Categories
SELANGOR

Nik Nazmi: Usah buang masa dengan isu mansuh sekolah vernakular

SHAH ALAM, 8 OKT: Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan saranan memansuh sekolah vernakular tidak munasabah.

Meminta Umno tidak menjejaskan Malaysia dengan manipulasi isu pendidikan vernakular, beliau berkata idea ‘satu sistem untuk semua’ sudah lapuk dan merosakkan ekonomi negara.

“Idea bahawa pendidikan sepatutnya ‘satu sistem yang sesuai untuk semua’ sudah lapuk dan akan merosakkan ekonomi Malaysia dalam jangka masa lama,” katanya.

Sebelum ini, ada cadangan untuk membahas isu pengekalan atau pemansuhan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) pada Perhimpunan Agung Umno, November depan.

Ia dibawa Timbalan Ketua Umno Petaling Jaya Utara, Mohamad Azli Mohemed Saad yang mendakwa sistem sekolah vernakular dijadikan alat pembangkang menabur sentimen perkauman dan anti-kerajaan.

Kata Nik Nazmi, sistem pendidikan sedia ada gagal berikutan tahap pelajar dalam penyelesaian masalah di kedudukan corot dalam ranking Programme for International Student Assessment (PISA).

“Kita tidak patut membazirkan masa dan tidak perlu menambahkan ketegangan kaum dengan memansuh atau menyusahkan sekolah vernakular.

“Kita patut fokus kepada peningkatan keadaan sekolah jenis kebangsaan supaya menjadi pilihan pertama untuk semua ibu bapa,” katanya.

Nik Nazmi berkata,Perlembagaan Malaysia menjamin hak untuk pendidikan vernakular dan ia tidak boleh diubah tanpa persetujuan semua kumpulan etnik terbabit.

“Akhirnya, pendidikan adalah pilihan ibu bapa yang akan memilih aliran yang akan memberi pendidikan terbaik dan suasana pembelajaran menyeluruh,” katanya.