan wang pembayar cukai yang telah disalahgunakan oleh pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah,” katanya dalam sayi kenyataan media.

Alasan parlimen bahawa soalan berkenaan Scorpene hanya bersandarkan kepada pendapat dan andaian serta tidak timbul di mahkamah, manakala kes PKFZ di sedang dibicarakan di mahkamah faktor utama penolakannya.

Menurut Teresa, isu berkaitan kes Scorpene itu bukanlah satu andaian atau sekadar pendapat merujuk kepada satu kes tidak wujud tetapi menjurus kepada persoalan keseriusan kerajaan untuk bertindak dalam melindungi kepentingan awam serta bagaimana mereka bercadang untuk menyiasat dan membetulkan perbelanjaan dana awam yang diselewengkan.

Begitu juga kes PKFZ, tambahnya, soalan diajukan tidak berkaitan dengan perbicaraan mahkamah tetapi adalah mengenai sama ada Kementerian Pengangkutan akan membayar RM733 juta kepada Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) kerana ia dinasihatkan oleh pihak peguam Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) supaya tidak berbuat demikian serta perkara itu juga dinyatakan di dalam buku ditulis bekas Pengerusi LPK, Datuk Lee Hwa Beng.

“Saya ingin memberi nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib RazakĀ  dan kerajaan untuk tidak menggunakan Perintah Tetap di Parlimen apabila mendepani soalan-soalan yang berkaitan dengan kepentingan awam. Dengan berbuat demikian, ini hanya akan membawa kepada perspeksif pihak awam bahawa kerajaan mempunyai banyak isu yang ingin disembunyikan,” katanya.

Dalam soalan berkaitan Scorpene, Teresa mahukan jawapan samaada Najib bersedia beri keterangan di mahkamah Perancis dan kesediaan kerajaan kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan bagi menyiasat komisyen pembelian kapal selam Scorpene.

Manakala kes PKFZ mengenai Kementerian Pengangkutan mengarahkan pembayaran kepada KDSB tanpa rujukan nasihat daripada pihak peguam LPK dan bagaimana kementerian akan memulihkan dana itu seandainya LPK menang saman RM1.6 bilion terhadap KDSB.