KLANG 4 MEI : Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lee Min, di Pelabuhan Klang didakwa menjadi tempat pengundi ragu yang akan membuang undi pada 5 Mei ini.
Menurut penyandang Parlimen Klang, Charles Santiago pengundi ragu ini akan ditempatkan di dalam dewan atau khemah yang disediakan serta dikawal ketat oleh polis.
“Kita jangka mereka ini akan dibawa oleh polis mengikut jalan ‘belakang’ ke tempat mengundi,” katanya dalam sidang media di Bili Gerakan DAP, di sini.
Dalam pada itu, beliau berkata setakat ini lebih 2,000 nama pengundi ragu didaftarkan di Klang.
Angka itu menjadikan pengundi ragu tertinggi adalah Pelabuhan Klang sebanyak 571 orang.
Jelas Charles, beliau turut menerima panggilan daripada seorang pengusaha kilang di Teluk Gong yang mana pekerjanya dari Bangladesh dibayar RM500 setiap orang untuk mengundi.
” Mereka ini diminta bersedia seawal jam 7 pagi untuk bersedia menerima kad pengenalan.
“Begitu juga dengan kes di Bukit Tinggi semalam, di mana mereka (pengundi ragu) diberikan taklimat secara tertutup,” katanya.
Charles berkata ekoran perkara itu, beliau akan menghantar senarai nama-nama pengundi ragu ke Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kepada semua ajen-ajen di setiap pusat mengundi.
” Keputusan ini diambil oleh enam peguam saya. Saya akan hantar ke SPR secara ‘by hand’.
“Kami akan bersedia untuk menghalang mereka ini pergi mengundi esok,” katanya.